|
|
DENDAM terpendam dalam diri Genevieve (lakonan Nia Vardalos) yang geram dengan perlakuan lelaki curang menyebabkan pintu hatinya tertutup untuk menerima cinta daripada mana-mana lelaki. Masih terbayang-bayang di ingatan ratapan ibunya selepas mendapat tahu tentang kecurangan bapanya. Perbuatan bapanya itu banyak menyedarkan dia tentang perangai lelaki, sekali gus membuatkan dia betul-betul fobia untuk jatuh cinta.
Baginya, dia lebih gemar menggunakan istilah berteman sahaja. Cara itu paling selamat dan apa yang penting, hatinya tidak disakiti. Ia juga memberi kebebasan kepada penjual bunga ini untuk berteman dengan mana-mana lelaki yang diingininya.
Namun, setiap lelaki yang dijanji temu itu hanya kekal untuk lima pertemuan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Dia mencipta teorinya sendiri iaitu 'sekiranya tiada lagi suasana romantis, maka dia perlu angkat kaki'. Berpuluh lelaki yang pernah menjadi temannya dan semua menemui titik noktah.
Perlakuan peliknya itu bagaimanapun berubah selepas bertemu dengan Greg (lakonan John Corbett). Lelaki ini berwatakan baik, kelakar dan sederhana. Bersama lelaki ini, dia tercabar kerana Greg secara dasarnya bukan seorang lelaki yang romantis.
Cubaan demi cubaan dilakukan oleh Greg untuk menawan hati Genevieve. Pelbagai cara digunakan untuk menambat hati wanita tersebut. Itu tidak termasuk beberapa kejutan khas untuk menambat hati Genevieve.
Pada masa yang sama, Greg tidak menyedari perbuatannya itu secara tidak langsung telah membuka hati Genevieve untuk menerima cinta lelaki itu. Konflik terjadi apabila mereka tidak meluahkan isi hati dan saling memendam perasaan masing-masing. Ini kerana mereka pertahankan perasaan ego dan mahu terus berpegang kepada prinsip yang dicanangkan oleh Genevieve.
Secara keseluruhan, filem I Hate Valentine's Day satu naskhah yang menghiburkan kerana genre yang diketengahkan berbentuk komedi romantik. Suntikan emosi antara pasangan kekasih banyak disumbatkan pada setiap babak. Jadi tidak hairanlah sekiranya filem berdurasi 90 minit ini diklasifikasikan dalam kategori PG13.
Namun, terdapat beberapa babak yang dilihat canggung dan seperti dibuat-buat. Contohnya melibatkan senyuman lebar Genevieve yang tidak putus sepanjang sejam pertama filem ini.
Beberapa pengkritik filem mengatakan Vardalos tidak cukup bagus untuk mengarahkan filem I Hate Valentine's Day. Apatah lagi bertindak sebagai pelakon utama.
Ini kerana sebelum ini, Vardalos terlibat dengan penerbitan filem bebas dan hanya sebuah filem romantik komedi iaitu My Big Fat Greek Wedding.
Secara kebetulan, pengkritik merasakan wanita ini menceduk sesetengah idea dalam filem berkenaan bagi menjayakan I Hate Valentine's Day. Meskipun begitu, terdapat beberapa pandangan mengatakan hanya terdapat sedikit perbezaan di antara kedua-dua filem berkenaan.
Ada pihak pula mengatakan Vardalos memikul tugas yang terlalu berat untuk menjayakan I Hate Valentine's Day. Jadi hasilnya sekadar melepas batuk di tepi tangga. Ia umpama hasil kerja yang carca marba apabila menyajikan beberapa babak yang kurang menyengat dan meleweh.
Bersesuaian dengan tema Hari Kekasih, filem ini sarat dengan bunga-bungaan dari awal filem hingga ke akhir. Semangat cintakan bunga dan dan kepentingan hubungan sesama insan diterapkan dalam setiap dialog.
I Hate Valentine's Day ini jelas menggambarkan sebuah filem bajet sederhana berdasarkan kepada hasil produksi, sinematografi, set dan kostum. Penonton jangan sesekali meramalkan filem ini setanding dengan Valentine's Day yang ternyata mempunyai kelebihan tersendiri dan jauh lebih baik.
Filem I Hate Valentine's Day bakal menemui penonton di pawagam bermula 15 April ini turut dibintangi Stephen Guarino, Amir Arison, Zoe Kazan, gary Wilmes, Mike Starr, Jason Mantzoukas, Judith Friedlander dan Rachel Dratch.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: