KUALA LUMPUR: Perbuatan ‘toyol’ atau penagih dadah? Itulah persoalan segelintir penduduk di Bandar Permaisuri, di sini, apabila wang tabung masjid yang disimpan sering hilang.
Apa yang menghairankan, kejadian berkenaan masih berulang biarpun ahli jawatankuasa masjid terbabit sudah meningkatkan kawalan di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian terbaru, kira-kira jam 10 malam, Jumaat lalu, ahli jawatankuasa masjid mendakwa terkejut apabila mendapati wang RM200 lesap daripada simpanan mereka.
Berikutan itu, ahli jawatankuasa masjid berkenaan tampil di Balai Polis Salak Selatan membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menurut sumber, kejadian berkenaan bukanlah kali pertama, sebaliknya pernah berlaku sebelum ini.
“Berikutan itu, beberapa tindakan seperti meningkatkan kawalan terutamanya ketika lewat malam dilakukan penduduk.
“Mereka melakukan rondaan manakala wang yang disedekahkan penduduk disimpan di lokasi rahsia di masjid berkenaan,” katanya.
Sumber berkata, kehilangan wang disimpan menyebabkan pelbagai andaian dibuat penduduk.
“Ada yang mendakwa wang itu dilarikan ‘toyol’ dan tidak kurang mengatakan wang berkenaan dicuri penagih dadah,” katanya.
Disebabkan buntu dengan kejadian itu, beberapa penduduk dan ahli jawatankuasa masjid berkenaan tampil membuat laporan polis.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: