Monday, April 26, 2010

Sembelihan kubur

LENGGONG: Tindakan menyembelih dua ekor ayam di atas tanah yang dibuat seperti bentuk kubur di kawasan hutan berhampiran rumah warga emas yang hilang secara misteri di Kampung Kuak, menimbulkan kemarahan penduduk kampung terbabit dengan mendakwa ia perbuatan khurafat dan boleh memesongkan akidah.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan pihak luar dari kampung berkenaan beberapa hari lalu supaya mangsa, Aminah Mat Sharif, 87, yang hilang sejak 12 April lalu ditemui.


Ketua Kampung Kuak, Syed Isris Syed Abdul Hamid, berkata beliau mendapat maklumat mengenai amalan khurafat yang dilakukan kira-kira 20 orang tidak dikenali itu daripada penduduk pada hari Jumaat lalu.


“Sebaik diberitahu mengenai kegiatan itu, saya terus bergegas ke tempat berkenaan dan mendapati ada kesan amalan berkenaan seperti didakwa penduduk.


“Pihak terbabit dipercayai datang bersama bomoh dan membuat sebuah bentuk kubur di bawah pokok berhampiran Tanah Perkuburan Kampung Kuak kira-kira 100 meter dari rumah mangsa.


“Mereka kemudian melakukan upacara menyembelih dua ekor ayam hitam di atas tanah kubur yang dibuat itu sebagai ganti kambing hitam selepas permintaan bomoh berkenaan tidak dipenuhi.


“Sehingga kini, saya dimaklumkan penduduk bahawa 14 bomoh datang ke tempat berkenaan yang dibawa orang luar dari kampung ini bagi membantu usaha mencari Aminah,” katanya.


Menurutnya, upacara itu dilakukan selepas Maghrib sehingga Isyak dengan mendakwa ‘orang bunian’ atau ‘hantu raya’ yang mengambil warga emas itu akan memulangkannya kembali.


Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan Aminah yang tidak mempunyai anak tinggal seorang diri sejak lebih lima tahun lalu di rumah bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Danglang, Kuak, tidak pulang ke rumah sejak 12 April lalu selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung itu.

Sejak itu, penduduk melancarkan gerakan mencarinya dengan dibantu Unit Anjing Pengesan Polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela).


Gerakan mencari dilakukan di seluruh kampung termasuk di kaki Bukit Bintang Hijau iaitu tempat mangsa disyaki hilang kerana sebelum ini dia sering ke situ mencari kayu api.


Sementara itu, Setiausaha Masjid Kampung Kuak, Muhamad Wahab berkata, beliau mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa masjid bagi menghalang daripada kegiatan khurafat dilakukan di kampung itu dalam usaha mencari mangsa.


"Saya juga mengumumkan kepada orang ramai sebaik selesai solat Jumaat supaya menghalang mana-mana pihak yang cuba menggunakan khidmat bomoh dan melakukan amalan khurafat."Saya percaya mangsa tidak berada di kawasan hutan atau Bukit Bintang Hijau seperti didakwa. Dia mungkin menumpang kenderaan orang luar dan meminta mereka meninggalkannya di luar kampung ini.


“Sesiapa yang mengetahui di mana Aminah berada diminta menghubungi saya di talian 013-4081200 atau balai polis berdekatan,” katanya.


Sementara itu, Penolong Pengarah (Bahagian Penyelidikan), Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Fakhrul Abu Mansur, ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai perbuatan khurafat berlaku di kampung berkenaan.


"Jika benar upacara itu diadakan, ia adalah perbuatan khurafat yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh memesongkan akidah. "Kehilangan mangsa adalah satu dugaan kepada kita dan syaitan memang mahu mengambil peluang daripada keadaan ini supaya turut sesat bersamanya.


“Pihak terbabit (melakukan khurafat) sepatutnya merujuk dulu kepada pihak lebih arif atau JAIP. Kami akan siasat dakwaan ini dan jika benar mereka terbabit boleh didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: