Monday, April 26, 2010

TPM lahir usahawan tekno inovatif


TECHNOLOGY Park Malaysia memainkan peranan penting dalam program pembangunan usahawan tekno.


KOMPLEKS Technology Park Malaysia (TPM) yang tersergam indah di pinggir lebuh raya Puchong - Sg. Besi wajar dicontohi dalam konteks melahirkan usahawan tekno berasaskan pengetahuan dan inovasi.

TPM memang dikenali dengan pemilikan dan pengkomersialan teknologi termaju dan perkhidmatan yang berkualiti dengan penjanaan usahawan dalam pelbagai bidang menerusi Program Pembangunan Inkubator dan Usahawan Tekno.

Sejak penubuhannya pada 1996 , program tersebut melibatkan beberapa fasa dengan setiap fasa memberi fokus kepada bidang-bidang tertentu.

Pada peringkat pertama dan kedua (1996-2001) program inkubator melibatkan pajakan ruang tanah dan bangunan dan fokus kepada teknologi kejuruteraan.

Pada peringkat kedua pula program melibatkan sewaan bangunan dan tanah selain perkongsian kemudahan dan nasihat teknikal dengan fokus kepada kejuruteraan dan teknologi maklumat dan komunikasi.

Selanjutnya pada fasa ketiga (2002-2008), selain penyewaan tanah dan bangunan, ia turut menambah program perkongsian kemudahan-kemudahan, makmal teknologi dan kemudahan lain serta nasihat teknikal dan perniagaan.

Pada fasa ini ia memfokuskan kejuruteraan, ICT dan bioteknologi dan wujudnya status BioNexus dan Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia).

Fasa keempat pula dari tahun 2009 hingga sekarang masih memfokuskan kepada kejuruteraan, ICT dan bioteknologi dan bermula pada tahun lepas.

Pada fasa ini, ia melibatkan tambahan kepada program keusahawan tekno yang bersepadu dan menyeluruh.

Dengan wujudnya program seumpama ini, TPM beranjak kepada fasa yang lebih berintegrasi dan sesuai dengan keadaan semasa.

Bagi membantu pertumbuhan budaya keusahawan, kehadiran program ini tepat pada masanya memandangkan minat dan penglibatan yang semakin meningkat dalam ekonomi yang dipacu oleh teknologi.

Program yang dikenali dengan nama lengkapnya, Pembangunan Inkubasi dan Usahawan Tekno ini melibatkan banyak elemen yang menjadi teras penubuhannya.

Ini termasuk pemilihan, sesi penilaian melibatkan prestasi dan impak ekonomi, perkongsian kemudahan dan infrastruktur serta sokongan dan bantuan daripada TPM Engineering Sdn. Bhd., TPM Biotech Sdn. Bhd., TPM IT Sdn. Bhd. dan TPM College Sdn. Bhd.

Program tersebut juga melibatkan business coaching, latihan perniagaan, mentor dan perundingan melibatkan peningkatan keupayaan perniagaan yang meliputi aspek-aspek seperti penyediaan pelan perniagaan, penjenamaan dan pemasaran, kemahiran komunikasi, kewangan dan juga perakaunan.

Selain itu, ia melibatkan bantuan kewangan bersepadu sama ada geran atau pinjaman mudah Kerajaan dan juga dana-dana swasta seperti modal teroka dan pinjaman persendirian.

Teras lain termasuk rantaian kepada penyelidik dan pakar dari universiti tempatan dan luar negara yang bekerjasama dengan TPM.

Satu lagi teras penting program ini ialah jaringan pasaran di peringkat global dan domestik.

Mengulas mengenai program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden TPM, Datuk Mohd. Azman Shahidin berkata, program yang diketuainya itu mensasarkan peserta di kalangan graduan, penyelidik, syarikat industri kecil dan sederhana ( IKS) yang baru bermula, profesional, dan usahawan tekno.

''Ini adalah keunikan program inkubator kendalian kita (TPM) yang menawarkan pelbagai kemudahan dan bantuan sokongan,'' katanya.

Beliau memberi contoh, kelainan program inkubator TPM itu disokong oleh penubuhan pusat rujukan sepusat yang menawarkan semua kemudahan yang disebutkan serta bantuan, bimbingan, latihan dan mewujudkan rantaian pemasaran.

Pejabat yang ditawarkan juga lengkap dengan kemudahan asas dan dibantu untuk mendapatkan pembiayaan daripada pihak yang menawarkan bantuan dana.

Paling istimewa, bantuan-bantuan itu datang daripada anak-anak syarikat TPM yang memainkan peranan berdasarkan fokus dan kemahiran masing-masing iaitu TPM Biotech Sdn. Bhd., TPM Engineering Sdn. Bhd. dan TPM IT Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: