Monday, April 26, 2010

Tonton televisyen secara 3D


KEHADIRAN televisyen LED 3D HD memberi peluang kepada penonton menonton rancangan secara tiga dimensi (3D).


SELEPAS perluasan aplikasi untuk layar panel rata plasma, LCD dan juga LED, pengguna kini bakal menikmati pengalaman tontonan televisyen lebih menakjubkan menerusi format tiga dimensi (3D) secara total.

Transformasi moden pada produk elektronik tersebut menawarkan keunggulan teknologi pengimejan premium dan luar biasa untuk memberi lebih kepuasan tontonan.

Melaluinya, penonton akan dibawa menyelusuri dunia paparan televisyen seolah-oleh bernyawa dengan sokongan kualiti serta ruang timbul yang lebih jelas dan nyata.

Itu yang ditawarkan oleh syarikat peneraju produk media digital, Samsung Electronics ketika memperkenalkan rangkaian televisyen LED 3D berdefinisi tinggi (HD) penuh baru-baru ini.

Pengenalan televisyen LED 3D pertama di dunia ini, Samsung turut menampilkan model LCD 3D, Plasma 3D, pemain Blu-ray dan sistem teater rumah yang turut disokong fungsi 3D.

Model yang dimaksudkan adalah LED 8000, LED 7000, LED 6000, LCD 750 dan PDP 7000 selain LED 9000 yang akan memasuki pasaran menjelang Julai ini.

Rangkaian televisyen tersebut didatangkan bersama pemproses berenjin HyperReal 3D binaan dalam bagi menyokong paparan spektrum warna penuh di samping tawaran kejelasan ruang yang sempurna.

Melihat kepada rekaan luarnya pula, ia mempunyai ketebalan hanya 23.9 milimeter (mm) sesuai untuk penjimatan ruang serta dilengkapi kemasan bingkai berwarna perak menawan.

Untuk membolehkan penonton menikmati paparan 3D dengan lebih selesa, mereka akan dilengkapkan dengan kaca mata khas yang direka menggunakan cecair kristal.

Dengan berat hanya 30 gram, kaca mata itu didatangkan dalam dua model iaitu yang menggunakan kuasa bateri atau boleh dicas semula melalui sambungan USB.

Menariknya, ia dilengkapi teknologi pertukaran isyarat dua dimensi (2D) kepada 3D secara automatik pada masa nyata.

Kelebihan itu akan membolehkan penonton dapat melaksanakan aktiviti menonton program televisyen, video, foto serta permainan video secara 3D.

Bagi fungsi Internet pula, model-model televisyen berkenaan turut disempurnakan bersama sambungan HDMI, Ethernet 1.4 serta sokongan wayarles.

Setiap model televisyen LED akan didatangkan bersama alat kawalan jauh dengan sentuhan intuitif mudah untuk kawalan menu dan format paparan.

Kesemua model kini boleh diperolehi di pasaran dalam lingkungan harga RM9,999 hingga RM19,999 bergantung kepada saiz.

Untuk model LED 7000, ia ditawarkan dalam pilihan saiz 40 inci, 46 inci dan 55 inci sementra LED 8000 mempunyai saiz 46 inci, 55 inci dan 65 inci.

Bagi kaca mata 3D tambahan pula, ia dijual secara berasingan pada harga RM899 untuk yang menggunakan USB dan RM599 bagi kuasa bateri.

Maklumat dan spesifikasi lengkap boleh diperolehi daripada laman web www.samsung.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: