TIRAI festival fesyen yang dinantikan, Stylo dibuka kembali sempena penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Sepang, hujung minggu ini.
Tema terbabit dipilih berdasarkan isu pemanasan global serta alam sekitar yang disampaikan menerusi peragaan koleksi fesyen.
Selama lapan hari acara berlangsung, beberapa lokasi di sekitar ibu negara akan bertukar rupa menjadi pentas peragaan manakala koleksi fesyen yang dipersembahkan kali ini lebih segar dan sarat dengan mesej tersendiri.
Antara lokasi pilihan kali ini termasuk Jalan Bukit Bintang dan pusat beli-belah Pavilion.
Pada malam gala pembukaan bertemakan Fashion's Tribute to 1Malaysia yang dirasmikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di ibu negara, malam Selasa lalu, empat pereka ternama negara, Faisol Abdullah (Jendela KL), Bill Keith, Khoon Hooi dan Datuk Tom Abang Saufi, berkongsi pentas memperagakan koleksi terkini masing-masing.
Penggunaan rona terang seperti merah, oren, hijau dan ungu terang pula tampak menarik apatah lagi apabila pereka kelahiran Sarawak itu juga tidak ketinggalan menyelitkan motif popular masyarakat negeri berkenaan, pua kumbu dalam rekaannya.
Pereka berpengalaman, Keith lebih senang dengan koleksi berkonsepkan peranakan yang membawa penonton mengimbau kembali era fesyen kebaya nyonya di Malaysia.
Begitu pun, koleksi Keith tampak lebih moden dan segar dengan rekaan seperti gaun berlapis dengan rekaan tangan beropol, baju koktel digayakan bersama kebaya pendek bersulam ala kardigan serta gaun labuh bersama kardigan luar ala kebaya pendek.
Selain itu, penggunaan rona lembut seperti merah jambu, biru muda, hijau lembut dan ungu serta tambahan perincian indah nyata menyerlahkan lagi pesona rekaan.
Himpunan musim bunga dan panas terbaru daripada Hooi juga tidak kurang menarik yang menampilkan sembilan rekaan menarik, sarat dengan elemen romantik, seksi dan segar.
Antara yang mencuri perhatian ialah gaun koktel bersama kardigan dan blaus rona biru lembut yang digayakan bersama skirt mini.
Faisol pula menampilkan himpunan kemeja lelaki dan gaun malam wanita menarik yang direka untuk menyerlahkan imej mewah dan klasik.
Koleksi kemeja lelaki Faisol kali ini jelas menyerlahkan imej maskulin pemakai manakala gaun labuh dengan rekaan leher potongan V di depan dan belakang baju pula tampak begitu elegan untuk digayakan wanita moden yang sofistikated.
Ia menggunakan warna pastel seperti coklat, putih, krim dan hitam sebagai rona utama.
Sementara itu, malam gala perasmian berkenaan turut diserikan dengan peragaan koleksi resort menarik daripada selebriti terkenal yang juga bekas ratu cantik, Kavita Kaur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: