Sunday, April 11, 2010

Presiden Poland, isteri maut nahas udara


GAMBAR pada 2007 menunjukkan Kaczynski dan isteri, Maria pada satu majlis rasmi yang dihadirinya di Amerika Syarikat.



VISUAL televisyen Rusia yang menyiarkan bangkai pesawat Tupolev Tu-154 yang terhempas di Smolensk semalam.


SMOLENSK - Presiden Poland, Lech Kaczynski, 60, terbunuh apabila pesawat Tupolev Tu-154 yang dinaiki beliau terhempas dekat sebuah bandar Rusia di sini semalam dalam nahas yang juga meragut nyawa kesemua 132 penumpang dan anak kapal.

Turut maut ialah isterinya, Maria, 66, dan beberapa pegawai kanan kerajaan termasuk gabenor bank pusat, Slawomir Skrzypek, 46, ketua angkatan tentera, Jeneral Franciszek Gagor, 58, dan Timbalan Menteri Luar Poland, Andrzej Kremer, 48.

Mereka dalam penerbangan ke Katyn dekat sini untuk menghadiri majlis memperingati ribuan rakyat Poland yang ketika itu menjadi mangsa pembunuhan kejam pemimpin Kesatuan Soviet, Josef Stalin pada musim bunga 1940.

Pesawat itu terhempas kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) sebelum mendarat hampir dua kilometer di lapangan terbang Smolensk, 782 kilometer dari Warsaw, ibu negara Poland, dan 360 kilometer dari Moscow.

Gabenor wilayah Smolensk, Sergei Antufyev ketika bercakap kepada sebuah stesen televisyen Rusia mengesahkan tiada mangsa yang terselamat dan perkara tersebut turut disahkan oleh agensi berita rasmi Poland, PAP di Warsaw.

Televisyen tempatan menyiarkan visual beberapa serpihan bangkai pesawat buatan Rusia berusia 20 tahun itu terbakar dan bertaburan di sebuah hutan manakala siasatan awal menunjukkan nahas berpunca akibat kecuaian juruterbang.

Ekoran tragedi malang itu, speaker dewan rendah Parlimen Poland, Bronislaw Komorowski, mengikut perlembagaan mengambil alih jawatan sebagai presiden buat sementara waktu sehingga pemilihan rasmi yang baru dilakukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: