Thursday, April 22, 2010

PM Thai sedia berunding

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejajajiva bersedia berunding dengan para penunjuk perasaan yang mahu menukar kerajaan tetapi dengan syarat mereka bersetuju untuk patuh pada undang-undang, kata jurucakapnya semalam.

"Percubaan untuk berunding memang ada, tetapi rundingan rasmi tidak dapat dilakukan selagi tunjuk perasaan itu melanggar undang-undang. Suasana sekarang tidak memberi ruang untuk ia diadakan," kata jurucakap berkenaan, Panitan Wattanyagorn.

Ketika konfrontasi antara penunjuk perasaan antikerajaan dan pihak tentera berada dalam situasi aman tetapi tegang semalam, terdapat beberapa insiden yang boleh mencetuskan kekacauan besar-besaran.

Beberapa penyerang tidak dikenali membedil dua grenad di sebuah depot simpanan minyak berhampiran lapangan terbang utama di sini awal pagi semalam.

Serangan itu melubangi sebuah tangki bahan api pesawat dan mencetuskan kebakaran kecil yang dipadamkan sebelum ia mendatangkan kemusnahan lebih besar.

Di wilayah Khon Kaen, timur laut Thailand, suasana menjadi kecoh apabila penunjuk perasaan antikerajaan dilaporkan menghalang perjalanan sebuah kereta api membawa peralatan ketenteraan.

Kumpulan penunjuk perasaan baju merah yang menyokong bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra mahu pilihan raya semula diadakan secepat mungkin iaitu sebelum rombakan pemimpin tentera hujung tahun ini.

Mereka yang berkeyakinan memenangi pilihan raya negara itu mahu melantik pemimpin tentera prorakyat bagi mengurangkan pengaruh institusi diraja dalam pentadbiran negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: