Friday, April 23, 2010

Personaliti: Yakin impian jadi nyata

DIA berasa bertuah kerana memiliki raut wajah benar-benar Malaysia. Lebih membanggakan, dengan wajah diwarisi kedua-dua ibu bapanya yang berketurunan Tionghua dan fasih berbahasa Melayu, dia berasa gah apabila mengenakan sari, bagai menggambarkan 1Malaysia dalam pakej tersendiri.

MINAT...Lim (dua dari kiri) bersama peserta mendeklamasi puisi di  RTM tidak lama dulu.
MINAT...Lim (dua dari kiri) bersama peserta mendeklamasi puisi di RTM tidak lama dulu.
pix_topright
Berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, Lim Fheng Fheng, 26, mengakui mulanya memilih untuk melanjutkan pengajian diploma dalam perniagaan. Tetapi pujukan ibu bapanya yang menyarankan peluang dalam bidang komunikasi lebih sesuai untuk dirinya, membuatkan dia akur.

Akhirnya memilih bidang komunikasi dan pengkhususan dalam kewartawanan, dia meneruskan kesinambungan minat keluarga dalam bidang penulisan.

"Terus terang saya katakan bidang komunikasi memberi ruang kepada diri ini untuk memantapkan lagi kemahiran dan memang saya seorang yang aktif, suka berkomunikasi dengan orang ramai.

"Menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, pernah bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai wartawan dan kini beralih ke Bernama, ternyata ia memberi kepuasan tersendiri.

"Saya terus memantapkan diri mencari ruang untuk meraih kepuasan dalam kerjaya yang semakin sebati dengan diri ini," katanya yang kini melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Pengurusan Perniagaan kerana menyimpan hasrat untuk melangkah lebih jauh.

Ditanya pemilihannya dalam bidang perniagaan, dia ada alasan tersendiri kerana yakin komunikasi dan perniagaan bagaikan saling melengkapi.Selain turut menanam cita-cita membuka perniagaan sendiri bersama keluarga tercinta suatu hari nanti, si kecil molek ini agak rasional melihat kerjaya kewartawanannya untuk melakar sesuatu yang lebih bermakna.


"Tidak mustahil kalau saya ingin meletakkan kerjaya komunikasi ini di puncak. Justeru, menyimpan impian untuk bergelar wartawan berjaya menembusi peringkat antarabangsa.

"Saya yakin mampu meraihnya suatu hari nanti. Mungkin apabila pengajian dan pengalaman ini semakin sebati, tidak mustahil untuk mencapainya kelak.

"Saya berhasrat melamar pekerjaan dengan agensi berskala besar yang mencipta nama gah di arena antarabangsa.

"Itu antara impian yang tersemat di jiwa ini. Untuk menggapainya, saya perlu bekerja keras mulai sekarang kerana kekuatan semangat serta ketahanan mental dan fizikal penting untuk merealisasikan semua ini," katanya menceritakan impian sebenarnya.

Tidak menafikan darah seni yang mengalir daripada kedua-dua ibu bapanya (ibunya, Selina S F Lee pernah menjadi editor majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka), memberi banyak kekuatan kepadanya.

Padanya, nilai jati diri keluarganya yang sering bertutur dalam bahasa Melayu banyak membantu memantapkan lagi penguasaan bahasa.

Membesar dengan filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, terbuai dengan lagu indah Datuk Sheila Majid dan Sudirman berbanding artis Cina, dia mengakui semua itu menjadi faktor penting kepadanya untuk terus menguji kehebatan bahasa ibundanya.

"Antara nilai seni yang diwarisi daripada ayah saya adalah minat mendalam saya dalam bidang puisi sebagai pendeklamasi sajak.

"Antara pencapaian tertinggi saya, pernah meraih juara Deklamasi Puisi Merdeka 2008 dan ia adalah kenangan terindah.

"Saya banyak belajar hal membaca puisi apabila sering melihat ayah dijemput untuk majlis tertentu. Sedikit sebanyak, semangat dan kecintaan itu meresap di jiwa saya," katanya bersemangat.

Suatu hal yang lucu pernah dilalui pemilik wajah ala Melayu ialah ramai yang keliru apabila bertegur sapa dengannya dan tidak menyangka dia berketurunan Tionghua.

"Paling bimbang apabila setiap kali Ramadan, saya ke restoran dan agak sukar bagi saya untuk makan.

"Ia membuatkan saya serba salah kerana orang akan menegur yang saya tidak berpuasa. Untuk itu, saya mengelak makan di restoran sebagai menghormati bulan mulia bagi orang Islam itu supaya tidak timbul kekeliruan atau teguran yang mungkin tidak menyenangkan.

"Bagi mereka yang tahu saya bukan Melayu, ia tidak menjadi masalah. Cuma segelintir rakan sepejabat yang tidak kenal, kebanyakannya menegur apabila saya membeli makanan.

"Tetapi saya sentiasa terbuka dan peka dengan hal itu, sekali gus menjadikan diri lebih matang," katanya.

Profil
NAMA: Lim Fheng Fheng
KERJAYA: Wartawan penyiaran di Radio 24 Bernama
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Putra Malaysia
STATUS: Bujang, anak kedua daripada tiga beradik
BAPA: Dr Lim Swee Tin
IBU: Selina S F Lee

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: