TURUTAN gambar menunjukkan Mary Rose Joseph, 63, melalui detik cemas apabila dikejar peragut. Mangsa kemudian nekad memanjat pagar rumah jirannya dan diikuti peragut bersenjata parang sehingga ke halaman rumah sebelum meragut rantai emas.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin, Mary Rose Joseph, 63, dikejar dua peragut bermotosikal, termasuk seorang bersenjata parang yang turut memanjat pagar untuk meragut rantai leher mangsa.
“Saya ditolak hingga terjatuh di bawah ampaian sebelum rantai emas saya diragut.
“Peragut terbabit hanya melarikan diri sebaik melihat seorang jiran yang terdengar jeritan saya keluar dari rumah,” katanya.
Mary Rose bersyukur kerana tidak dicederakan dua penjenayah terbabit, namun masih trauma dengan kejadian itu, lebih-lebih lagi apabila menonton semula CCTV.
“Pengalaman ini cukup menakutkan kerana peragut bersenjata tidak lagi melakukan jenayah di jalanan, malah sudah berani mengejar mangsa hingga ke rumah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Jinjang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sedang meneliti laporan mangsa, termasuk rakaman CCTV berkenaan bagi mengenal pasti identiti suspek berusia antara 21 dan 22 tahun yang dipercayai warga tempatan.
Bagaimanapun, beliau menafikan kawasan terbabit adalah kawasan panas kerana jarang berlaku jenayah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: