LONDON – Seorang pembantu rumah Indonesia, Yoyoh Salim Udin (gambar) memberitahu Tribunal Pekerjaan London Tengah bahawa dia dipaksa bekerja lebih 16 jam sehari dan dilayan seperti hamba oleh majikannya yang merupakan pasangan Muslim yang kaya, lapor sebuah akhbar semalam.
Penderitaan Yoyoh sampai di kemuncaknya apabila dia diperiksa secara bogel kerana dituduh mencuri beberapa pasang anting-anting selain dikurung.
Menurutnya, dia juga tidur di atas tilam nipis dan selimut.
Yoyoh menyaman pasangan Lina Chamsi Pasha dan suaminya Firas di tribunal tersebut atas dakwaan diskriminasi kaum, menghina, tidak dibayar gaji, selain menuntut ganti rugi kerana mereka melanggar hak-hak pekerjaan termasuk waktu kerja.
Lahir di Jawa Barat, Yoyoh datang ke London untuk bekerja di pangsapuri lima bilik tidur milik Firas pada tahun 2004.
Dia dibayar gaji sebanyak AS$300 (RM958) pada bulan pertama sebelum dinaikkan kepada AS$400 (RM1,278) sebulan kemudian.
Lina yang dipanggil Yoyoh sebagai puan memberinya tiga set baju seragam terpakai.
Yoyoh tidak dibenarkan berkongsi barangan di dalam rumah, malah diberikan satu cawan dan mangkuk plastik untuk kegunaannya.
Majikannya turut menetapkan keperluan spesifik semasa membasuh pakaian.
“Saya mesti menggunakan satu baldi plastik untuk membasuh seluar dalam. Satu baldi lain untuk kasut dan baldi berbeza untuk tudung dan pakaian lain.
“Puan menyuruh saya membasuh seluar dalam dan stoking semua orang dengan tangan sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh,” cerita Yoyoh kepada tribunal berkenaan.
Yoyoh memberitahu pengalaman diperiksa secara bogel terus menghantuinya.
Keadaan itu menyebabkan dia cuba membunuh diri dengan meminum racun.
Insiden itu turut membuatkan kemampuannya untuk menelan liur telah terjejas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: