Thursday, April 22, 2010

Media, artis perlu sefahaman




Kontroversi yang dicetuskan pelakon baru, Ammar Alfian Aziz mempunyai impak yang besar terhadap isu 'perseteruan' antara media dan artis, walaupun Ammar bukan nama besar dalam industri hiburan tanahair.

Ia adalah rentetan sikap Ammar yang meluahkan rasa kurang senang hati terhadap para wartawan hiburan tempatan menerusi laman sosial Facebook sehingga seolah-olah mengugut mahu membunuh wartawan yang menulis perkara buruk mengenainya.

Biarpun Ammar kemudian memohon maaf secara terbuka melalui Persatuan Seniman baru-baru ini, namun ia memberi kesan 'luka' yang agak mendalam sehingga menggugat keharmonian hibungan antara wartawan hiburan dan artis.

Ini kerana pihak media pula dikritik kerana disifatkan sebagai keterlaluan dalam membuat penulisan artikel masing-masing seperti ingin menjatuhkan karier pelakon tersebut.

Malah, selepas itu muncul sebuah laman khas di Facebook dan blog-blog lain yang khusus digunakan untuk mengutuk para wartawan hiburan tempatan.

Jika diamati kembali, ia bukan insiden pertama membabitkan pertelingkahan antara media dan artis.

Masih ingat lagi bagaimana pengacara Azwan Ali bertelingkah dengan beberapa media kerana melaporkan berita tentang keburukan yang dilakukannya yang dianggap sengaja mahu menghina dan menjatuhkan periuk nasi pengacara itu, sebelum dia kemudian memohon maaf kepada wartawan?

Turut dikritik hebat juga, apabila para media memboikot kumpulan Butterfingers sekitar tahun 2005 kerana lirik lagu Merpati Sejoli dalam album Selamat Tinggal Dunia yang berbunyi "…janganlah terasa hidup ini sementara, wartawan hiburan pondan homoseksual…"

Begitu juga dengan kes pelakon Fasha Sandha yang dianggap biadap dan terlalu hipokrit apabila berdepan dengan para media.

Fasha membuat kontroversi apabila dia memaki seorang editor hiburan dan tidak mengaku akan kesalahannya itu, lalu impaknya dia kemudian diboikot media lebih daripada setahun sebelum dia kembali diterima sekarang ini.

Dalam hal ini, pihak media dilihat seolah-olah mereka ada kuasa untuk menentukan jatuh dan bangun seseorang artis itu dan bagi artis yang diboikot, ia ibarat sebagai peringatan bahawa kejayaan para artis adalah hasil daripada tulisan media.

Sebenarnya dalam konteks ini, perselisihan faham antara artis dan media sukar untuk dibuat klasifikasi tentang siapakah yang benar dan salah.

Sebenarnya, tiada mana-mana pihak yang berada di pihak benar kerana masing-masing baik para artis mahupun wartawan mempunyai kesilapan tersendiri yang kadangkala diri sendiri pun tidak sedar mengenai kesalahan yang dilakukan.

Bukankah suatu waktu dulu, para artis dan media bersatu menaikkan industri hiburan tanah air? Mereka mempunyai pertalian hubungan yang akrab dan faham dengan kerjaya masing-masing.

Berbeza pula pada zaman sekarang. Sikap enggan meringankan mulut untuk mengenali antara satu sama lain agak kurang dipraktikkan. Apa yang dilihat, masing-masing menanti untuk ditegur.

Mungkin juga kerana pertambahan bilangan artis, agak sukar untuk para media dan artis merapatkan hubungan mereka sesama sendiri.

Maka, hal tiada persefahaman akan timbul sehingga boleh tercetusnya pertelingkahan antara satu sama lain. Disebabkan kerana emosi, masing-masing meluahkan perasaan tidak puas hati melalui medium-medium yang ada.

Berhak boikot


MEMBUANG ego dan saling hormat menghormati dapat mengekalkan perhubungan sesama artis dan media.


Menemubual wartawan hiburan akhbar Mingguan Malaysia, Niezam mengenai pengalamannya selama 15 tahun dalam kewartawanan hiburan, dia menegaskan telah melihat satu perubahan ketara dalam perhubungan sesama artis dan media.

Katanya, isu berkaitan tidak puas hati antara artis dan media timbul kerana ia berpunca daripada bilangan artis yang semakin ramai, tidak kira pelakon, penyanyi atau penari.

Justeru, masing-masing menunjukkan 'produk' yang dimiliki mereka untuk 'dijual' kepada umum. Bagaimanapun, kualiti yang ditunjukkan tidak seiring dengan pertambahan bilangan artis.

Sekali gus para artis yang hadir dengan produk yang tidak berkualiti, akan menerima kritikan daripada para media.

"Media adalah pengkritik. Dulu, produk (bakat) artis-artis tempatan sangat berkualiti dan bila mereka bagus, kritikan yang diterima juga adalah positif. Waktu itu, artis-artis tempatan taklah ramai sangat. Kini, dengan bakat-bakat baru yang pelbagai, banyak kritikan negatif yang diterima.

"Bila sudah terlalu banyak kritikan, maka timbullah perasaan tidak puas hati, walhal itu semua kebaikan untuk memantapkan lagi bakat mereka. Tapi sebaliknya pula berlaku bila kritikan itu tidak dianggap sebagai positif.

"Selain itu, dengan adanya media baru seperti Internet, seseorang individu itu boleh meluahkan perasaan mereka dalam laman web yang disediakan. Bila luahan emosi itu mengaibkan individu yang lain, maka timbulah pertelingkahan di mana ia tidak perlu ada dalam kamus industri hiburan.

"Dengan teknologi maklumat (IT) semakin maju yang terdapat juga media lain di alam maya tersebut, para media juga sudah mula dikritik. Bila berlakunya zaman kecanggihan sebegini, kedua-dua pihak iaitu media dan artis sudah mula bersedia menerima kritikan secara terbuka dan pedas.

"Dalam pada itu, sikap hormat menghormati sesama artis dan media membuatkan perasaan tidak puas hati mudah wujud. Bila kedua-dua pihak (artis dan media) menunjukkan ego dan kemarahan masing-masing, perkara ini tidak dapat diselesaikan.

"Jadi, setiap individu perlu berpatah balik dan melihat peranan masing-masing, baik artis mahupun media. Fikir siapa diri sebenarnya dan apa peranan dan tanggungjawab kita dalam industri hiburan tempatan.

"Sebagai seorang artis, mereka perlu tahu yang masyarakat bukan sahaja ingin tahu mengenai kerjaya mereka tetapi juga peribadi dan tiada privasi untuk individu yang bergelar artis. Jadi, mereka harus berada di pangkal yang benar iaitu menjaga perlakuan diri sebaik mungkin agar tidak dipandang serong.

"Bagi pihak media pula, jangan terlalu menganggap bahawa diri mereka mempunyai kuasa sepenuhnya sebab para media pada hari ini mungkin dipandang rendah disebabkan imej wartawan yang melampaui batas.

"Bila ada yang benci, dan mereka tidak berani untuk menyuarakannya, maka mereka meluahkan perasaan itu dalam blog. Maka, apabila blog mereka dibaca, sudah pasti ia mendapat sokongan daripada para pembacanya," tegas Niezam

Tambahnya, pemulauan atau boikot yang berlaku dalam industri hiburan tempatan sebenarnya boleh dilakukan kerana ia adalah hak individu berkenaan untuk memulaukan sesiapa sahaja yang diinginkan.

"Artis juga berhak pulaukan media dan hal ini tiada paksaan daripada sesiapa. Tapi bila perkara ini berlaku, kedua-duanya harus tahu kenapa individu berkenaan perlu dipulaukan? Kalau artis itu berjaya membawa diri dalam karier seni, tidak ada sebab media mahu memulaukan atau mengkritik dia.

"Tetapi jika artis itu membuat satu perkara yang tidak betul, media tidak akan layan orang seperti ini kerana dia boleh merosakkan industri seni dan nampak buruk pada pandangan mata masyarakat. Jika media memberi peluang kepada artis-artis seperti ini, ia akan menjadi contoh yang buruk buat pendatang baru.

"Satu perkara ingin saya tegaskan disini, kejayaan seseorang artis itu bukan daripada media kerana artis itu sendiri yang menaik dan menurunkan karier seni mereka. Kami sebagai pihak media sekadar melaporkan sahaja," katanya.

Media perlu telus

Menjadi selebriti yang glamor adalah satu perkara yang diinginkan oleh kebanyakan golongan muda kini. Namun ramai yang tidak sedar akan risiko menjadi seorang artis. Ini kerana, ia boleh memudahkan seseorang indivitu yang ingin bergelar artis untuk menghala kearah kebaikan atau keburukan.

Ada yang terus lupa diri dan terlalu bermegah dengan pencapaian mereka dan ada juga masih lagi berpijak di bumi yang nyata. Bagi yang terjerumus ke kancah keburukan, bersiap sedialah untuk menerima kritika hebat daripada para pelapor (media) ini.


KONTROVERSI yang dicetuskan Ammar telah memberi impak yang besar terhadap hubungan artis dan media secara amnya.


Namun, ramai yang menimbulkan persoalan, siapakah yang menjaga tata tertib penulisan para wartawan yang mengeluarkan artikel-artikel panas terhadap seseorang artis itu? Melihat keadaan ini, terdapat positif dan negatifnya dalam profesionalisme seorang media juga artis.

Menurut pelakon popular dan Pengerusi Persatuan Seniman, Harun Salim Bachik pula, para wartawan seharusnya menulis artikel yang tidak mengecilkan mana-mana pihak agar perhubungan antara media dan artis berkekalan.

"Media harus telus dengan apa yang dilaporkan dalam apa yang dikemukakan supaya ia tidak kecilkan hati di mana-mana pihak khususnya artis. Nak ikutkan orang biasa pun buat juga perkara yang artis buat, cuma artis lebih terdedah kepada umum

"Para artis juga perlu beringat, jangan terlalu outspoken dan jaga hal peribadi sendiri kerana bila ada berita, kita akan menjadi tumpuan. Bila jadi tumpuan, ia menjadi tarikan utama para media.

"Sebab itu, para artis perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan kerana kita tidak boleh menidakkan hal-hal sebegini. Jika tidak mahu menjdai bahan cerita, jalan paling mudah, jangan jadi artis kerana menjadi seorang artis ada kelebihan dan kekurangannya," ujarnya

Beritahu Harun lagi, publisiti yang terlalu banyak terhadap seseorang artis itu juga membuatkan mereka mudah lupa diri dan berlagak diva. Dan para media perlu membetulkan keadaan ini semula.

"Artis itu perlu lihat semula siapa yang naikkan dia? Media bukan? Bila para media terlalu banyak memberi pendedahan berkenaan kisah-kisah artis itu, para media jugalah yang kena perbetulkan keadaan itu semula, kiranya menegur dengan cara baik.

"Bagaimanapun, tidak semua artis yang mendapat faedah daripada media kerana sesetengah mereka berjaya kerana usaha kerja keras mereka. Kerana tidak semua artis yang berpeluang untuk mempromosikan diri dalam ruangan media.

"Tapi bila ada pihak mengatakan kerana medialah, artis itu berjaya, itu yang membuatkan orang itu tak senang hati. Perlu diingat, tak semua artis naik kerana media," tegas Harun.

Sementara itu, Kosmo! Juga telah mendapat komen daripada dua selebriti popular tanah air iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Aznil Nawawi berkenaan dengan hal ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: