Tuesday, April 6, 2010

Pecutan makin laju


SCHA (kiri) dan Aaron (kanan) merupakan tenaga penting Evolusi KL Drift2.


SELEPAS lebih seminggu berada di pawagam seluruh Malaysia, filem terbitan bersama Skop Productions dan Grand Brilliance, Evolusi KL Drift 2 kini menderu semakin laju dalam menggapai sasaran kutipan pecah panggung berjumlah RM6 juta!

Berdasarkan kutipannya yang telah mencecah RM3.6 juta itu, ternyata sekali ia telah memberikan gambaran terhadap kehebatan filem buah tangan ketiga anak kebanggaan Datuk Yusof Haslam, Syamsul Yusof.

Meraih sambutan luar biasa daripada golongan remaja hinggalah dewasa, filem itu sudah menjadi bualan cerita dari bibir ke bibir.

"Bukan mahu mengangkat bakul sendiri, jika tidak manakan seorang doktor dari Hospital Besar Ipoh bersusah payah menelefon pejabat Grand Brilliance meminta nombor telefon bimbit saya hanya sekadar ingin mengucapkan tahniah dan menyatakan dirinya benar-benar terhibur dengan filem aksi ini," ujar Yusof yang bertindak sebagai penerbit Evolusi Kl Drift 2.

Tambahnya: "Memang berbaloi apabila hari pertama tayangannya sahaja sudah berjaya mengaut RM560,000!

"Lebih mengagumkan lagi semasa tinjauan yang dilakukan oleh staf Skop Productions dan Grand Brilliance di pawagam-pawagam sekitar Lembah Klang pada pembukaan hari pertama tayangan filem ini mendapati bukan sahaja masyarakat Melayu yang menontonnya, malahan kaum-kaum lain juga kelihatan memasuki panggung yang menayangkan filem ini.

"Sesuatu yang agak baik apabila filem ini turut menyediakan sarikata dalam bahasa Inggeris."

Menurut Yusof lagi, pada hari Sabtu minggu pertama ditayangkan di pawagam di Alamanda, Putrajaya, KL Drift Evolusi 2 mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat kutipan hampir RM30,000, diikuti rapat di beberapa pawagam yang lain menjadikan jumlah kutipan pada hari itu mencecah RM900,000!

"Melepasi hari kelapan tayangan, kutipan Evolusi KL Drift 2 sudah mencecah RM3.6 juta hasil tayangan menerusi lebih 70 buah pawagam seluruh Malaysia.

"Dengan keyakinan serta pandangan logik, Skop Productions dan Grand Brilliance berani mempertaruhkan jumlah kutipan filem ini bakal melebihi RM6 juta dan ia bukan mustahil," tegasnya.

Yusof meluahkan: "Terima kasih yang teramat pada rakyat Malaysia yang menghargai penghasilan filem ini."

Filem mengisahkan sekumpulan anak muda yang gemar berlumba kereta sebelum digugat gejala gangsterisme dan sindiket pengedaran dadah itu menampilkan barisan pelakon terkenal masa kini yang terdiri daripada Scha Al Yahya, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Farid Kamil, Remy Ishak dan Syamsul sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: