Tuesday, April 6, 2010

Tidak serik kahwin


LUMRAH wanita, kata Atilia, jika diizinkan Tuhan berkahwin lagi, dia mahu lekas mendapat anak.


KEDATANGAN Kosmo! ke kediaman penyanyi genit Atilia untuk sesi fotografi disambut dengan ramah. Sambil wajahnya disolek, jari Atilia tidak dapat lari dari komputer riba demi melayan peminatnya di laman sosial Facebook dan Twitter.

Sepanjang sesi fotografi berlangsung di kediamannya yang dihiasi dekorasi moden, mulutnya juga tidak henti-henti berceloteh. Sesekali gelak tawa bersama teman baiknya, Yasmin Hani yang kebetulan bertandang di kediamannya memecah keheningan.

Aksi Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron di hadapan lensa kamera memang cukup bertenaga. Ada sahaja idea diberikan untuk menambahkan lagi keindahan fotonya.

Dalam gelak tawa, penyanyi jazz kontemporari itu seakan-akan dapat membaca rencana yang membawa Kosmo! ke kediamannya. Bukan sahaja ingin meninjau perkembangan terbarunya tetapi juga isi hatinya yang dikhabarkan sedang berbunga cinta.

Mulanya, Atilia ingin mengelak untuk menjawab segala pertanyaan yang berbaur peribadi kerana bimbang kekasih hati yang dikenali sejak setahun yang lalu berasa tidak selesa.

"Saya bukan tidak mahu cerita, tetapi dia (kekasih) bukanlah selebriti, dia juga tidak selesa kalau kisah cinta kami menjadi tatapan umum sedangkan kami masih dalam peringkat mengenal hati budi.

"Buat masa ini dia belum bersedia untuk diperkenalkan. Jika sampai waktu yang sesuai, semua orang akan tahu juga. Saya lagi tidak suka sorok-sorok" ujarnya ringkas.

Wanita berusia 36 tahun ini hanya tertawa apabila ditanya tentang kesahihan laporan yang mengatakan dia bakal menamatkan zaman solonya dalam tahun ini juga.

Terdiam seketika, memikirkan ayat yang tepat barangkali, kemudian Atilia bersuara: "Sebenarnya, saat saya ditanya mengenai hal itu adalah tentang perancangan saya sahaja. Siapa yang tidak mahu berkahwin tetapi setakat hari ini, keluarga kedua-dua pihak belum tahu mengenai hubungan kami.

"Jadi, saya tidak boleh bercakap sembarangan tentang perkahwinan buat masa ini. Semuanya tidak tentu lagi. Kalau ada jodoh antara kami, saya akan umumkan berita gembira itu," tuturnya dalam senyum.

Mahu anak




Bercerita lebih lanjut tentang jejaka yang berjaya menambat hatinya itu, Atilia mengatakan sejak awal pertemuan lagi kekasihnya sudah mengenalinya sebagai seorang penyanyi.

Malah, statusnya sebagai artis juga bukanlah satu masalah besar dalam hubungan cintanya kerana kekasihnya bekerja dalam bidang produksi.

"Dia sudah tahu saya artis sejak awal perkenalan lagi dan itu bukan masalah. Saya kira, keserasian yang saling melengkapkan kami," ungkapnya tentang kekasih yang tiga tahun lebih muda berbanding usianya itu.

Jika mahu menjalinkan hubungan cinta, tidak hanya berlandas pada keserasian semata-mata. Itu diakui Atilia, katanya secara ikhlas, dia mencintai kekasihnya itu kerana kerajinan serta kejujurannya.

"Saya wanita yang pernah berkahwin dan bercerai. Pasti untuk mencari teman, saya sangat berhati-hati. Tetapi saya lihat dia seorang yang sangat rajin bekerja dan saya sukakan lelaki yang begitu," beritahunya yang telah bercerai dengan suaminya Ariff Johan Abdul Jalil pada Januari tahun lalu.




Tidak segan mengakui dirinya seorang yang romantik bila tiba bab cinta, Atilia menegaskan hubungan cinta memainkan peranan besar dalam kehidupan sehariannya kerana itu perkara nombor satu buat dirinya.

Tambah Atilia, perjalanan kerjayanya juga bergantung kepada hubungannya. Jika hubungan cintanya melalui episod suram, maka suramlah kerjayanya.

"Itu diri saya. Kalau saya gembira, saya akan bekerja penuh semangat. Tetapi kalau hubungan saya mengalami masalah, seluruh dunia saya juga dirasakan bermasalah," katanya dalam tawa tentang kelemahan diri.

Bicara anak kepada penyanyi versatil 1980-an, Salamiah Hassan itu lagi, dia tidak pernah serik untuk melayari kehidupan rumah tangga meskipun pernah gagal sekali.

"Saya tidak pernah serik. Saya inginkan sebuah keluarga kerana saya inginkan anak cepat. Lagi pun umur saya bukan muda lagi," luahnya.

Album Indah

Beralih bicara kepada perkembangan terbarunya dalam dunia seni, Atlia yang sebelum ini muncul dengan album pertama berjudul Sangkar, bakal muncul dengan album keduanya yang diberi nama Indah pada 1 Mei depan.

Album yang diterbitkan oleh Atilia sendiri di bawah syarikatnya Mujik Production melahirkan konsep yang tidak jauh berbeza daripada Sangkar iaitu Neo Jazz. Cuma, katanya, album keduanya lebih bersifat komersial.

"Saya akui album pertama saya agak kurang mendapat sambutan di negara sendiri berbanding Indonesia, mungkin kerana peminat muzik di sana telah terdedah kepada muzik Jazz berbanding dengan Malaysia yang lebih ikut trend.




"Lagu-lagu saya dalam album pertama semuanya bagus tetapi kurang diputarkan di radio dan dinyanyikan di televisyen kerana tidak bersifat komersial. Jadi, kali ini saya membuat sedikit perubahan," ulasnya yang juga sibuk dengan bisnes pengurusan majlis.

Album yang mengandungi 10 buah lagu itu turut memuatkan lagu kolaborasinya bersama Noh Hujan menerusi lagu Silly Little Thing serta bersama dua penyanyi dari Indonesia iaitu Maliq & D'Essentials dan band Sore.

Jelasnya, kolaborasi itu antara strategi yang digunakan untuk memikat pendengar muda dan juga peminat dari Indonesia.

"Noh seorang penyanyi yang bagus, saya pernah dengar dia mendendangkan sebuah lagu Inggeris dan saya terfikir untuk berduet dengannya. Kerjasama dengan Maliq & D'Essentials dan band Sore adalah untuk memudahkan lagi laluan saya ke sana.

"Saya pernah bekerja dengan mereka beberapa kali, manakala band Sore sebuah band Indie di Indonesia. Saya tidak pernah bekerja dengan mereka sebelum ini, hanya menyampaikan hasrat melalui Twitter. Tetapi mereka terus memberi persetujuan dan menyatakan mereka meminati lagu-lagu saya. Sejak itu kami menjadi teman dalam muzik," ujarnya.

Malah, untuk album keduanya, pengurusannya lebih teratur apabila Atilia menandatangani kontrak bersama Alibi Music Sdn. Bhd. baru-baru ini. Syarikat rakaman tersebut akan menguruskan segala hal yang berkaitan dengan albumnya termasuk promosi, muat turun Internet dan pengedaran.

"Saya berharap dengan adanya kerjasama ini, ia akan memudahkan lagi perjalanan album ini," katanya yang menulis lima lirik lagu dalam album itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: