
KEMPEN Kami Prihatin mempersembahkan lagu penuh rasa berjudul Harapan Satu Suara yang akan dimainkan di radio bermula 8 April ini.
Bukan tangkap muat, lagu ciptaan S. Atan, lirik oleh Habsah Hassan itu dinyanyikan hampir 20 orang artis besar dan ternama tanah air.
Lebih utama, ia menjadi jentera kempen keprihatinan anjuran akhbar Utusan Malaysia terhadap isu buang bayi yang semakin meningkat.
Atas usaha Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharuddin Mustapha yang bertindak sebagai Penerbit Ekskutif penerbitan lagu itu, kesemua artis terlibat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Nurul, Misha Omar, Amy Mastura, Amylea, Aisyah, Fauziah Latiff, Anuar Zain, Aizat, Mawi, Anita Sarawak, Maya Karin, Alyah serta ramai lagi sanggup turun padang tanpa sebarang janji upah.
Memilih tiga nama popular, Adibah Noor, Erra Fazira dan Lah Ahmad, Sensasi Bintang mengajak bicara introvert dan ekstrovert mereka tentang perbuatan buang bayi yang dicap kejam dan kebinatangan itu.
Adakah kalian sendiri melihat tindakan membuang bayi itu sebagai impak daripada kerendahan akademik, kejahilan atau masalah sosial?
ADIBAH NOOR (A): Sukar hendak dijelaskan. Nak kata jahil, kita semua tahu hukum halal haram. Akademik pun tak boleh dipersalahkan.
Ia boleh berpunca daripada kesilapan diri sendiri, mungkin kerana terlalu rakus mengejar nikmat dunia, mahu dicintai seperti orang lain tetapi tersalah pilih pasangan. Namun, kes rogol juga boleh menyebabkan wanita mengandung.
ERRA FAZIRA (E): Saya salahkan masyarakat. Tekanan daripada masyarakat turut menyumbang kepada jumlah kes buang bayi menjadi-jadi.
Gadis yang sudah terlanjur itu mungkin malu perbuatan mereka diketahui, jadi mereka ambil keputusan untuk membuang bayi yang baru dilahirkan itu. Sayangnya mereka cuma malu pada manusia, bukan Tuhan.
LAH AHMAD (L): Sebenarnya masyarakat kita terlalu memikirkan pandangan orang sekeliling. Kita malu dan takut dengan pandangan dan cemuhan orang lain. Itulah isunya.
Salah siapa dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan?
A: Kadang-kadang semua itu bukan atas kerelaan wanita dan kalau seseorang wanita itu mengandung tanpa rela, perbuatan buang bayi yang dilakukannya terjadi kerana jahil.
Masyarakat kita pula jenis yang gemar menghukum. Pendekatan sebegitu menyebabkan anak luar nikah itu dibuang kerana si ibu sudah terdesak dan hilang arah.
E: Kesalahan itu tidak datang seratus-peratus daripada wanita, lelaki juga harus bertanggungjawab. Begitu juga keluarga dan masyarakat.
L: Kita semua kena terima setiap kesilapan dengan hati terbuka, yang salah tetap salah tetapi anak yang dilahirkan itu tetap seorang anak.
Sebenarnya, orang Malaysia baik tetapi sedikit konservatif. Ramai yang pandai menuding jari tetapi tidak ramai yang mahu tampil membantu.

Bila artis menjadi penyampai mesej atau 'pengibar bendera kempen', apa jaminan efektifnya kempen itu kelak?
A: Artis cuma memainkan sedikit peranan untuk membantu membendung masalah itu daripada bertambah teruk.
Saya takut nak jawab soalan itu, maklumlah, artis bukannya ikon.
Tapi dalam soal ini, kami boleh berkongsi perasaan dan menyebarkan mesej murni itu kepada masyarakat, terpulang kepada penerimaan orang.
E: Saya setuju. Kita tidak boleh memberi jaminan diterima atau tidak tetapi ini adalah pendekatan artis. Ini kerja kita sebagai artis dan inilah cara kita menyampaikan mesej.
L: Kalau kempen ini dibikin secara besar-besaran, dengan izin Tuhan mungkin orang akan mula berfikir dua tiga kali sebelum tergamak membuang bayi.
Kempen menerusi lagu, kekuatannya di mana?
A: Lirik oleh Habsah Hassan tepat dan padat. Ia tak meleret-leret. Rasanya cukup untuk menyampaikan emosi daripada perspektif seorang anak terbuang.
Saya percaya roh bayi yang dibuang itu tertanya-tanya kenapa perkara sedemikian terjadi kepadanya? Roh mereka sedang bersuara.
E: Lagu, muzik dan hiburan sangat dekat dengan jiwa manusia. Dalam hal ini, saya rasa orang yang terlibat juga gemar mendengar lagu dan mungkin apabila mereka mendengar lagu ini, liriknya akan masuk ke dalam jiwa mereka.
L: Jika telinga sudah terbiasa dengan lagu berkenaan, kesedaran akan tercipta. Sama ada lagu itu mahu dihayati atau tidak, itu terpulang kepada pendengar.
Bagaimana kekuatan pengaruh artis itu?
A: Artis selalu diperhatikan oleh peminat. Harapan saya, setidak-tidaknya apabila peminat melihat kesungguhan dan permuafakatan para artis dalam kempen ini, mereka juga akan bangkit dengan semangat yang sama.
E: Untuk kita betulkan kepincangan dengan sebuah lagu sahaja memang sukar tetapi diharapkan kempen sebegini diteruskan dan di sinilah letaknya kekuatan pengaruh artis tersebut.
Kami beri kesedaran kepada diri sendiri dan juga masyarakat.
L: Langkah para artis terlibat dengan kempen ini sahaja sudah cukup untuk melambangkan penyatuan kami semua.
Kami artis tetapi kami juga orang biasa yang sepakat mahu bersama menyampaikan mesej.
Artis menjadi antara jentera kempen setiap kali ada isu atau kempen kerajaan atau NGO, tidakkah ia kelihatan seperti keprihatinan itu seperti bermusim.
A: Setidak-tidaknya kami telah melakukan sesuatu demi membantu masyarakat. Usaha ini tidak menjanjikan pulangan kewangan kepada kami.
Kalau diberikan pahala oleh Tuhan, kami terima dengan rasa syukur. Kami sendiri menyertai kempen ini tanpa berfikir panjang kerana kami juga sebahagian daripada masyarakat.
E: Kempen memang bermusim dan harus diuar-uarkan secara besar-besaran tetapi tidak bermakna bila kempen sudah tamat, matlamatnya juga berkubur. Tolonglah berfikir secara positif dan fahamilah maksud kempen itu sendiri.
L: Tidak mengapa dan biarlah khalayak bercakap apa sahaja kerana sekurang-kurangnya dengan kempen sebegini, kami dapat menyelamatkan seorang bayi atau satu nyawa yang tidak berdosa.
Kita cuma berusaha untuk menimbulkan kesedaran dan Tuhan yang akan tentukan. Jika secara sengaja atau tidak sengaja kami dapat menyelamatkan kesilapan satu pasangan, itu sudah satu kejayaan.

Pendidikan seks di sekolah dilihat sebagai alternatif pencegahan awal, komen kalian?
A: Bagus sebab ada anak-anak yang tidak tahu apa-apa apabila mereka dicabul oleh bapa, datuk atau abang sendiri. Mereka fikir itu cara ayah, abang atau datuk mereka meluahkan kasih sayang.
Apa yang budak berusia lapan tahun tahu tentang seks jika tidak diberitahu perkara itu kepada mereka?
E: Itu langkah yang baik. Sudah tentu harus diwujudkan pendidikan seks di sekolah.
Dalam soal itu, ibu bapa juga jangan salah faham dan menjadikannya sebagai isu dan berpandangan bahawa ilmu seks sebagai tabu atau keji. Sudah tiba masanya masyarakat kita maju selangkah.
L: Zaman sudah berbeza dan budak-budak sekarang terdedah dengan lebih banyak cabaran.
Bagi saya, pendidikan seks di sekolah itu penting cuma harus ada pendekatan yang sesuai kerana kanak-kanak sekarang ada banyak akses untuk mendapatkan informasi.
Selain TV, mereka guna Internet. Jadi sebelum mereka jatuh dari bukit, semua kena ditegaskan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: