![]() |
| Angel Locsin |
WAJAH manis ini bakal memikat hati para pencinta siri telenovela di Malaysia. Angel Locsin memikul tanggungjawab menjadi salah seorang keturunan serigala jadian dalam siri She-Wolf, The Last Sentinel yang kini disiarkan dalam slot Telenovela di TV3.
Drama bersiri terbaik ini disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 3 petang. Ia membariskan pelakon berbakat dari Filipina seperti Angel Locsin, Piolo Pascual dan Shaina Magdayao.
Dalam siri 60 episod ini, Angel membawakan watak Lyka, seorang gadis jelita yang memulakan kerjayanya sebagai pembantu peribadi kepada pereka fesyen tersohor, Lady Elle.
Lyka kemudian jatuh cinta dengan Noah namun terpaksa berhadapan dengan realiti yang dia datang daripada keturunan serigala jadian dan perlu memegang amanat keturunan tersebut.
Pada masa yang sama, Noah terpaksa menyertai organisasi Luna yang mempunyai misi untuk menghapuskan serigala jadian. Siri percintaan ini memaparkan sisi romantis seorang Angel.
Dilahirkan dengan nama Angélica Locsín Colmenares, Angel atau kadangkala mesra dengan panggilan Gel memang mempunyai ciri heroin fantasi.
Lakonan awalnya yang mula melekat di hati peminat bermula dengan watak superheroin dalam drama fantasi, Mulawin. Ketika itu dia sudah memberikan aura heroin alam lain dan untuk tahun ini, dia muncul sebagai heroin ala serigala.
Nakal waktu remajanya merupakan langkah mula dia menjadi seorang selebriti. Waktu itu dia ponteng kelas dan menghabiskan waktu bersama-sama teman.
Takdir menemukannya dengan ejen pencari bakat yang kebetulan berada di tempat yang sama. Dia diuji bakat dan muncul sebagai model komersial.
Perjalanannya selepas itu diteruskan tanpa menoleh ke belakang. Dia ialah salah seorang pelakon dan model terkenal Filipina masa kini.
Daripada anak belasan tahun, kini dia menjadi wanita yang menjadi kegilaan kaum adam. Apatah lagi Angel dinamakan 100 Wanita Terseksi Dunia dan muncul sebagai wajah penghias majalah FHM dengan gaya yang menggoda.
Dia mula bermain dengan aura cinta dan menonjolkan sisi wanitanya. Dalam filem dan siri televisyen, dia sudah mengisi watak-watak penting terutama menjadi heroin. Antara siri lakonan Angel ialah Ping Lacson, Supercop, Singles dan Let the Love Begin.
Pada waktu yang sama, dia turut tersadung kontroversi apabila menjadi model komersial. Dilihat dipergunakan sebagai wanita, sifat feminisme khalayak dan hormatnya mereka terhadap kaum hawa membuatkan iklan deodoran itu ditarik kembali. Namun, itu tidak mencacatkan semangat Angel untuk terus mengisi ruang komersial.
Seiring populariti yang dibina sejak usia belasan, tahun ini dia terpaksa berhadapan dengan gosip yang menyatakan dia seorang pemabuk. Gadis cantik ini enggan bersuara melontarkan komentar, sebaliknya orang-orang di sekeliling banyak membantu membersihkan namanya.
Ini termasuklah mantan teman lelakinya, Luis Manzano yang menyatakan Angel bukanlah seorang kaki minum.
Angel masih mempertahankan nama dan portfolio kerjaya seindah maksud namanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: