KUALA LUMPUR: Tekanan perasaan dialami selepas mendakwa sering dimarahi keluarga kerana mendapat keputusan peperiksaan tidak memuaskan membuatkan seorang pelajar tingkatan tiga sanggup terjun daripada tingkat 11 pangsapuri didiami.
Sebelum terjun, pelajar perempuan itu sempat menulis surat meluahkan perasaan kecewanya kerana kerap dimarahi ibu bapa apabila gagal mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
Malah, dia juga turut merakamkan gambar sendiri menggunakan telefon bimbit yang menunjukkan seolah-olah cuba menjerut leher menggunakan rantai yang dipakainya.
Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, remaja berkenaan dipercayai bertindak terjun dari tingkap bilik tidurnya selepas meninggalkan surat dan bukti berhubung masalah dialami.
Menurutnya, pelajar yang tinggal bersama ahli keluarga di Ketumbar Height, Cheras di sini, cedera parah di kepala dan tubuh kesan dari hentakan kuat menyebabkan dia mati di lokasi kejadian sebelum mayatnya ditemui penduduk pangsapuri itu.
“Berdasarkan siasatan, mangsa kerap menginap di rumah mak ciknya di tingkat empat di pangsapuri sama, namun pada hari kejadian, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya di tingkat 11 kediaman itu.
“Sebelum terjun, mangsa sempat menggunakan telefon bimbit kamera miliknya untuk merakam perbuatan anehnya. Berdasarkan siasatan, dia dilihat sengaja menggunakan rantai leher sambil seolah-olah cuba menjerut lehernya sendiri,” katanya.
Menurutnya, pelajar itu kemudian menulis di atas dua keping kertas mencurahkan segala masalah dan rasa isi hatinya. Antaranya mendakwa tertekan dengan keputusan akademiknya yang mengecewakan menyebabkan dia kerap dimarah oleh ibu bapa.
“Mangsa mendakwa tertekan dengan tindakan ibu bapanya yang kerap meluahkan rasa tidak puas hati sehingga dia mengambil keputusan untuk membunuh diri bagi menghentikan penderitaan dialami,” katanya.Menurutnya, mayat remaja itu dihantar ke Pusat perubatan Hospital Kebangsaan Malaysian (PPUKM) untuk bedah siasat.
“Setakat ini siasatan mendapati kematian mangsa tidak membabitkan unsur jenayah dan ia adalah kes mati mengejut,” katanya.
Bagaimanapun, keluarga mangsa yang diambil keterangan polis tidak percaya mangsa sanggup membunuh diri hanya kerana tertekan dengan keputusan peperiksaan diperoleh.
Bapa mangsa berusia 49, mendakwa dia dan isteri tidak pernah memarahi anak gadis mereka atau memberi tekanan kepadanya.Difahamkan, bapa mangsa meminta polis menyiasat punca kes kematian mangsa lebih terperinci bagi mengenal pasti motif sebenar di sebalik kematian anak gadisnya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: