Wednesday, April 7, 2010

MIG lahir pelakon pelapis 'lima bintang'?


DAVID Teo (empat dari kanan) dan Azhari Zain (lima dari kiri) bersama para pelakon Keramat selepas majlis doa selamat penggambaran filem itu di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.


SEJAK menerbitkan filem pertamanya berjudul Syukur 21 10 tahun lalu, MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) telah melahirkan ramai yang kini merupakan nama-nama besar dalam bidang lakonan tanah air.

Maya Karin, Waheeda, Farid Kamil dan Lisa Surihani antara pelakon popular yang banyak mencipta nama menerusi filem-filem terbitan MIG. Mereka digilap menerusi MIG Talent iaitu agensi di bawah syarikat produksi itu.

Penerbit MIG, David Teo berkata, syarikatnya sentiasa membuat persediaan dengan melahirkan barisan pelakon pelapis yang akan meneruskan kesinambungan dalam bidang perfileman pada masa depan.

Menurut penerbit berasal dari Segamat, Johor itu, dia sentiasa menyerapkan ramai pelakon muda termasuklah untuk filem terbarunya berjudul Keramat. Ia bagi mengelakkan kebergantungan terhadap pelakon-pelakon sedia ada.

"MIG sejak dari dulu lagi telah menyediakan barisan pelakon pelapis untuk diserapkan dalam filem-filem terbitan kami. Ia bagi menghadapi masalah kekurangan pelakon kerana bilangan filem terbitan MIG semakin bertambah.

"Kita tidak mahu pelakon yang ditampilkan dalam filem asyik muka-muka yang sama. Nanti penonton akan bosan. Misalnya, dalam Keramat boleh dikatakan semua pelakonnya merupakan muka-muka baru dalam dunia perfileman.

"MIG beri mereka peluang tunjukkan bakat. Kalau berjaya mereka akan pergi jauh dan industri perfileman juga mempunyai banyak pilihan pelakon," katanya ketika ditemui Hits di pejabatnya di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas majlis doa selamat mula penggambaran Keramat itu, David memperkenalkan para pelakon utama filem tersebut.

Antara pelakon baru yang diperkenalkan itu ialah Diana Amir yang akan melakonkan watak Mustika, Zul Suphian (Nazmir/Habib), Mon Ryanti (Munirah), Putri Mardiana (Dr. Najwa), Alex Yanz (Jabar) dan Hairul Azreen (Nasti).

Meskipun berdepan risiko, namun bapa kepada empat anak ini tetap mempunyai keyakinan bahawa barisan pelakon pelapis yang akan diketengahkan dalam filem-filem MIG mampu bersinar pada masa depan.

"Saya akan pastikan setiap pelakon yang bernaung di bawah MIG Talent atau berlakon filem terbitan saya mesti bekerja dengan bersungguh-sungguh. Paling penting ialah soal disiplin di mana saya tidak akan berkompromi dengan mereka dalam hal ini.

"Mereka (pelakon) mesti dengar kata saya, kerana saya yang membayar mereka berlakon. Saya tidak suka pelakon yang kaki disko balik lewat malam, sampaikan keesokannya lewat datang ke lokasi penggambaran filem.

"Selagi mereka berada di bawah MIG selagi itulah mereka akan ditegur dan diberi motivasi. Saya akan suruh mereka buat rujukan sebelum melakonkan sesuatu watak. Ini untuk kebaikan mereka pada masa depan," ujarnya.

Ekoran penekanan yang serius soal disiplin dan komitmen yang diberikan oleh para pelakon di bawah MIG Talent, David yakin mampu melahirkan lebih ramai pelakon bertaraf lima bintang seperti Farid Kamil dan Lisa Surihani.

Malah, beliau juga menaruh keyakinan pelakon pelapis seperti Diana Amir, Intan Ladyana, Norliana Shamsudin dan Putri Mardiana antara pelakon muda yang akan mencapai status itu dalam waktu terdekat.

"Saya tiada masalah untuk melahirkan pelakon pelapis wanita tetapi sekarang ini saya kekurangan pelakon lelaki atau hero dalam filem. Pada pendapat saya, buat masa ini hero pelapis yang ada antaranya Sam Shahiezy.

"Dia (Sam) sudah boleh dikategorikan sebagai pelakon kategori 'lima bintang'. Selepas ini saya yakin Zul Suphian pula akan mengikut jejak langkah Sam kalau dia mahu belajar dan berdisiplin dalam kerjaya yang diceburinya ini," katanya.

Pengarah Keramat, Azhari Zain juga tidak menafikan filem arahannya itu bukan setakat menampilkan barisan pelakon baru, malah tenaga kerja di sebalik tabir juga merupakan muka-muka baru dalam bidang tersebut.

Jelasnya, pendekatan itu merupakan suatu cabaran kerana mereka yang terbabit belum mempunyai pengalaman luas, malah pada masa sama dia juga banyak menghabiskan masa memberi tunjuk ajar kepada golongan tersebut.

"Dalam filem ini saya melatih dua orang Penolong Pengarah iaitu Muhammad Faiz Ilias yang baru berusia 20 tahun dan Fauziah Muhamad pula berumur 22 tahun. Mereka merupakan muka baru dalam bidang ini.

"Krew filem ini juga berusia antara 18 hingga 25 tahun. Sungguhpun begitu, saya yakin muka-muka baru yang akan ditonjolkan dalam filem ini juga akan membawa idea-idea baru sesuai dengan kehendak zaman sekarang," ujarnya.

Sementara itu, hero filem Keramat iaitu Zul Suphian pula berasa teruja apabila dia diberi peluang melakonkan watak utama dalam filem yang mula menjalani penggambarannya pada 30 Mac lalu di sekitar Lembah Klang.

Vokalis kumpulan rock Handy Black itu menyifatkan peluang yang diberi oleh MIG itu tidak akan dilepaskannya begitu sahaja di samping sentiasa berusaha bagi meningkatkan lagi mutu dan bakat lakonan dalam dirinya.

"Saya tidak menyangka akan bergerak lebih jauh dalam bidang perfileman selepas mula mencuba bakat sebagai penyanyi. Ini filem kedua saya melakonkan watak hero selepas filem Mantra yang akan ditayangkan tidak lama lagi," jelasnya.

Selain Zul, pelakon seksi Rabecca Nur Al-Islam juga merupakan pelakon baru di layar perak di mana sejak 10 tahun lalu dia lebih banyak berlakon drama dan Keramat adalah filem pertama lakonannya.

Selepas mengutip pengalaman sebagai pelakon drama, Rabecca tidak dapat menyembunyikan rasa gementarnya apabila diberi peluang melakonkan watak heroin bernama Syazura dalam Keramat yang merupakan sebuah filem genre seram.

"Ini pengalaman pertama saya berlakon filem. Genre seram merupakan genre kegemaran saya. Selepas hampir 10 tahun saya anggap ini adalah suatu permulaan baru untuk saya melebarkan populariti saya dalam bidang perfileman.

"Setiap pelakon ada impian masing-masing dan saya juga ada sasaran saya sendiri untuk mempertingkatkan populariti dan kerjaya saya dalam bidang lakonan sedikit demi sedikit. Ini adalah permulaan saya dalam filem," katanya penuh harapan.

Keramat mengisahkan tentang Habib yang telah difitnah merosakkan kehormatan Mustika sehingga dia dipukul oleh orang-orang kampung yang diketuai oleh abang Mustika, Jabar.

Pada kejadian itu, Habib yang bukan calang-calang pemuda telah memperlihatkan suatu keajaiban apabila kain yang menutupi wajahnya telah mengeluarkan cahaya sehingga ramai penduduk kampung yang mati kerana pancaran itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: