NAMPAKNYA Skim Wajib Tayang yang dikenakan ke atas semua pawagam dengan mewajibkan sekurang-kurangnya dua minggu tayangan filem-filem tempatan di premis-premis mereka banyak membantu para penerbit di negara ini.
Skim itu bukan sahaja membolehkan filem-filem tempatan bersaing dengan filem-filem dari luar negara, tetapi ia juga sebagai suatu ruang serta galakan pihak pawagam dalam merangsang pertumbuhan bidang tersebut.
Dalam hal ini, ada baiknya formula yang sama digunapakai dalam industri muzik tanah air bagi membolehkan lagu-lagu tempatan lebih mendapat tempat dan berdaya saing di semua stesen radio tidak kira stesen kerajaan ataupun swasta.
Ia bagi mengatasi masalah rungutan yang mengatakan lagu-lagu penyanyi tempatan sering dianaktirikan terutama stesen-stesen radio swasta sehingga membantutkan promosi dan jualan album-album baru mereka.
Sudah sampailah masanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui agensi di bawahnya iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan proaktif bagi membantu hasrat itu.
SKMM misalnya, bolehlah mewujudkan suatu skim baru yang dikenali sebagai Skim Wajib Siar Lagu di radio-radio tempatan sepertimana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mewujudkan Skim Wajib Tayang untuk filem tempatan.
Sebagai agensi yang mengeluarkan lesen kepada stesen-stesen radio, SKMM boleh mewujudkan sebuah panel yang terdiri daripada kakitangan RTM dan juga wakil-wakil radio swasta bagi merealisasikan skim baru tersebut.
Panel itu juga boleh menjemput para komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik tanah air bagi memberi idea sebelum Skim Wajib Siar Lagu dilaksanakan, selain merangka kandungan yang difikirkan sesuai sebagai garis panduannya.
Terlalu banyak perkara yang boleh dilakukan bagi mencapai hasrat itu di mana ia bukan setakat memberi manfaat kepada lagu-lagu tempatan, tetapi juga tidak membebankan stesen-stesen radio dalam mencapai objektif masing-masing.
Antara perkara yang boleh dilakukan oleh panel yang akan ditubuhkan itu kelak ialah bagi menilai kesesuaian lagu-lagu yang dihantar oleh syarikat rakaman atau penyanyi terbabit sebelum ia diluluskan untuk siaran di stesen-stesen radio.
Dengan adanya panel penilai yang terdiri daripada wakil-wakil kerajaan dan swasta yang arif dalam bidang muzik, sesebuah lagu yang dihantar kepada panel itu akan dinilai terlebih dahulu mutu dan kesesuaiannya sebelum ia disiarkan di stesen-stesen radio.
Jika sesebuah lagu itu didapati ditolak atas sebab-sebab tertentu, maka pihak panel terbabit haruslah mengeluarkan tunjuk sebab dan penyanyi atau syarikat yang menerbitkan lagu itu pula bolehlah membuat rayuan.
Sistem ini sebagai salah satu cara bagi memberi keadilan kepada pihak syarikat rakaman, komposer dan penyanyi atas lagu-lagu yang mereka pohon untuk disiarkan di stesen-stesen radio kerajaan mahupun swasta.
Malah, pihak panel Skim Wajib Siar Lagu juga boleh meminta komposer atau penyanyi terbabit mempertingkatkan lagi mutu rakaman karya mereka jika ia didapati tidak bermutu atau belum mencapai sesuatu piawaian bagi melayakkannya disiarkan di radio.
Ini kerana, selama ini banyak album penyanyi tempatan yang 'diperap' begitu sahaja oleh stesen-stesen radio tempatan dengan alasan ia tidak berkualiti atau kurang memenuhi piawaian konsep siaran di stesen radio mereka.
Kalaulah panel Skim Wajib Siar Lagu ini berjaya diwujudkan, maka antara syarat yang boleh diterapkan di dalamnya ialah jadual atau kekerapan siaran sesebuah lagu yang disiarkan dilakukan secara sistematik.
Contohnya, sesebuah lagu baru penyanyi tempatan itu haruslah disiarkan sekurang-kurangnya sebanyak enam kali sehari iaitu tiga kali pada waktu perdana antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi dan tiga kali lagi dari pukul 4 petang hingga 7 malam.
Jumlah itu boleh dikatakan minimum jika hendak dibandingkan lagu-lagu penyanyi dari luar negara seperti lagu I'm Yours nyanyian Jason Mraz yang khabarnya disiarkan lebih 25 kali sehari oleh sebuah stesen radio swasta.
Diharap stesen-stesen radio tidak keberatan menerima cadangan seperti ini sebagai salah satu tanggungjawab mereka membantu menghidupkan semula lagu-lagu tempatan yang ibarat 'hidup segan mati tidak mahu'.
Bagaimanapun, tempoh siaran itu bolehlah dihadkan antara dua minggu sehingga sebulan di mana selepas itu stesen-stesen radio berhak sama ada untuk meneruskan atau menamatkan siaran lagu-lagu baru terbabit.
Daripada situlah para peminat boleh menilai kekuatan sesebuah lagu baru para penyanyi tempatan yang diberi peluang untuk bersaing dengan lagu-lagu penyanyi dari luar negara yang banyak disiarkan di stesen-stesen radio di negara ini sejak dari dulu lagi.
Jika lagu-lagu tempatan masih juga tidak mampu berdaya saing, stesen-stesen radio tidak boleh dipersalahkan lagi. Sebaliknya, para komposer kita pulalah yang seharusnya memuhasabah karya-karya yang mereka telah hasilkan selama ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: