Thursday, April 22, 2010

'Michelle Yeoh Corner' Di Perpustakaan Negara

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie (kanan) bersama ikon membaca 1Malaysia, Datuk Michelle Yeoh (dua, kiri) mendengar adik Crystal Lee, 7, membaca sebuah buku cerita berbahasa Inggeris selepas majlis pelancaran rasmi " Ikon Membaca 1Malaysia Datuk Michelle Yeoh" di Perpustakaan Negara di sini, semalam. Turut kelihatan Ahli Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara Tan Sri Ramon V Navaratnam (kiri).

KUALA LUMPUR: Aksi tangkasnya dalam seni mempertahankan diri yang dipaparkan dalam filem aksi Hong Kong dan Hollywood sejak beberapa dekad lepas, memukau penonton.

Namun, sepertimana dalam filem tersohor antarabangsa seperti 'Crouching Tiger, Hidden Dragon' yang dibintanginya itu, persona Datuk Michelle Yeoh bukan sekadar dalam filem sahaja malah dalam realiti kehidupan.

Selebriti antarabangsa kelahiran Malaysia itu merupakan seorang yang amat minat membaca pelbagai genre buku cerita, baik fiksyen mahukan seram.

Aktres itu mengaku membaca sekurang-kurangnya 15 buah buku sebulan, semasa berehat daripada berlakon atau menjalankan aktiviti lain.

Senator Heng Seai Kie (kanan) menyematkan selendang Ikon Membaca 1Malaysia kepada selebriti filem antarabangsa Datuk Michelle Yeoh ketika majlis pelancaran rasmi " Ikon Membaca 1Malaysia Datuk Michelle Yeoh" di Perpustakaan Negara di sini, semalam.

Selaras dengan minat mendalamnya membaca buku, sudut khas membaca didedikasikan kepada bintang filem itu akan diwujudkan di Perpustakaan Negara bagi membolehkan pembaca tempatan mengetahui mengenai buku-buku yang pernah dibacanya.

Cadangan bagi projek itu diilhamkan oleh Yeoh sendiri semasa beliau secara rasminya dilantik sebagai Ikon Membaca 1Malaysia di perpustakaan itu di sini hari ini.

Beliau secara sukarela akan menyumbangkan sebahagian koleksi bukunya untuk sudut khas itu.

Cadangan Yeoh itu menerima kelulusan segera daripada Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie yang merasmikan pelantikannya.

Yeoh berkata beliau berharap mendapat kerjasama sektor swasta untuk memastikan program membaca itu mencapai objektifnya dan diperluaskan ke kawasan luar bandar.

Menyifatkan pelantikannya sebagai Ikon Membaca 1Malaysia "istimewa dan satu penghormatan", aktres yang pernah membintangi filem James Bond itu berkata beliau akan memperuntukkan masa untuk menjayakan program itu setiap kali beliau pulang ke Malaysia.

Sementara itu, Heng berkata Yeoh dipilih menjadi ikon berikutan popularitinya yang kementerian itu percaya mampu memberi pengaruh kuat dalam usaha memupuk tabiat membaca di kalangan orang ramai.

"Saya percaya beliau boleh menjadi duta untuk mempromosikan karya kesusasteraan penulis Malaysia ke peringkat antarabangsa," katanya dan menurutnya kementerian itu juga akan melantik lebih banyak personaliti daripada pelbagai kumpulan etnik untuk menjadi ikon bagi program itu.

Program Ikon Membaca 1Malaysia dilancarkan tahun lepas dengan angkasawan negara Datuk Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dilantik sebagai ikon pertama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: