Thursday, April 15, 2010

Maybank Islamic Lancar Projek Baharu

KUALA LUMPUR, Maybank Islamic Bhd menjangkakan memperoleh depsoit tambahan sebanyak RM2 bilion dalam tempoh enam bulan hasil daripada pelancaran projek terbaharunya, Deposit Tetap Islam (i-FD), Khamis.

Jumlah deposit pelanggan bank itu sehingga Mac 2010 sebanyak RM31.8 bilion.

Dalam satu kenyataan, ia berkata i-FD ialah produk deposit dengan dividen diputuskan pada tahap penempatan dan dibayar apabila matang.

Maybank Islamic berkata ia adalah produk deposit tetap ringgit berlandasarkan kontrak Murabahah (kos campur jualan) dengan komoditi sebagai aset transaksi asas.

Pada masa lepas, kebanyakan deposit dalam skim perbankan Islam adalah berasaskan kepada konsep Mudharabah dengan pulangan hanya diketahui pada akhir tempoh, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Ibrahim Hassan berkata pengenalan i-FD merupakan langkah strategik bank dalam membangunkan pelbagai produk yang boleh memenuhi keperluan pengurusan kekayaan setiap segmen pelanggan.

Pelanggan deposit tetap kini mempunyai tiga pilihan untuk penempatan dana dari segi deposit -iAkaun Pelaburan Am (GIA-i) dengan dividen ditetapkan pada akhir tempoh matang, Profit Now! Account-i (PNA-i) dengan dividen ditentukan dan dibayar terlebih dahulu semasa penempatan dan kini, i-FD.

"Kami yakin barisan lengkap pilihan desposit tetap ini akan membantu meningkatkan kedudukan pasaran dalam perbankan Islam, terutama dalam deposit pelanggan dengan penguasaan 21 peratus bahagian pasaran pada masa ini," katanya.

Ibrahim juga berkata menerusi penempatan deposit awal minimum RM1,000, pelanggan boleh menikmati manfaat i-FD, dengan tempoh fleksibel daripada satu bulan hingga lima tahun.

"Selain mengetahui kadar pulangan semasa menempatkan deposit, mereka boleh memilih untuk menerima pembayaran dividen bulanan atau separuh tahunan atau apabila deposit itu matang," katanya.

Beliau berkata penawaran i-FD menawarkan manfaat tambahan kepada pelanggan individu yang menawarkan liputan kemalangan pribadi Takaful percuma sehingga RM10,000 sepanjang tempoh penempatan deposit.

i-FD serta produk dan perkhidmatan lain Maybank Islamic ditawarkan di 12 cawangan Maybank Islamic dan lebih 380 cawangan Maybank di seluruh negara.

Maybank Islamic ialah bank komersil Islam utama dengan aset melebihi RM40 bilion.

Ia juga merupakan institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik dan antara 15 bank Islam terkemuka di dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: