Friday, April 16, 2010

Malaysia sebagai pusat pengeluaran kasut


Orang ramai mengambil kesempatan memilih kasut pada Festival Kasut Antarabangsa.


DALAM kisah dongeng Cinderella, putera raja menggunakan sebelah kasut yang tertinggal untuk menjejaki kekasihnya. Berbekalkan sebelah kasut berkenaan, putera raja mencuba kasut tersebut pada kaki semua gadis di seluruh negeri sehinggalah bertemu dengan Cinderella.

Di alam realiti, kasut juga pernah digunakan untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS). Pada Disember 2008, seorang wartawan Iraq, Muntadar Al-Zeidi membaling kasut ke arah Presiden AS ketika itu, George W. Bush dalam satu sidang akhbar sempena lawatan perpisahan beliau ke Iraq.

Biar apa pun cerita yang kita pernah dengar tentang kasut, Festival Kasut Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini berjaya menarik ramai pengunjung dari pelbagai peringkat umur, latar belakang dan taraf hidup.

Acara yang melibatkan sejumlah 86 gerai pameran kasut itu membolehkan para pengunjung melihat dan membeli pelbagai jenis kasut dari kasut bayi, sandal untuk bersantai, kasut untuk ke pejabat dan ke pentas peragaan di bawah satu bumbung.

Pilihan yang pelbagai membolehkan pengunjung membeli kasut wanita dan lelaki berdasarkan keperluan dan kemampuan masing-masing.

Turut diadakan ialah khidmat melukis pelbagai corak pada kasut kanvas dan kemudahan tempahan untuk membuat kasut.

Antara yang menarik perhatian ialah pameran kasut rekaan Pereka Fesyen Antarabangsa Datuk Dr. Jimmy Choo yang berharga lebih daripada suku juta ringgit. Turut dipamerkan ialah kasut yang digunakan oleh Datuk Lee Chong Wei ketika meraih kejuaraan All England bulan lalu serta aktiviti jualan pelbagai jenis kasut.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika melancarkan festival berkenaan berkata, penganjuran acara tersebut mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran kasut utama di rantau ini atau Kota Kasut Di Timur.

Selain itu, katanya, penganjuran festival tersebut juga mampu menjadikan negara sebagai hab serta pusat membeli-belah bertaraf antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen pula percaya penganjuran festival kasut di Malaysia mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini kerana industri kasut mempunyai peminatnya tersendiri di seluruh dunia.

''Sehingga kini belum ada lagi festival seumpamanya di rantau ASEAN. Industri kasut negara cukup besar namun kita tidak pernah menyedari potensinya di peringkat antarabangsa.

''Industri kasut juga adalah antara aktiviti tertua negara. Ketika ini terdapat sejumlah 1,000 pengeluar kasut membabitkan 30,000 pekerja dengan kapasiti pengeluaran kasut dianggarkan sejumlah 70 juta pasang setahun," jelasnya.

Tambah Yen Yen, eksport kasut negara berjumlah RM600 juta di pasaran antarabangsa sementara pasaran tempatan pula berjumlah RM500 juta.

Festival yang dianjurkan mendapat sambutan yang menggalakkan apabila para peniaga kasut terpaksa menambah stok kasut untuk dijual setelah hari pertama festival mencatatkan jualan yang memberangsangkan, katanya.

Industri kasut negara bermula pada tahun 1910 apabila Persatuan Pengeluar Kasut Pulau Pinang didaftarkan di Hong Kong.

Persatuan Pengeluar Kasut Malaysia pula ditubuhkan pada tahun 1978 bagi menjaga kepentingan para pengeluar kasut selain meningkatkan daya kompetitif industri kasut tempatan.

Pada tahun lalu, persatuan berkenaan mempunyai 468 ahli dan sebahagian besarnya merupakan syarikat yang beroperasi di Selangor, Perak dan Johor.

Antara aktiviti persatuan berkenaan ialah mengadakan misi perdagangan dan lawatan, menyertai acara tahunan Persidangan Kasut Antarabangsa yang disertai oleh 12 buah negara. Juga mengambil bahagian dalam festival kasut di seluruh dunia termasuklah Pesta Barangan Kulit dan Kasut Asia Pasifik di Hong Kong serta pesta kasut Milan, Jerman dan Thailand.

Pengalaman persatuan berkenaan yang aktif dalam pelbagai pesta kasut di pelbagai negara akan membantu Malaysia untuk salah satu destinasi membeli-belah kasut yang utama dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: