Friday, April 16, 2010

Pusat sehenti hiasan dalaman


Pinggan mangkuk mewah Vantage.


SELAMAT datang ke rumah idaman anda.' Itu kata-kata kunci yang anda dapat lihat ketika melangkah masuk ke pusat sehenti hiasan dalaman Ain Furnishing yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor ini.

Segala-gala yang anda ingini untuk kediaman anda boleh diperoleh di sini. Daripada langsir, bidai, fabrik, perabot, kabinet dapur, kaca hiasan bermotif, lantai kayu, kertas dinding, barangan porselin, kusyen, cadar, alas meja, aksesori hiasan dalaman dan sebagainya.

Pun begitu, jika anda tidak begitu pasti apa yang anda ingini dan bingung memikirkan konsep hiasan yang anda inginkan untuk rumah anda, boleh juga mendapatkan khidmat rundingan hiasan dalaman daripada kakitangan yang bertugas yang sememangnya pakar dalam bidang tersebut.

Berdasarkan daripada luasnya perkhidmatan yang disediakan, serta sambutan menggalakkan daripada para pelanggan, Ain Furnishing meluaskan khidmatnya dengan membuka cawangan ketiganya di Bukit Jelutong. Dua lagi cawangan terletak di Kajang.

Menurut Pengarah Urusan Ain Furnishing, Datin Meriam Ibrahim, beliau terpanggil untuk membuka cawangan di Bukit Jelutong kerana pada masa ini belum ada lagi kedai hiasan dalaman di kawasan ini dan Ain Furnishing merupakan satu-satunya kedai hiasan dalaman yang ada di sini.

''Kami mempunyai ramai pelanggan di sekitar Sungai Buloh, Shah Alam dan Rawang malah kami turut mempunyai pelanggan dari Sungai Siput, Perak. Jadi dengan adanya kedai di Bukit Jelutong ini memudahkan pelanggan untuk mendapatkan khidmat kami,'' kata Meriam semasa ditemui di Ain Furnishing, Bukit Jelutong baru-baru ini.

Beliau menambah, Ain Furnishing yang merupakan sebuah syarikat bumiputera telah mula beroperasi sejak tahun 1997 lagi dan menawarkan pelbagai produk hiasan dalaman dan luaran.

Syarikat ini juga merupakan pengedar terbaik fabrik Elyza di Malaysia, francaisi kaca hiasan bermotif (SGO), jenama kaca hiasan yang cukup terkenal dari Amerika Syarikat. Apa yang membanggakan, Ain Furnishing merupakan satu-satunya syarikat bumiputera yang diberi kepercayaan untuk mengedar produk ini.

''Dalam sesebuah rumah, langsir memainkan peranan utama bagi mewujudkan keserian. Langsir yang sesuai dengan corak dan warna menarik menjadikan rumah anda nampak cantik.

''Ain Furnishing memang cukup dikenali kerana pelbagai rekaan langsir yang cantik menggunakan fabrik Elyza yang bermutu tinggi dengan rekaan yang terkini. Ramai pelanggan kami yang datang ke sini bagi menempah langsir terutama pada hari-hari perayaan seperti hari raya. Sebab itu, kami menerima tempahan awal agar langsir yang ditempah dapat disiapkan pada waktunya. Sehingga kini sudah lima tahun kami tidak menang tangan membuat langsir pelanggan bila hampir hari raya,'' ujar isteri kepada Datuk Ahmad Ridza Bukhari yang bertindak sebagai Pengerusi Eksekutif Ain Furnishing.

Meriam menjelaskan, beliau ingin menjadikan Ain Furnishing sebagai sebuah syarikat hiasan dalaman yang berinovatif dalam industri rekaan hiasan dalaman.

Bagi melayani setiap kehendak pelanggan, syarikat ini mempunyai lima orang pereka hiasan dalaman berkelulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Lim Kok Wing. Pendek kata apa sahaja yang diingini pelanggan boleh direalisasikan oleh kumpulan pereka hiasan dalaman ini.

''Konsep kami ialah kami datang kepada pelanggan. Untuk itu, pereka hiasan dalaman kami akan ke rumah pelanggan bagi berbincang dan melihat sendiri rumah pelanggan. Darisitu, mereka dapat melahirkan idea konsep hiasan bagaimana yang sesuai dengan rumah pelanggan.

''Konsep hiasan sentiasa berubah-ubah. Yang lama akan disukai kembali. Ramai yang meminati konsep kontemporari yang diselitkan dengan klasik. Contohnya sofa moden yang boleh digandingkan dengan elemen fabrik berunsur klasik umpamanya fabrik baldu dan dihiasi dengan berlian tiruan.

''Sementara warna yang menjadi trend ialah warna-warna terang. Kebanyakan pereka hiasan dalaman memilih hijau atau warna-warna alam kerana lebih selamat dan mudah diselarikan dengan perhiasan atau perabot lain,'' ujar Meriam lagi.

Satu lagi keistimewaan Ain Furnishing ialah membuat upholsteri, iaitu menukar fabrik sofa yang mengikut cita rasa dan bajet pelanggan. Di sini pelanggan boleh memilih sendiri fabrik serta perincian untuk sofa seperti butang, berlian tiruan dan sebagainya.

Warna fabrik yang selamat bagi sofa dan mudah disuai padan dengan perabot lain ialah coklat tua, kelabu, merah tua atau jalur.

Pada setiap bulan, Ain Furnishing mengadakan promosi produk mereka seperti barangan Vantage, fabrik, kertas dinding, langsir, perabot dan sebagainya pada harga yang mampu dimiliki semua.

''Pada setiap kali promosi, kami akan menghantar khidmat pesanan ringkas, emel atau menulis dalam facebook kepada pelanggan. Sehingga kini kami menyimpan sebanyak 2,000 maklumat pelanggan di dalam pangkalan data kami,'' kata Meriam lagi.

Sambutan menggalakkan membuka peluang kepada Ain Furnishing untuk menambah cawangan di Ampang dan Lembah Klang pada tahun ini dan di setiap negeri di Malaysia tidak lama lagi.

Kepada yang ingin mendapatkan khidmat Ain Furnishing di Bukit Jelutong, boleh menghubungi 03-78456505.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: