PERCERAIAN mereka telah menghampiri tempoh empat tahun. Masing-masing sudah memulakan fasa hidup baru. Mereka yang dimaksudkan ialah Ajai dan bekas isterinya, Nurul Huda Abdul Wahad atau lebih dikenali sebagai Nurul.
Jika Ajai lebih pantas menamatkan status dudanya, ramai yang lebih prihatin terhadap kehidupan peribadi Nurul. Ini kerana penyanyi berusia 33 tahun itu sering kali memberikan tanggapan bahawa dirinya tidak mengecapi kebahagiaan.
Itu pandangan umum orang luar. Namun, melihat senyuman Nurul pada majlis Anugerah Bintang Popular 2009 yang berlangsung malam Ahad lalu di Arena of Stars, Genting Highlands, peminat sudah boleh menarik nafas lega.
Senyuman bahagia Nurul itu sebenarnya datang daripada jejaka yang menemaninya pada acara karpet merah. Namun, siapakah lelaki yang rapat di sisi Nurul itu?
Mendapatkan pengesahan daripada Nurul, dia pada mulanya agak keberatan untuk ditemu bual pada parti selepas majlis kerana dapat menghidu soalan yang bakal ditanya.
Selepas dipujuk, penyanyi kelahiran Pulau Pinang kemudian secara terbuka mengakui dia dan lelaki bernama Ryzal Marzuki itu sedang bercinta. Malah, bibit-bibit cinta itu sudah berputik beberapa bulan lalu.
"Ya, dia lelaki istimewa dalam hidup saya sekarang. Saya amat bahagia sekarang," luah Nurul sambil memandang ke arah Ryzal.
Bagaikan tidak mahu berselindung lagi, keberanian Nurul membawa Ryzal menghadiri acara yang menjadi tumpuan ramai itu adalah satu petanda bahawa dia bersedia untuk mengumumkan kepada dunia bahawa dirinya sedang dilamun cinta.
Malah, ini merupakan kali pertama mereka keluar bersama di khalayak ramai secara berdua-duaan.
"Tidak ramai yang mengetahui hubungan kami kecuali golongan rakan rapat. Lagipun kami selalunya keluar bersama kawan-kawan yang lain. Jadi tidak ramai orang yang menyangka kami sedang bercinta. Ini adalah penampilan umum kali pertama.
"Tapi ini bukan disengajakan. Saya selalu menghadiri majlis anugerah bersama pembantu saya. Memandangkan kami sudah selesa bersama, jadi saya ajak dia.
"Tambahan pula, dia tidak pernah datang majlis anugerah seperti ini dan meminta saya membawanya," jelas Nurul yang merupakan jurucakap pusat kecantikan Glow and Glamour.
Setia di sisi Nurul saat berdepan dengan media, Ryzal memberitahu bahawa mereka berkenalan menerusi kawan pada satu pertemuan beberapa bulan lalu. Ketika itu, Ryzal tidak tahu bahawa Nurul seorang penyanyi. Namun, dia hanya mengambil masa beberapa minit untuk mengetahui identiti glamor Nurul.
|
|
Apa yang menarik perhatian lelaki berusia 31 tahun itu adalah sifat Nurul yang sentiasa menghiburkan hatinya. "Dia seorang yang menyeronokkan. Saya rasa selesa berada di sisinya," ungkapnya.
Itu juga menjadi sebab sama mengapa Nurul terpikat dengan Ryzal. "Dia suka buat saya ketawa. Kami amat serasi dari segi itu. Sama-sama suka buat lawak dan ketawa."
Sedang dalam proses mengenali hati budi masing-masing, hubungan cinta mereka sedang berkembang. Maka, mereka masih belum mempunyai sebarang perancangan atau tergesa-gesa dalam mengubah status hubungan mereka dalam masa terdekat.
"Semua orang akan berkahwin suatu hari nanti. Kami juga tidak terkecuali. Tapi apa yang penting sekarang adalah mengukuhkan hubungan kami. Proses mengenali diri masing-masing itu mustahak," kata Ryzal yang bekerja dalam bidang kewangan.
Memahami diri juga bermaksud Ryzal sudah mengetahui sejarah silam Nurul yang pernah bercerai. Bagaimana dia menerima kenyataan tersebut?
"Saya tidak kisah Nurul pernah berkahwin. Ia sudah berlalu dan semua orang ada kisah silam. Menerima sejarah hidup seseorang juga merupakan sebahagian daripada proses mengenali seseorang.
"Saya menerima Nurul seadanya sebagaimana Nurul menerima saya. Perkara lama tidak perlu diungkit," tutur Ryzal.
Tidak boleh bergaduh selalu, Nurul memberitahu dirinya akan ketawa setiap kali mereka berselisih faham. Lagipun, dia tidak boleh marahkan Ryzal terlalu lama kerana dia seorang yang pandai memujuk.
"Saling menghormati itu amat penting. Walaupun kami tidak berkongsi hobi sama, saya tidak akan menghalang dia daripada melakukan benda yang tidak disukai. Apa yang tidak disukai akan diselesaikan dengan baik," akui Nurul dan Ryzal.
Anak Nurul, Ayu, 12, bagaimanapun masih belum mengetahui mengenai orang baru dalam hidup ibunya. Kata Nurul, Ayu sedang gembira menantikan kedatangan adiknya.
"Kami belum memberitahu Ayu kerana dia sedang menanti kelahiran adik barunya. Lagipun dia sibuk dengan pelajaran kerana bakal menjalani Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi. Mungkin lepas ini saya akan memberitahu dia."
Berharap hubungan ini dapat berpanjangan, Nurul tahu dia tidak dapat menjamin masa depannya. Dia juga tidak menjadikan faktor usia Ryzal yang lebih muda sebagai satu masalah.
"Memang Ryzal muda dua tahun daripada saya. Tapi saya tidak risau jika ada pihak yang meminati dia. Saya sangat mengenali dia dan tahu apa yang disukai dan tidak disukai.
"Dia juga seorang yang berterus-terang. Jadi saya tidak gentar. Tapi kalau suatu hari, dia suka kepada orang lain, apa yang boleh saya buat? Itukan jodoh," tegas Nurul.
Memandangkan Ryzal akan menjadi sasaran media pada masa akan datang selepas penerbitan berita ini, adakah dia sudah bersedia sepenuhnya untuk semua aspek positif atau negatif?
"Saya tidak kisah kalau ada gosip atau berita tidak baik mengenai saya mahupun Nurul. Saya melihat Nurul seperti insan lain dan bukannya artis.
"Lagipun ketika mengenali dia, saya tidak tahu dia seorang artis. Jadi karier glamor itu sebenarnya tidak begitu penting. Nurul juga sudah memberitahu saya mengenai ragam dunia hiburan," akhirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: