Thursday, April 8, 2010

Khairul madu Hunny


HUNNY tidak takut berkahwin pada usia muda kerana berasa Khairul adalah pasangannya yang tepat.


TANGGAL 1 April sebelum ini terbiasa dirai sebagai hari ulang tahun kelahirannya. Namun, tahun ini bermula dari tarikh tersebut, deejay stesen radio Fly FM, Hunny Madu, 26, kini bergelar seorang isteri.

Dengan sekali nafas akad nikah pada pukul 11.30 pagi berlokasi kediaman keluarga Hunny di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, secara rasmi, Hunny atau nama penuhnya, Hani Farhana Mohd. Hatim bergelar permaisuri hidup Khairul Azhar Abd. Wahid yang sembilan tahun lebih tua daripadanya.

Hunny menerima mas kahwin RM104 dan wang hantaran berjumlah RM20,000 daripada mempelai lelaki dengan lima dulang hantaran berbalas tujuh.

"Saya menyatakan persetujuan hendak mendirikan rumah tangga dengan Khairul disebabkan terlalu menyayangi dia.

"Hubungan kami yang terjalin selama empat tahun termasuk dua tahun bercinta akhirnya bertemu pengakhiran di jenjang pelamin. Saya harap perkahwinan ini berkekalan untuk selamanya.

"Lagipun saya anggap sudah tiba waktu saya berkahwin sekali gus menjalani fasa baru. Saya sengaja pilih hari pernikahan sama dengan hari jadi dengan harapan suami bagi dua hadiah serentak," kata Hunny sambil tertawa mengekeh ketika ditemui selepas resepsi persandingannya di Dewan Komuniti, Bukit Damansara, Kuala Lumpur minggu lalu.


SAMA cantik sama padan. Hunny dan Khairul bersanding meraikan keluhuran cinta mereka pada tarikh 1 April.


Hunny yang anggun dalam persalinan rona hijau muda hasil sentuhan Nurita Harith bagaimanapun tidak menganggap umur yang jauh berbeza menjadi penghalang kepada mereka.

"Meskipun usia kami jauh berbeza, saya dan Khairul tidak anggap ia sebagai masalah. Faktor umur sembilan tahun kami sebenarnya berada pada titik pertengahan. Selain itu, Khairul seorang individu yang baik hati, matang, moden dan berfikiran terbuka.

"Begitupun, dia tetap ada nilai lelaki Melayu yang saya suka. Paling menarik, Khairul ada persamaan dengan bapa saya (Mohd. Hatim Abdullah). Inilah yang membuatkan saya lebih jatuh cinta dengan suami," jawabnya sambil mengerling manja ke arah Khairul yang duduk di sisinya.

Menyedari si isteri merupakan sosok dikenali ramai, Khairul dengan lapang dada memberi keizinan kepada Hunny meneruskan kerjaya seni seperti biasa biarpun selepas disatukan.

Itu janji Khairul yang bersikap terbuka dengan wanita dicintai sepenuh jiwanya. Hunny bebas meneruskan komitmen sebagai penyampai, pengacara, pelakon, penyanyi dan penulis lirik tanpa ada sedikitpun halangan.

"Hani boleh teruskan karier seninya. Ini memang jadi cita-cita dia sejak dulu. Sebagai suami, saya sentiasa menyokong dari belakang. Asalkan dia ikhlas dan pandai jaga diri semasa bekerja, ia sudah memadai kepada saya.




Hunny yang mengendalikan segmen Fly FM's Must Have Music bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang lima hari seminggu sempat berbicara rencananya selepas ini. Tidak dapat mengelak, soalan tentang cahaya mata pasti dilontar kepada pasangan pengantin baru itu.

"Saya tidak kisah jika dikurniakan rezeki anak dan menjadi ibu selepas ini. Tidak mahu merancang keluarga, saya sekadar berserah. Kalau dapat anak dalam waktu terdekat, kami terima saja dengan hati gembira," ungkapnya yang menghabiskan cuti berbulan madu bermula minggu ini di Mauritius selama lapan hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: