Thursday, April 8, 2010

Kreativiti rakaman tanpa batasan




IDEA penggunaan kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) dalam penghasilan karya video ataupun filem pendek mungkin akan menimbulkan tanda tanya mengenai kualiti hasil rakamannya.

Mereka yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang fotografi ataupun teknologi maklumat (IT) pasti akan tertanya-tanya sama ada kamera DSLR berkemampuan untuk menghasilkan produk setanding kamera video.

Ini kerana kebiasaannya kamera DSLR digunakan oleh jurugambar profesional ataupun amatur untuk menghasilkan foto-foto sahaja dalam hasil karya mereka.

Bahkan, saiz kamera DSLR yang kompak dan kecil juga mungkin akan menimbulkan kesangsian orang ramai kerana kita lebih terdedah dengan peralatan kamera lebih besar serta canggih ketika penggambaran dilakukan untuk filem mahupun video.

Bagaimanapun, kemampuan merakam video dalam format berdefinisi tinggi (HD) yang dibangunkan syarikat-syarikat pengeluar kamera digital hari ini membolehkan perkara di luar dugaan dilakukan dengan peranti tersebut sekali gus menambah kreativiti anak tempatan dalam bidang fotografi dan video.

Antara kamera DSLR yang dilengkapi dengan teknologi HD adalah Canon 5DMarkII, Canon 500D, Nikon D90 dan D5000.

Dengan dilengkapi teknologi tersebut, terdapat jurugambar profesional yang berani dan serius melakukan pembaharuan dalam penghasilan karya digital mereka dengan menggunakan kaedah serta teknik kamera DSLR menghasilkan video.

Ia dilakukan agar kreativiti yang diidamkan selama ini tidak terbatas dan dapat dilakukan mengikut kehendak diri mereka.

Selain itu, keinginan dalam mencari kelainan juga menjadi faktor utama kaedah tersebut dilaksanakan agar berbeza dari jurugambar-jurugambar lain.

Ini dibuktikan Pengasas dan Pengarah CST Production, Rosli Mohamed apabila menggunakan kamera DSLR secara komersial dalam pembikinan video dan filem pendek syarikat produksinya.


Rosli (kanan) berbincang bersama tenaga kerja CST Production di Ukay Perdana Kuala Lumpur.


DSLR lebih fleksibel

"Pada mulanya, memang ramai pelanggan berasa sangsi dan tidak percaya keupayaan kamera DSLR, malah sukar bagi kami meyakinkan mereka menggunakan teknologi ini. Kami bermula dengan dua tiga pelanggan terlebih dahulu untuk melihat penerimaan mereka.

"Alhamdulilah, kami berjaya membuktikan bahawa penggunaan kamera DSLR tidak mustahil dilakukan, malah hasilnya lebih menarik daripada kamera video sehingga dapat menarik minat pelanggan-pelanggan kami untuk mencuba pendekatan baru ini," katanya kepada Kosmo!.

Ujarnya lagi, kalau hendak diikutkan kualiti produk dihasilkan DSLR dan kamera video, ia hampir sama sahaja.

Katanya, antara kelebihan menggunakan kamera DSLR adalah ia mampu memberikan kesan 'bokeh' menjadikan hasil karya yang dihasilkan lebih menarik berbanding kamera video.

"Kesan bokeh merupakan satu keadaan di mana latar belakang kabur manakala subjek utama adalah jelas dan sempurna. Perkataan bokeh ini sebenarnya berasal daripada perkataan Jepun yang bermaksud kabur.

"Keadaan ini yang menjadikan video ataupun filem pendek dihasilkan lebih menarik dan menonjol daripada biasa," ujarnya lagi.

Menyorot perjalanan CST Production yang ditubuhkan pada tahun 2005, pada awalnya ia merupakan sebuah syarikat berasaskan IT tetapi enam bulan selepas itu ia ditukar kepada syarikat produksi dan banyak melakukan tugasan-tugasan rakaman video perkahwinan, syarikat korporat dan lain-lain lagi.

Rosli mula memperkenalkan penggunaan kamera DSLR pada tahun 2009 bersama penolong syarikat berkenaan iaitu Zabidi Ali untuk mencari kelainan dalam produk pembikinan syarikat mereka.

Dia juga banyak mempelajari teknik-teknik menghasilkan video menggunakan kamera DSLR melalui Internet dan membuat eksperimentasi sendiri agar dapat memberikan produk terbaik kepada pelanggan-pelanggan.


KLIP video Biarkan nyanyian Vince yang menggunakan kamera DSLR sepenuhnya.


Ujarnya, dia sentiasa mencari kelainan dalam penghasilan sesuatu hasil karya yang dilakukan untuk menarik minat pelanggan mencuba inovasi baru.

Katanya, pendekatan digunakan dalam pembikinan video dengan menggunakan kamera DSLR merupakan salah satu strategi syarikat untuk memberi pilihan kepada pelanggan dalam industri diceburi selama ini.

"Kelebihan kamera DSLR juga terletak pada pelbagai lensa yang boleh ditukar sekali gus memberikan kesan berbeza pada setiap rakaman dilakukan. Sebagai contoh, jika menggunakan lensa mata ikan (fisheye), kesan khas pada video pasti lebih menarik.

"Dalam pada itu, penggunaan lensa kamera DSLR juga membolehkan kita bermain dengan bukaan lensa itu (aparture) sekali gus menghasilkan kesan video lebih kreatif," katanya.

Tambah Rosli, penggunaan kamera DSLR dapat memberi kebebasan dan membolehkan lebih banyak sudut rakaman dapat dilakukan disebabkan saiz yang kompak serta mudah dikendalikan.

Katanya, ia juga boleh digunakan di atas alat penstabil dengan mudah berbanding penggunaan kamera video kerana saiznya lebih kecil dan ringan.

"Kalau kita menggunakan kamera video, ia lebih berat berbanding DSLR dan jika guna penstabil, mesti pakai penyokong badan.

"Bagaimanapun, dengan kamera DSLR, ia membolehkan penggunaan penstabil lebih bebas dan video yang dirakam pasti lebih kreatif kerana kita mempunyai kebebasan mutlak ketika melakukan rakaman," katanya.

Ditempah selebriti

Rosli menambah, video klip Vince Chong berjudul Biarkan dibikin sepenuhnya menggunakan kamera DSLR dan hasilnya amat mengujakan serta menarik.

Katanya, antara artis tempatan lain yang terlibat mendapatkan perkhidmatan syarikatnya ialah pelakon Umie Aida dan pengacara TV3, Saiful Nizam Ismail.

Sementara itu, penyunting video CST Production, Al Fahim Mokhtar, berkata, dia tidak menyangka DSLR mampu menghasilkan produk yang begitu menakjubkan.

"Semasa mula-mula diberitahu syarikat ingin membuat video menggunakan DSLR saya kurang yakin tetapi apabila melihat sendiri hasilnya, ia adalah sesuatu yang baru, kreatif dan menarik," ujarnya.

Bercerita mengenai perbezaan menyunting video DSLR dan kamera video, Al Fahim menjelaskan ia lebih cepat kerana tidak perlu memuat turun keseluruhan video pada komputer.

"Kita boleh memilih rakaman terbaik dengan mudah dan memuat turunnya sahaja sebelum ia disunting.


ROSLI sibuk membetulkan tripod semasa rakaman video klip Biarkan.


"Ini memudahkan kami sebagai penyunting sekali gus menjimatkan masa kerana menggunakan kamera DSLR ia tiga kali ganda lebih pantas menyunting video," katanya lagi.

Seorang lagi penyunting video syarikat berkenaan, Saiful Aziman Mazlan, berkata, aplikasi yang digunakan untuk menyunting video termasuk Final Cut Pro Studio, Adobe Premiere Pro dan Sony Vegas.

"Bagi mendapat kesan khas pula, kami menggunakan aplikasi Adobe After Effects untuk menambah kelainan dan bagi memastikan hasil kerja lebih menarik apabila ditonton," katanya.

CST Production bercadang untuk mengadakan bengkel, forum dan kursus jangka pendek untuk memperkenalkan lagi penggunaan DSLR dalam penghasilan video serta filem pendek.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penghasilan produk berkualiti tinggi menggunakan kamera DSLR boleh dilihat menerusi laman web CST Production, www.cstproduction.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: