Thursday, April 8, 2010

Bisnes kosmetik artis




KOSMETIK dan artis bagaikan aur dengan tebing. Pastinya kosmetik amat diperlukan untuk mengindahkan lagi penampilan seseorang artis.

Tetapi senario hari ini, artis tidak hanya menjadikan kosmetik sebagai salah satu barangan wajib yang harus dioles pada wajah setiap hari bahkan satu bisnes yang mampu menjamin masa depan.

Tidak kira di luar negara mahu pun dalam negara, sudah ramai artis memberanikan diri mengeluarkan sendiri rangkaian produk kecantikan berasaskan jenama mereka sendiri.

Namun, bukan semua artis mampu untuk menceburi perniagaan berasas kecantikan memandangkan kos yang harus dikeluarkan bukan sedikit tetapi mencecah ratusan ribu ringgit, dan ada yang sehingga mencecah jutaan ringgit. Jika tersilap langkah, wang yang dilabur akan lebur begitu sahaja.

Terbaru, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza telah melancarkan rangkaian produk kecantikannya di bawah jenama SimplySiti.

Selepas kejayaan demi kejayaan yang diraih setelah 15 tahun bergelumang dalam dunia seni, kini merupakan masa yang cukup sesuai untuk Siti melebarkan lagi sayap perniagaannya.

Katanya pada majlis pelancaran produknya itu, dia sememangnya meminati bidang kecantikan sejak menceburi dunia hiburan. Malah, bergelar seorang artis membuatkannya lebih peka dalam aspek kecantikan diri.

"Saya keluarkan produk ini sebab saya minat bidang kecantikan. Bukan sekadar nama saya sahaja ada pada produk ini tetapi saya memberi komitmen 120 peratus dalam penghasilan SimplySiti.


SIMPLYSITI kini dijual secara meluas di semua gedung Watson seluruh negara.


"Boleh dikatakan saya terlibat secara keseluruhannya. Bahkan saya juga menjadi bahan uji kaji sebelum produk ini layak berada di pasaran. Maknanya, saya mencuba sendiri produk sebelum menjualnya kepada orang ramai," tuturnya.

Akui Siti secara jujur, bidang perniagaan itu juga bukan sahaja kerana minat tetapi sebagai jaminan untuk masa depannya andai dia tidak lagi berada di pentas hiburan.

"Memang saya keluarkan produk ini untuk masa depan sendiri. Saya betul-betul serius dengan apa yang saya lakukan dan saya berbangga kerana sebelum pelancaran, produk ini telah pun terjual di rangkaian farmasi Watson.

"Lebih menggembirakan, respons yang diterima daripada pembeli amat bagus. Jualan juga melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini," ujarnya.

Selain untuk berkongsi rahsia kecantikan bersama peminat, Siti juga menggunakan peluang mempromosikan SimplySiti ke seluruh negara sebagai jalan untuknya bertemu dengan peminat.

"Perniagaan saya bukan berasas daripada jualan langsung, saya mahu semua orang mampu gunakan produk SimplySiti. Saya tidak mahu menghadkan penjualan produk ini.

"Bagi menjayakan produk dan jenama SimplySiti saya akan sibuk sepanjang tahun untuk promosi dan bertemu dengan peminat. Sungguhpun begitu, saya masih lagi menyanyi seperti biasa. Cuma kini, saya semakin sibuk dan banyak perkara yang harus saya beri fokus," katanya.

Produk SimplySiti yang dikeluarkan menerusi SimplySiti Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan syarikat penyelidikan estetika kecantikan dari Korea. Menggunakan teknologi nano, SimplySiti tampil dengan rangkaian produk penjagaan kulit seperti SimplySiti C Bright, SimplySiti New Age dan SimplySiti Acne Solution.

Bagi rangkaian kosmetik SimplySiti, ia menampilan rangkaian wajah sempurna, rangkaian solekan mata SimplySiti 'Mata Bercahaya' dan bibir SimplySiti 'Khas Untuk Bibir' serta bedak kompak.

Hattan bukan kaut untung

Biasanya, perniagaan berasas kecantikan dipelopori oleh kaum wanita tetapi penyanyi popular Hattan mula memecah tradisi dengan mengeluarkan produk penjagaan kulitnya yang di bawah jenama Addam Men Skincare.


KATA Hattan penghasilan Addam Skincare sebagai aset anak lelakinya Adam pada masa depan.


Jika orang lain mahu produk mereka dijual secara meluas, lain pula halnya dengan Hattan. Katanya produk penjagaan kulit yang terdiri daripada pencuci muka, toner dan pelembab itu hanya dijual secara eksklusif iaitu hanya sebanyak 5,000 unit dan turut disertakan dengan album terbaru Hattan yang berjudul Inderawala.

Sudah sebulan produk itu dijual, Hattan mampu tersenyum puas apabila produk pertama keluarannya itu mendapat sambutan hangat dan hampir kehabisan stok.

"Sebenarnya saya sudah lama terfikir untuk keluarkan produk kecantikan kerana belum ada artis lelaki yang buat perniagaan seperti saya.

"Jujur juga, tujuan saya keluarkan produk bukanlah nak kaut untung juta ringgit tetapi lebih untuk memperkenalkan jenama saya sendiri iaitu Addam. Fokus saya juga lebih terarah kepada peminat sebab itu disertakan album pada produk itu," ujarnya.

Tambahnya, melihat kejayaan yang diraih Addam Men Skincare, dia telah merencanakan sesuatu yang lebih besar iaitu lebih banyak produk yang bakal dikeluarkan khas untuk lelaki.

"Di bawah jenama yang sama, saya merancang untuk keluarkan lebih banyak produk seperti losyen pelindung cahaya dan pemutih untuk lelaki yang banyak menghabiskan aktiviti mereka di bawah cahaya matahari serta minyak wangi," tuturnya.

Beritahu Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin lagi, wang yang dilabur tidaklah sebesar ahli perniagaan yang lain kerana bidang perniagaan masih baru kepadanya dan dia tidak mahu mengambil risiko.

"Saya hanya lakukan dengan santai. Niat saya untuk menambah rezeki dan meninggalkan harta buat anak saya, Adam Eiman. Walaupun dia baru berusia 12 tahun tetapi saya mahu mendidik dia supaya menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya," bicaranya yang mengusung produknya itu ke mana sahaja.

Produk Addam Skincare yang diambil namanya sempena nama anak Hattan dengan kerjasama Mum Bio Cos Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Addamshop itu dijual pada harga RM150 setiap satu berserta album Hattan.

Jerneh Sheila

Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid juga tidak ketinggalan dalam meluaskan lagi empayar perniagaannya selepas berjaya dengan Jentayu Spa yang terletak di Damansara Height.

Muncul dengan rangkaian penjagaan kulit di bawah jenama Jerneh, Sheila kini boleh berbangga apabila produk hasil usaha sama dengan dua rakan karibnya, Faridah dan Faisal Ahmad Fadhil yang juga pengusaha F.A Herb Sdn. Bhd. berdiri megah di kaunter Tanamera di gedung jualan Parkson seluruh negara.


SHEILA Majid cukup berbangga dengan produk Jerneh kerana ia menjadi produk tempatan yang bersaing dengan produk antarabangsa yang dijual di Parkson.


"Saya menanti sejak 10 tahun lalu dan hari ini saya cukup bangga apabila produk tempatan dijual dan diletakkan bersama-sama produk antarabangsa lain di Parkson.

"Inilah impian saya, mempunyai satu produk yang boleh diyakini oleh orang ramai. Harapan saya suatu hari nanti apabila orang bercakap tentang produk tempatan, orang akan ingat pada Jerneh," katanya.

Permulaannya produk Jerneh hanya di pasarkan di Internet tetapi selepas lebih lapan bulan dijual secara maya, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan memberi peransang buat Sheila untuk pergi lebih jauh.

Secara jujurnya ibu kepada lima orang anak itu mengakui dirinya menjadi pengguna setia produk miliknya sebelum ia berada di pasaran.

Kualiti serta hasil yang dirasai sendiri meyakinkan Sheila untuk berkongsi kegembiraan bersama seluruh peminat dan pengguna yang tercari-cari produk halal bermutu tinggi.

"Saya guna dulu, lihat hasilnya. Apabila ia memuaskan hati saya baru saya berani jualkan produk ini kepada orang lain," tuturnya.

Fasa pertama di pasaran, Jerneh hanya fokus kepada dua bentuk produk iaitu antipenuaan dan pembersihan yang boleh digunakan oleh pengguna lelaki dan wanita.

Kata Sheila, besar harapannya untuk melihat produk Jerneh menjadi produk kecantikan terulung bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: