Tuesday, April 20, 2010

Kerjaya satukan Norhaslinda, Jeffry


Masa yang terluang dihabiskan bersama keluarga.


DOLOK masa sekolah, kamek suka bertandak dan banyak diajar tandak orang Sarawak. Dari sia lah kamek terus minat orang Sarawak dan sik sangka memang kamek bertemu jodoh ngan orang Sarawak."

Dialog di atas merupakan bahasa Melayu Sarawak yang apabila diterjemahkan ke bahasa Melayu standard bermaksud: "Dulu masa sekolah, saya suka menari dan banyak diajar tarian orang Sarawak. Daripada situlah saya terus minat orang Sarawak dan tak sangka memang saya bertemu jodoh dengan orang Sarawak."

Kata-kata dalam bahasa Melayu Sarawak itu dituturkan dengan fasih dan lancar sekali oleh Lans Koperal Norhaslinda A. Rahman, 28, sebaik sahaja memulakan perbualan.

Bermula dari dialog pertama itu sehinggalah akhir perbualan, Norhaslinda bertutur dalam bahasa Melayu Sarawak meskipun hakikatnya beliau merupakan anak jati Felda Tenggaroh 2, Mersing di Johor.

Norhaslinda memberitahu, bahasa itu dipelajari daripada tiga rakan setugas berasal dari Sarawak ketika sama-sama bekerja dan mendiami di berek bujang di Balai Polis Cheras suatu ketika dahulu.

"Selepas tamat latihan konstabel di Pusat Latihan Polis Ayer Hitam (Pulapah) di Jempol, Negeri Sembilan, saya ditugaskan di Balai Polis Cheras.

"Di sana, saya belajar bahasa Melayu Sarawak kerana kebetulan tinggal serumah dengan dua anggota polis berasal dari negeri tersebut iaitu seorang berketurunan Melayu dan seorang lagi Iban, malah sahabat baik saya di pejabat juga orang Melayu Sarawak," katanya.

Hubungan Norhaslinda dengan rakyat Bumi Kenyalang bertambah erat pada 25 September 2004 apabila beliau disatukan sebagai suami isteri dengan jejaka berketurunan Melanau dari Mukah iaitu Pemangku Koperal Jeffry Rosli.

Pasangan merpati sejoli ini saling jatuh cinta pandang pertama ketika sama-sama menjalani latihan konstabel di Pulapah pada tahun 2000.

Jeffry, 28, anggota dalam Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman berkata, ada peristiwa lucu mencuit hati yang berlaku pada kali pertama mereka berkenalan.

"Saya merupakan senior Norhaslinda tiga bulan dan kelas kami terletak bersebelahan. Kami diasingkan lelaki dan perempuan.

"Bayangkan selepas tiga bulan menjalani latihan dan tidak pernah berpeluang melihat pelatih wanita, tiba-tiba sebelah kelas kami ditempatkan pelatih baru yang kesemuanya perempuan.

"Apa lagi, peluang itu digunakan oleh saya untuk mencuci mata tetapi nasib saya malang kerana perbuatan saya itu disedari oleh jurulatih," cerita Jeffry mengimbas kembali nostalgia memikat isteri tercinta.

Akibatnya, Jeffry didenda mendapatkan tanda tangan daripada kumpulan pelatih wanita terbabit dan diarahkan duduk di kelas mereka selama dua jam.

Dalam tempoh dua jam itu, Jeffry teruk dibuli dan diusik oleh pelatih terbabit. Beliau dipaksa menyanyi dan belajar bersama mereka.

Gelagat lucu Jeffry ditertawakan oleh semua pelatih wanita dalam kelas itu kecuali Norhaslinda yang memandangnya tanpa berkedip mata.

"Saya tidak ketawa tetapi memandang sahaja wajah Jeffry kerana tiba-tiba saya menyukainya sambil hati berkata, 'wah comelnya jejaka ini'," kata Haslinda menjelaskan punca beliau tergamam waktu itu.

Sikap pendiam Norhaslinda menyebabkan Jeffry turut tertarik hati kepadanya dan mulai saat itulah mereka jatuh cinta tetapi terpaksa 'berdating' secara senyap-senyap kerana takut rahsia diketahui oleh jurulatih dan mereka didenda memandangkan pelatih tidak dibenarkan bercinta semasa menjalani latihan.

Selepas berkahwin, kehidupan pasangan ini bertambah ceria apabila dikurniakan empat cahaya mata iaitu Haziq, 5; Nuraini, 4; Nuraisyah, 2, dan Hazim, dua bulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: