BANGKOK- Kerajaan Thailand semalam menutup 36 laman web dan saluran televisyen satelit, PTV yang setia kepada kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan yang telah menguasai pusat komersial di Bangkok.
Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva kini semakin tertekan untuk menamatkan tunjuk perasaan antikerajaan besar-besaran yang mengganggu kelancaran trafik serta membuatkan banyak pusat beli-belah terpaksa ditutup.
Bursa saham Thailand merudum lebih tiga peratus pada Khamis lalu ekoran kebimbangan mengenai situasi politik di negara tersebut.
Abhisit turut membatalkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-16 di Hanoi ekoran tindakan penunjuk perasaan yang menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra mengadakan protes bagi menuntut Parlimen dibubarkan.
Kumpulan penunjuk perasaan itu juga merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran di sepuluh lokasi yang tidak dinyatakan pada hari ini.
Kerajaan menuduh saluran televisyen itu memutarbelitkan maklumat dan menimbulkan ketegangan.
"Jika kerajaan menganggap dengan menutup stesen televisyen dan laman web akan menghalang kami daripada berkumpul, itu adalah silap," kata ketua penunjuk perasaan, Nattawut Saikuar.
Abhisit mengumumkan darurat pada malam Rabu lalu apabila penunjuk perasaan menyerbu Parlimen tetapi perintah itu tidak diikuti oleh penunjuk perasaan yang masih berhimpun di tengah Bangkok.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: