Monday, April 12, 2010

Jamal cari calon isteri



Tiga tahun hidup menduda, penyanyi bersuara jantan, Jamal Abdillah, 51, mengakui hidupnya terasa sunyi.

Walaupun pernah beberapa kali gagal dalam melayari kehidupan berumah tangga, namun penyanyi yang popular dengan lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’ ini tidak pernah menutup hatinya untuk menerima kehadiran wanita sebagai suri hidupnya.

Malah, Jamal mengakui kini dia sedia untuk berumah tangga lagi dan sedang mencari calon yang sesuai.

“Semua ketentuan di tangan Tuhan. Kita hanya boleh merancang dan melalukan sehabis baik. Apa yang bakal berlaku, tiada siapa tahu, tapi saya banyak belajar daripada kesilapan lalu dan tidak akan mengulanginya lagi.

“Saya tahu, bukan mudah untuk seseorang menerima diri saya. Mungkin kerana latar belakang saya sebelum ini ditambah saya mempunyai dua orang anak. Tapi ia tidak mematahkan semangat saya. Saya tahu Tuhan akan sentiasa membantu orang yang selalu berdoa.

“Biarpun segala-galanya di tangan yang Maha Esa, tapi saya mahukan yang terbaik untuk diri saya memandangkan usia yang semakin meningkat. Orang cakap biarlah wanita itu memenuhi kriteria-kriteria sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran,” katanya.

Tambah Jamal, apa yang penting adalah ketulusan hati wanita itu menerima dirinya dan memahami kerjayanya sebagai penyanyi.

Dia juga berharap agar ada wanita yang boleh menerima dirinya seadanya memandangkan dia bukanlah manusia yang sempurna.

Sekiranya, tertulis jodohnya dengan sesiapa kelak, Jamal, bertekad untuk menjadi suami yang lebih baik agar sejarah lama tidak lagi berulang.

“Pada ketika ini, saya hanya mahukan seseorang yang begitu ikhlas menerima diri saya dan boleh mendorong saya ke arah kebaikan.

Lagi pun saya pun dah berusia, bukan masa untuk bercinta dan putus lagi. Apa yang paling penting wanita itu boleh menerima anak-anak saya.

“Tapi sejujurnya, buat masa ini saya masih belum menemui wanita yang benar-benar sesuai dan saya hanya mampu menyerahkan segala-galanya kepada takdir dan ketentuan Ilahi,” katanya yang bakal mengadakan persembahan eksklusif sempena minggu setiausaha di Menara Kuala Lumpur pada 21 dan 22 April .

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: