Monday, April 12, 2010

Sam lelaki serius

Pelakon Shaheizy Sam semakin mendapat tempat di hati pengarah serta peminat.

Dia kini digelar sebagai pelakon serba boleh kerana berjaya membawakan setiap watak yang diberikan dengan baik sekali. Bukan hanya berjaya dengan watak serius malah pelakon ini juga berjaya membawakan watak humor dengan begitu baik sekali.

Namun, Shaheizy Sam atau lebih mesra dengan panggilan Sam ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Adnan Sempit The Series, mengakui dirinya bukanlah seorang yang kelakar seperti yang diperkatakan selama ini.

“Sebenarnya saya tidak menganggap diri saya kelakar. Saya hanya mendalami watak yang diberikan dengan menukarkannya serta menjiwainya dengan sebaik mungkin. Cuma, ada kalanya, apa yang terkeluar daripada mulut saya ini dianggap kelakar dan situasi berkenaan secara tidak langsung kena pula dengan babak yang sedang saya lakonkan,” katanya yang masih diberi kepercayaan untuk menerajui drama bersiri Adnan Sempit The Series.

Sam yang sebelum ini pernah membintangi filem Jangan Pandang Belakang Congkak berkata, watak kelakar hanya wujud dalam dunia lakonan tetapi realitinya dirinya lebih selesa dengan berdiam sahaja.

“Kalau orang tengok saya di luar, ada yang pasti terkejut dengan diri saya. Saya ni tak kelakar pun. Nak bercakap pun jarang-jarang. Saya suka buat hal sendiri sahaja. Tapi tak bermakna saya tak ada kawan. Saya berkawan dengan ramai orang cuma karakter saya di luar set memang berbeza dengan diri saya sebenarnya,” katanya.

Adik kepada dramatis popular Zizie Ezette ini juga mengakui hanya akan berlawak di dalam drama mahupun filem sahaja.

“Saya ni memang jenis yang kurang bercakap. Kalau bercakap pun kepada perkara yang benar-benar penting saja. Ada masa terluang saya lebih suka menghabiskan masa dengan muzik dan menonton filem sahaja. Dari situ saya dapat belajar mempelajari sedikit sebanyak mengenai lakonan,” katanya.

Walau bagaimanapun, dia tidak akan menolak sekiranya lebih banyak tawaran berlakon drama atau filem humor selepas ini.

“Saya terima apa sahaja watak yang mencabar kebolehan saya. Biar peminat tidak jemu dengan setiap lakonan saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: