"Setiap orang mesti ada impian dalam diri masing-masing, maka untuk mencapai impian itu kita kena berfikir di luar kotak" – JACLYN
JACLYN VICTOR di pentas teater? Kedengaran agak janggal. Ini kerana bekas juara Malaysian Idol itu lebih sinonim dengan pentas muzik di samping baru bergelar pelakon filem, tetapi di pentas teater, dia belum pernah muncul lagi.
Beraksi di pentas teater merupakan satu cabang lakonan yang agak sukar bagi sesetengah pelakon.
Pengalaman berlakon filem atau televisyen tidak sama dengan teater kerana berlakon pementasan merupakan cabaran yang menguji bakat seseorang pelakon kerana ia dilakonkan dan ditonton secara langsung.
Sementelah, pementasan teater memerlukan pelakon tersebut memberikan komitmen sepenuhnya agar kelemahan yang mungkin berlaku dalam pementasan itu dapat dikurangkan sedikit mungkin.
Tanpa komitmen sepenuhnya daripada pelakon mungkin akan mengganggu kelancaran perjalanan sesebuah pementasan itu.
Dalam kes Jaclyn atau Jac pula dia bukan sahaja menghadapi cabaran kerana pertama kali berlakon teater, tetapi menambahkan lagi cabaran ialah ada kemungkinan dia akan dibandingkan dengan Adibah Noor. Kenapa Adibah?
Ini kerana teater pertama lakonan Jac menuntut pemilik suara lantang itu untuk menghidupkan watak Farah untuk musim kedua pementasan Cuci The Musical, yang mana Adibah telah merealisasikan watak tersebut untuk musim pertama dengan penuh sukses.
Ketika bertemu dengan Adibah baru-baru ini pada rakaman Muzik Muzik 25 di Sri Pentas 2, Shah Alam baru-baru ini, artis versatil itu berharap agar Jac dapat menyuntik kelainan dalam pementasan Cuci The Musical musim kedua nanti.
Katanya, ada sebab pihak produksi teater tersebut memilih Jaclyn kerana sudah tentu mereka inginkan kelainan untuk watak Farah berbanding musim pertama dahulu.
"Jac kena cuba dulu, tampilkan kelainan dalam musim kedua ini," katanya yang terpaksa melepaskan watak tersebut kerana mempunyai komitmen lain.
Cabar diri
Ditawarkan untuk berlakon dalam pementasan teater mungkin menjadi impian buat pelakon yang mempunyai pandangan yang jauh dalam bidang itu. Namun, jika ditawarkan berlakon untuk sesuatu pementasan yang agak besar mungkin agak menimbulkan kebimbangan di hati sesetengah daripada mereka.
Itulah yang terpaksa diharungi oleh Jac demi untuk mencapai impian atau sasaran dalam liku-liku bergelar seorang artis versatil.
Bagi Jac, dia menerima tawaran untuk membawa watak Farah dalam Cuci The Musical kerana ingin mencabar dirinya untuk berlakon dalam pementasan tersebut.
|
|
"Setiap orang mesti ada impian dalam diri masing-masing, maka untuk mencapai impian itu kita kena berfikir di luar kotak.
"Disebabkan memikirkan untuk keluar dari kotaklah saya terima watak (Farah) ini," katanya yang dinasihatkan oleh pihak produksi agar tidak menonton rakaman Cuci The Musical musim pertama.
Menurut Jac, ini kerana pihak produksi tidak mahu dia terikut-ikut karakter Farah yang telah dibawakan Adibah.
"Mereka (pihak produksi) mahukan saya kendalikan watak Farah itu dengan cara saya sendiri. Saya akan buat yang terbaik dan habis-habisan demi untuk Cuci The Musical musim kedua ini," katanya yang merasakan peluang untuk turut serta dalam pementasan ini sebagai rezeki yang tidak dapat mungkin ditolak.
|
|
Sementara itu, tiket bagi pementasan Cuci The Musical musim kedua ini lebih murah 30 peratus berbanding pada tahun lalu.
Bagi peminat yang ingin menonton Cuci The Musical, tiket mula dijual sejak 23 Mac lalu berharga di antara RM30 hingga RM200 dengan melayari laman sesawang www.ticket2u.biz.
Selain Jac untuk watak Farah, Cuci The Musical 2 bakal mempertaruhkan Khai (Hans Isaac), Fairil (Afdlin Shauki), Jojo (Awie) dan C'Tan (Nabil Raja Lawak) sebagai watak utama.
Tumpang seronok
Dalam perkembangan lain, Jac juga teruja apabila dia tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17) yang akan berlangsung pada 2 Mei depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
|
|
Jac yang tercalon dalam dua kategori iaitu Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu Bertamu di Kalbu serta Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Cinta Ada duetnya bersama penyanyi Karen Kong dan Datuk Sheila Majid.
Kata Jac, selain diberi penghormatan untuk membuat persembahan dalam anugerah berprestij itu dia turut berasa bangga kerana ramai wajah baru bakal mewarnai majlis tersebut.
"Saya pun rasa diri masih baru dan saya tumpang seronok kerana kali ini lebih ramai bakat baru yang diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam AIM 17.
"Tentang kalah menang, itu adat pertandingan. Sudah tercalon pun memadai buat saya, kalau menang ia satu bonus.
"Bagi saya majlis seperti ini satu platform memperkenalkan muzik bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi penyanyi yang lain juga terutama mereka yang baru," tutur Jac.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: