Thursday, April 8, 2010

Gempa kuat di Sumatera


BEBERAPA anggota bomba memadam kebakaran di sebuah bangunan akibat masalah elektrik ekoran gegaran akibat gempa bumi kuat di Medan semalam.


SINABANG - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan barat daya Indonesia semalam dan mencetuskan panik serta gangguan bekalan elektrik tetapi tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Amaran tsunami yang dikeluarkan kemudian ditarik balik.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) melaporkan, gempa itu melanda sekitar pukul 5.15 pagi (waktu tempatan) dan berpusat 215 kilometer dari Medan iaitu bandar terbesar di Sumatera pada kedalaman 31 kilometer di bawah bumi

Ekoran gempa bumi itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang beribu pejabat di Hawaii mengeluarkan amaran tsunami sebelum ia ditarik balik.

Beberapa pegawai Indonesia menyatakan, tsunami kecil berukuran 40 sentimeter berlaku di beberapa kawasan termasuk di Pulau Banyak dengan sejumlah rumah dilimpahi air laut.

Seorang pegawai tempatan berkata, tiada kematian berlaku setakat ini tetapi 17 orang cedera di Pulau Simeulue, barat Sumatera, termasuk empat parah manakala tinjauan udara mendapati beberapa buah rumah cuma mengalami kerosakan kecil.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono lega kerana Sumatera terselamat daripada mengalami kemusnahan teruk.

"Alhamdulillah, gempa bumi kali ini tidak menyebabkan tsunami atau kemusnahan besar," kata Susilo ketika menghadiri taklimat di Lapangan Terbang Halim, Jakarta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: