
Walaupun sudah sembuh, namun bagi pelakon yang popular dengan drama bersiri Jelatang dan Cinta Balqis ini, masih ada trauma dalam dirinya untuk keluar seorang diri. Disebabkan perkara itulah, Fezrul sentiasa ditemani oleh kakaknya.
“Saya berterima kasih kepada kakak saya yang sudi menemani saya. Saya masih tidak boleh berjalan seorang diri. Masih tidak ada kekuatan. Saya takut saya akan pitam atau pengsan.
“Cukuplah sebelum ini saya laluinya seorang diri. Kalau dulu, saya memang suka bergerak seorang diri, tapi sekarang tidak lagi. Rasanya buat masa ini, tak mampu saya lakukan seorang diri. Tapi saya bersyukur kerana keadaan saya semakin baik. Saya dah 95 peratus sembuh dan sudah bersedia untuk meneruskan aktiviti berlakon," katanya.
Bercerita saat sakitnya, Fezrul mengakui amat sukar menghadapi saat-saat itu. Ekoran peristiwa hitam itu juga, Fezrul Khan tidak dapat meneruskan aktiviti lakonan dan hanya terlantar sakit. Sejak itu juga keadaan dirinya juga dikatakan tidak terurus dan tidak bertemu dengan sesiapa pun termasuk kenalannya.
Namun, berkat usaha dan kesabarannya, Fezrul menempuh hari-harinya dengan tabah untuk terus sembuh daripada penyakit itu. Bertemu Fezrul baru-baru ini, Fezrul berkongsi kisah dirinya.
“Saya pun tak ingat sangat waktu mula-mula saya terkena tu. Cuma kepala saya terasa sangat pening sewaktu memandu ke lokasi penggambaran. Bukan hanya pening, tapi dada saya terasa sangat sempit seakan sesak nafas. Rasa tak tertahan sangat waktu itu.
“Tapi, saya gagahkan juga pergi ke lokasi penggambaran. Beberapa krew produksi nampak keadaan saya yang semakin pucat dan tak bermaya. Tapi kerana komitmen saya terhadap kerja, saya tetap teruskan penggambaran tu.
“Selesai sahaja penggambaran tu, saya terus ke klinik. Tapi, doktor kata saya sihat dan tak ada apa-apa sakit. Pelik juga sebab, sakit tu masih terasa dan kepala saya berdenyut-denyut. Selepas beberapa hari, sakit saya tak hilang-hilang dan saya hilang kemampuan untuk menerima sebarang tawaran berlakon. Saya hilang selera makan dan keadaan saya bertambah teruk.
“Mujur ada kawan-kawan rapat yang sudi membantu saya. Saya dibawa ke Johor untuk berubat dengan seorang ustaz. Pada mulanya saya enggan kerana tidak percaya dengan perkara halus macam ini. Tapi melihatkan keadaan saya semakin teruk, saya setuju.
“Saya agak terkejut apabila diberitahu ia adalah perbuatan khianat orang terhadap saya. Puas saya berfikir angkara siapa kerana saya tidak ada musuh kerana saya pun tak ramai. Bagi saya, inilah ujian yang harus saya tempuh. Saya redha dengan apa yang berlaku ke atas saya,” jelasnya yang meneruskan berubat dan ingin nekad untuk meneruskan aktiviti seninya.
Fezrul menambah, walaupun berusaha untuk sembuh, namun jauh di sudut hatinya tertanya-tanya apakah salahnya hingga ada yang tergamak melakukan perkara sedemikian terhadap dirinya.
Tambahnya lagi, walau apa pun, tiada dendam di hatinya dan sentiasa memaafkan setiap kesalahan sesiapa sahaja.
“Saya ikhlas bekerja di dalam industri ini. sepanjang penglibatan saya, saya tidak pernah nak campur urusan orang lain, merampas kekasih atau melakukan perbuatan yang salah. Kalau nak kata saya ni menutup periuk nasi orang lain, rasanya tidak ada kerana tak banyak mana pun drama yang saya berlakon.
“Tapi ini ujian untuk saya. Saya terima sahaja dan berharap saya akan terus sembuh dan kembali sihat seperti biasa,” katanya yang setakat ini sudah membintangi hampir 30 drama sejak empat tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.
Fezrul turut mengakui terlalu selektif pada skrip dan watak yang diberikan agar memberi warna kepada setiap lakonannya. Terbaru selepas sembuh daripada sakit, Fezrul muncul menerusi drama bersiri Sayang Cendana.
Bercerita mengenai wataknya di dalam drama ini, Fezrul seronok kerana dapat melakonkan watak seorang pemuda cacat yang teruja dengan kecantikan sebuah patung. Dunianya adalah bersama patung yang amat disayanginya.
“Saya memang seronok dapat berlakon dalam drama ini. Bagi saya wataknya sangat berlainan dengan watak saya sebelum ini. Saya sukakan cabaran dalam setiap lakonan, jadi watak ini, wajah saya cacat dan saya banyak menghabiskan waktu bersama patung tetapi akhirnya patung itu bertukar kepada seorang gadis jelita," katanya.
Drama bersiri Sayang Cendana merupakan slot Lagenda yang menggantikan drama Bila Musang Berjanggut yang disiarkan di saluran TV3 bermula 3 Mei ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: