Tuesday, April 27, 2010

Farah... Ada Mu


FARAH cipta lagu sendiri.


SUDAH lama tidak melihat kelibat artis bersuara lunak yg pernah menyertai Malaysian Idol 2 dan One In A Million (OIAM) ini di mana-mana majlis seni di tanah air mahupun membaca kisahnya di dada akhbar.

Tahun lalu, Farah Ashikin yang dikenali dengan lagu Hello dan ERT dihambat pelbagai kontroversi yang sedikit sebanyak menyesakkan kehidupan sehariannya.

Ujar penyanyi genit ini, sepanjang awal tahun ini bukanlah dia menjauhkan diri daripada tatapan umum, malah dia ada memenuhi pelbagai undangan menyanyi di majlis-majlis tertutup.

Akuinya, persembahan minggu setiausaha Eye On Fashion 2010 With Farah Ashikin yang akan diadakan di Restoran Scrumptious, Kuala Lumpur pada 28 April ini merupakan kemunculannya mengadakan persembahan secara umum pada tahun ini.

Ujar Farah, selama tempoh dia jarang kelihatan bukan bermakna dia larikan diri daripada tatapan umum, sebaliknya sibuk dengan penghasilan lagu barunya dimana dia sendiri yang menulis dan menggubah lagu itu.

Memulakan penghasilan single barunya sejak akhir tahun lalu, lagu berjudul Ada Mu kini sudah siap dan bakal didengari di corong-corong radio tidak lama lagi.

"Ianya amat berbeza dengan lagu-lagu peminat mengenali saya kerana lagu ini sungguh tenang dan matang.

"Ada Mu mengisahkan tentang cinta secara umum. Konsepnya muzik akustik dimana nyanyian saya hanya diiringi oleh petikan gitar secara akustik.

"Saya memang menggemari lagu yang tenang sebegini kerana ia lahir tulus dari hati. Harapan saya lagu ini dapat diterima ramai dan dapat mewarnai lagi industri muzik kita," ujar Farah ketika ditemui pada sidang akhbar persembahan minggu setiausaha Eye On Fashion 2010 With Farah Ashikin baru-baru ini.

Ujar Farah, sebelum ini dia dikenali sebagai seorang yang agak agresif ketika di pentas, lalu dia hasilkan lagu sebegini yang dikatakan lebih mempertontonkan jiwanya yang sebenar.

Kebetulan, kebanyakan lagu-lagunya yang hits seperti lagu Hello dan ERT berentak rancak dan ceria. Lagu Ada Mu lebih tenang, sesuai dengan usianya yang matang iaitu bakal menginjak ke usia 31 tahun November ini.

Cerita Farah, sebelum ini irama menguasai lagu-lagunya tetapi Ada Mu, Farah ingin tonjolkan lirik lalu irama memainkan peranan mencantikkan lagi liriknya itu.

Selain itu, Farah juga juga dalam proses menghasilkan single seterusnya yang berjudul Penjagaku yang merupakan hasil ciptaannya.

Lagu itu, kata Farah, adalah mengenai zikir yang selalu diamalkan ketika bersedih dan menghadapi dugaan.

Zikir yang diajar oleh saudara Farah ini katanya, terlalu indah dan memang menenangkan apabila membacanya lalu dia ingin berkongsi zikir ini bersama orang ramai.

Niat Farah bukanlah untuk mengajar kerana baginya lagu ini sebagai dakwah dan peringatan buat dirinya sendiri.

Bagi Farah ia merupakan bonus jika orang ramai dapat menerimanya dan hasil dari lagunya ini mereka dapat mengamalkan zikir itu.

Farah rancang bengkel remaja

Selain sibuk dengan penghasilan singlenya dan persembahan, masa Farah kini semakin terisi dengan Facebook bersama peminatnya.

Cerita Farah, dia dan peminatnya, terutama remaja perempuan, sering berkongsi masalah dan Farah amat gembira dapat membantu mereka.

"Farah sering dapat mesej dari mereka melalui Facebook tentang masalah-masalah mereka terutama masalah remaja yang Farah sudah lama laluinya.

"Contohnya, kulit bermasalah, kisah percintaan dan macam- macam lagi berkaitan dengan remaja.

"Farah gembira dapat membantu menasihati mereka serta menguatkan semangat mereka kerana kebanyakannya telah Farah lalui ketika remaja dahulu.

"Farah dan rakan ada merancang untuk mengadakan bengkel bersama-sama mereka secara percuma pada tahun ini kerana seronok dapat bantu orang.

"Semuanya masih dalam perancangan. Sebarang maklumat bolehlah terus mengikuti Fanpage Facebook saya," ujarnya ceria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: