![]() |
| RAIHAN kini sudah terkenal di seluruh dunia dengan konsep nasyid mereka yang begitu dekat di hati peminatnya. |
DITUBUHKAN pada Oktober 1996, pencapaian yang digenggam Raihan selaku pelopor genre muzik kontemporari Islam tanah air sepanjang hampir 14 tahun bergelar anak seni sememangnya cukup membanggakan.
Tersenarai dalam The 500 Most Influential Muslims 2009 untuk kategori seni dan kebudayaan di samping berpeluang 'menjajah' pasaran album di luar negara, tahun 2008 memberi kenangan manis buat Raihan apabila diberi ruang mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London.
Ini diikuti dengan persembahan konsert di Phuket, Thailand serta Konsert Islamic Youth di Abu Dhabi.
Bagi The 500 Most Influential Muslim 2009, Raihan merupakan satu-satunya artis dari Malaysia yang dipilih dan antara yang tersenarai di dalamnya adalah Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud serta Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein.
Tidak cukup dengan itu, di tahun yang sama, Raihan turut terpilih menerima anugerah Mahabba Awards di Abu Dhabi kerana lagu-lagunya yang menyanjung serta memuji Rasulullah SAW.
Bagaimanapun, satu kenangan yang sukar dilupakan dan tersemat dalam sanubari Raihan, apabila mendapat perhatian Ratu England, Ratu Elizabeth yang sanggup meluangkan masa untuk bertemu dengan Raihan ketika baginda berangkat ke Malaysia pada 1998.
Malah, di tahun yang sama juga Raihan diundang mengadakan persembahan di hadapan Putera Charles sempena Persidangan Negara-Negara Komanwel di Edinburg.
Begitulah kuatnya pengaruh Raihan yang turut berpeluang berduet dengan beberapa penyanyi luar seperti Yusuf Islam untuk lagu God Is The Light yang telah dirakamkan di studio beliau di London.
Raihan juga pernah berduet dengan penyanyi rap Mecca2Medina dalam lagu Do You Know Him serta kumpulan Miloud untuk lagu berjudul Salam.
Pengaruh-pengaruh inilah yang telah membawa Raihan dipelawa mengadakan persembahan di merata tempat antaranya Australia, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Kuwait, Dubai, Abu Dhabi, Rusia, Perancis, United Kingdom, Kanada dan Afrika Selatan.
Pengembaraan ini juga membolehkan Raihan mengembangkan pasaran album mereka ke negara-negara berkenaan.
Di peringkat tempatan pula, pelbagai anugerah telah digenggam mereka dan pernah meraih penjualan album tertinggi melalui Pujian-Pujian tahun 1996.
Namun, di sebalik kejayaan yang ditempa, Raihan yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md. Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza punyai rasa terkilan dengan senario muzik tanah air masa kini.
Di sebalik nama mereka gah di pentas antarabangsa dengan pelbagai undangan konsert, sayangnya, tidak ada satu pun penajaan yang diterima mereka untuk kembali menghangatkan irama nasyid di tanah kelahiran sendiri.
Kata Abu Bakar, kalau di luar, pelbagai pihak menampakkan sanjungan mereka terhadap irama nasyid dan sanggup menaja konsert Raihan tetapi sebaliknya berlaku di negara ini.
Di sini, jelasnya, syarikat korporat seakan berlumba-lumba untuk menaja kehadiran artis luar sehingga melupakan artis tempatan.
Selain itu, Abu Bakar turut kecewa dengan sikap segelintir pihak yang seakan 'meminggirkan' kumpulan nasyid dalam menyertai apa jua konsert amal mahupun kempen-kempen mengatasi gejala sosial.
''Kenapa Raihan dan artis nasyid lain tidak diberikan ruang untuk bersama menggerakkan kempen ini.
''Nasyid itu punyai 'roh' dalam menyampaikan dakwah,'' katanya ketika ditemui semasa pelancaran album terbaru Raihan berjudul Musafir Perjuangan di Restoran Seri Melayu, di ibu negara, baru-baru ini.
Musafir Perjuangan merupakan album Raihan yang kesepuluh yang mengandungi lima buah lagu iaitu Musafir Kelana, Allah Is Calling, Nun Di Sana, God Is The Light dan Tanpa Agama.
Lagu-lagu ini pernah popular suatu masa dahulu dan dirakamkan semula oleh Raihan.
Setakat ini, Musafir Perjuangan telah terjual sebanyak 12,000 unit sebaik berada di pasaran Mac lalu.
Abu Bakar berkata, Raihan ada menerima banyak permintaan untuk mengadakan konsert, namun tiada yang berminat untuk menjadi penaja.
Seperkara yang turut mengecewakan Raihan adalah mengenai perjalanan Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) nanti.
Memberikan maklum balas mengenai perkara itu, Che Amran menjelaskan pencalonan mereka untuk Anugerah Lagu Nasyid Terbaik telah ditolak kerana lagu yang dihantar menggunakan bahasa Inggeris.
Lagu tersebut adalah Allah Is Calling dan We Are Brothers & Sisters.
''Kami diberitahu syarat untuk pencalonan hanyalah lagu berbahasa Melayu atau bahasa Arab.
''Nasyid adalah universal dan lagu tersebut adalah lagu nasyid. Cuma kami berharap agar AIM membuka ruang untuk nasyid berbahasa Inggeris selepas ini,'' katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: