Wednesday, April 28, 2010

Dua dekad Focus Point


CHOON LIANG (tengah) bergambar bersama penerima-penerima anugerah pada majlis Makan Malam Tahunan Focus Point 2010 baru-baru ini.


SEJARAH Focus Point bermula dengan pembukaan cawangan pertamanya di Muar, Johor pada tahun 1989.

Bermula daripada hanya kedai biasa ia terus berkembang menjadi satu jenama kukuh dan kini diiktiraf sebagai pusat optikal sehenti terbesar di Asia Tenggara.

Diasaskan oleh Datuk Liaw Choon Liang yang juga Presiden dan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point Vision Care Group, syarikat itu kini boleh berbangga dengan kejayaannya melaksanakan sistem francais dalam melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang itu.

Kini terdapat 70 cawangan francais Focus Point yang beroperasi di seluruh negara sekali gus menjadikan keseluruhan cawangannya sebanyak 140 buah ketika ini.

Kejayaan program itu turut mendapat pengiktirafan pada majlis Anugerah Francais Malaysia 2009 baru-baru ini apabila syarikat itu memenangi kategori Anugerah Francais Terbaik, Francaisor Tempatan Terbaik dan Pertumbuhan Outlet Terbaik.

Pada tahun yang sama ia turut menerima Anugerah Keusahawanan 8TV 2009 oleh Persatuan Peruncit-Rantaian Malaysia (MRCA).

Ketika ini, Focus Point mengendalikan beberapa pusat jualan optikal yang menggunakan nama Focus Point, Opulence, Optical City, Eyefont, Excelview dan Zania sebagai salah satu strategi mempelbagaikan produknya.

Baru-baru ini, syarikat itu mengadakan sambutan ulang tahun ke-20 bertemakan Focus to Green, Point to the Green yang dihadiri lebih 500 kakitangan syarikat dari seluruh negara di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Pemilihan tema itu bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan kakitangan dan para pelanggan syarikat terbabit berhubung kepentingan menjaga alam sekitar.

Selain menjamu selera, para tetamu juga dihiburkan dengan telatah pelawak terkenal yang juga penyampai radio MyFM, Jack Lim dan rakan-rakannya melalui sketsa lucu dan mencuit hati.

Sempena majlis itu, Focus Point turut mengiktiraf sumbangan kakitangannya melalui beberapa anugerah yang diadakan seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Pekerja Paling Lama, Anugerah Cawangan Terbaik dan sebagainya.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe.

Sementara itu, Choon Liang dalam ucapannya berkata, pihaknya kini sedang berusaha membangunkan produk optikal yang bersifat mesra alam.


PERSEMBAHAN tarian yang berkonsepkan tanaman hijau memeriahkan majlis Makan Malam Tahunan Focus Point 2010.


Beliau berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan ke atas jenama itu sehingga ia mampu bertahan lebih dua dekad di negara ini.

"Ini akan menjadi motivasi kepada kami untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi dalam memenuhi aspirasi para pelanggan," katanya.

Choon Liang menjelaskan, pihaknya menyasarkan pembukaan 20 cawangan baru pada tahun ini di samping meneroka pasaran Asia Tenggara seperti di Singapura, Kemboja dan Vietnam melalui usahasama dengan syarikat Seen@Demsey di Singapura.

Kehebatan Focus Point tidak terhad di dalam bidang perniagaan semata-mata, malah syarikat itu juga aktif dalam pelbagai program amal dan berbentuk kemasyarakatan di negara ini.

Sejak beberapa tahun lalu, syarikat tersebut banyak menganjurkan kempen meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya menderma darah bagi mengisi tabung Pusat Darah Negara.

Pada majlis itu juga sebanyak RM45,000 telah disumbangkan kepada empat rumah kebajikan iaitu Desa Amal Jireh, Ti-Ratana Welfare Society, Yayasan Amal Warisan Alam dan Yayasan Latihan Istimewa Insan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: