Sentiasa perlu kelihatan sempurna pada setiap kelibat yang memandang, namun tanggungjawab yang digalas mengharuskannya berpenampilan begitu. 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, namun Datuk Siti Nurhaliza sentiasa tampil bergaya dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir manisnya. Bergelumang dengan aktiviti seni yang tidak pernah surut sejak kehadirannya sebagai anak seni, namun semuanya diterima dengan redha kerana sudah tertulis perjalanan hidup insan jelita ini.
"Siti tak sempurna dan ade kekurangan sebab kita hanya manusia biasa. Masalah juga bila selalu kena tampil cantik sebab kadang kala ada hari mood tak berapa baik. Siti akui ianya memenatkan, namun Siti tahu tanggungjawab Siti untuk tampil kemas dan sedap mata memandang di hadapan masyarakat.
"Siti dah bersedia mental dan fizikal bila masuk dalam bidang ini sebab apa yang kita lakukan akan menjadi perhatian. Kalau ikutkan Siti seorang yang sangat simple, dekat rumah Siti lebih selesa pakai kain batik dan t-shirt.
"Setakat ni Siti tak pernah rasa give up sebab memang impian Siti untuk lakukan semua itu. Walau penat macam mana pun, bila sukses, rasa penat pun hilang," ujarnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Duo Apresiasi Saida dan Sairah.
SimplySiti Jadi Taruhan
Meraikan sambutan ke-15 tahun sebagai anak seni, Siti Nurhaliza masih gah berdiri tanpa saingan. Melahirkan kesyukuran di atas pelancaran produk kecantikan SimplySiti yang mampu mengukuhkan lagi empayar yang dibina, malah mengeratkan lagi hubungan dengan peminat yang kini menjadi rakan niaganya.
"Siti puas hati bila peminat gunakan produk SimplySiti. Setakat ini sambutan sangat menggalakkan. Kemungkinan besar Siti akan keluarkan produk asas seperti losyen sebab ianya kegunaan harian kita.
"Ramai juga yang memberi cadangan untuk keluarkan produk untuk lelaki dan semuanya masih dalam perancangan buat masa ini," ujarnya berharap agar SimplySiti dapat menembusi pasaran antarabangsa.
Pada majlis yang diadakan di Wisma PKPS, Shah Alam, Siti turut dihiburkan oleh peminat ciliknya, adik Crystal Lee Xin Qiao dan Jaclyn Victor yang mendendangkan lagu popularnya suatu masa dulu. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: