SUKAR menidakkan, gelaran ibu yang dipikul sejak 10 bulan lalu menjadi nikmat termanis buat pelakon, model dan pengacara jelita, Melissa Maureen Rizal, 30. Selain bergelar isteri kepada Malique Ibrahim, 33, (Too Phat) sejak lebih setahun lalu, kini institusi kekeluargaan yang mereka bina hampir mencapai kesempurnaan.
Berkongsi keterujaan tentang insan baru diberi nama Inca Medina, Melissa menganggap bayi yang dilahirkan seberat 3.45 kilogram pada 1 Mei lalu, kini menjadi nyawa dirinya dan Malique. Bahkan, kehidupan mereka sebagai suami isteri kini secara total diserah segalanya kepada permata hati comel itu.
"Alhamdulillah, saya semakin bahagia selepas mendirikan rumah tangga beberapa tahun lalu. Selain gembira melayari hidup sebagai isteri, saya sedang sibuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap Medina yang baru hendak berjalan.
"Seronok rasanya dapat buat kerja rumah dan membesarkan cahaya mata sendiri. Biarpun ada waktu terikat dengan komitmen lakonan, saya tidak berdepan masalah kerana Medina dijaga oleh suami. Terus-terang, saya tidak harap bantuan pembantu rumah jaga Medina.
"Kerana itu saya mahu fokus terhadap keluarga terlebih dulu. Biarlah saya dan suami bersusah payah membesarkan Medina kerana kami tidak mahu tertinggal walau sedikitpun proses pembesarannya," jelas Melissa ketika ditemui pada majlis pratonton filem Hooperz di Cathay Cineplexes, Damansara, Petaling Jaya minggu lalu.
Melissa dan Malique selamat diijabkabulkan dalam sebuah acara tertutup pada 8 Ogos 2008 di Nusa Dua, Bali, Indonesia setelah tiga tahun mengikat tali pertunangan. Majlis resepsi berkonsep perkahwinan tepi pantai itu dihadiri kira-kira 40 orang tetamu daripada keluarga kedua belah pihak.
Berkongsi momen indahnya sebagai ibu, Melissa yang menutup seketika agenda lakonan apabila mengetahui dirinya hamil mengaku cukup bersyukur dikurnia suami bersedia menyumbang keringat menjaga penyubur hati mereka.
|
|
"Suami sentiasa membantu dan menyokong saya dari belakang. Walaupun tidak pernah belajar proses penjagaan bayi, saya dan suami melalui perjalanan membesarkan Medina dengan begitu lancar.
"Paling mengujakan, suami boleh tukar lampin Medina tanpa hadapi masalah. Betul jugalah kata orang, kalau sudah ada anak, kehidupan sebagai ibu bapa terarah kepadanya saja," akui Melissa yang menganggap impian dicita bergelar ibu sebelum usia 30 tahun akhirnya menjadi kenyataan.
Tidak sesekali merancang keluarga, pemegang Ijazah Kesusasteraan Inggeris dari King's College, London itu sebolehnya mahukan cahaya mata lebih ramai bersama suaminya sebelum usia masing-masing meningkat dari setahun ke setahun.
Menjunjung status isteri dan ibu, Melissa tidak sesekali membataskan diri dengan tawaran lakonan mendatang di depan mata. Jelasnya, kehidupan adalah sebuah kelangsungan. Maka, tidak hairan apabila dia terus mempersembahkan diri sebagai anak seni yang dianggap menjadi darah dagingnya.
"Cuma saya jarang ambil dua kerja serentak kerana lebih suka tumpu satu tanggungjawab saja. Lagipun sudah lama saya tidak dapat tawaran pengacaraan," ujar artis berdarah campuran Cina, Pakistan dan Melayu itu yang masih sarat sifat pemalu dan merendah diri.
Pemalu
Menebak wajah Melissa, sedikit sebanyak membayangkan dia cukup berahsia dalam segala hal termasuk ruang damai privasinya. Buktinya, peminat sebelum ini lebih banyak dihadapkan berita perkembangan dirinya sebagai anak seni berbanding gosip liar.
Tidak berada dalam kondisi emosional, Melissa bagaimanapun menyangkal dengan baik kononnya selama ini dia kukuh berpendirian mengunci bibir bercakap hal personal dan remeh-temeh. Hamparkanlah apa sahaja, dia sebaliknya punya alasan munasabah agar selepas ini tiada lagi lirikan skeptikal ditujukan oleh masyarakat.
"Sejujurnya, kehidupan peribadi saya tidaklah menarik seperti orang lain sangkakan. Malah, saya beranggapan hidup yang dilalui ini biasa saja. Bukan tidak mahu berkongsi cerita dengan peminat, sebaliknya saya amat pemalu.
"Saya mudah jadi kekok kalau berada di depan khalayak apatah lagi jika ditemubual dengan ramai pihak media macam hari ini. Malah, saya masih rasa segan apabila menjalani penggambaran sambil disaksikan oleh ramai orang.
"Sifat pemalu ini sukar dikikis dalam diri. Tidak pernah timbul isu suami melarang saya bercakap perkara personal. Dia (suami) sendiri okey dan terbiasa atmosfera diwawancara wartawan sebelum ini," jelasnya yang menghidupkan watak Wan Zulaikha dalam filem Hooperz arahan dua sutradara, Rosihan Zain dan Sheikh Munasar.
Memperkukuhkan hujahnya terhadap tanggapan umum yang beragam, Melissa berkata: "Saya harap media dan peminat faham dengan keadaan ini. Jangan lekas buat andaian saya sombong atau terlalu merahsiakan hal peribadi."
|
|
Wan Zulaikha
Meluahkan rasa, wanita yang lahir pada 3 Mac 1980 itu menjelaskan, bukan mudah untuk merealisasi watak Wan Zulaikha dalam filem keduanya, Hooperz. Audiens barangkali mudah mengesan kesulitan Melissa tatkala menyaksikan filem berbajet RM1.5 juta itu.
"Bayangkan sepanjang waktu saya kena kekal bercakap dalam bahasa Melayu baku. Ia ambil sedikit masa jugalah untuk membiasakan diri bertutur dalam stail macam ini ditambah saya tidak terlalu fasih dengan bahasa tersebut.
"Kalau diikutkan, watak ini tidaklah terlalu berat seperti dilihat. Saya tetap boleh jayakan karakter ini dengan baik. Cuma kerja lebih keras menjadi faktor utama memperlihat keberkesanan Wan Zulaikha.
"Paling pasti, saya sukakan jalan cerita filem ini yang menarik dan ada kelainan tersendiri terutama temanya menonjolkan tujuh gadis bermain bola jaring mewakili kolej mereka," jelasnya yang cukup teruja dengan progres dari semasa ke semasa sebagai pemain filem dan drama.
Selain Melissa, pelakon lain yang turut membintangi filem itu ialah Intan Nor Saina yang membawakan watak Atylia, Nur Zazleen Zulkafli (AJ), Juliana Evans (Nino), Anita Baharom (Saidatul), Akma AF3 (Azwar), Dawn Jeremiah (Sue Wei), Amy Mastura (jurulatih) dan Adibah Noor (jurulatih).
Kepada peminat yang ingin menyaksikan filem berkonsep drama komedi ringan, jangan lupa menyaksikan Hooperz diterbitkan Primeworks Studios (Grand Brilliance) yang menemui audiens di pawagam seluruh negara bermula hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: