|
|
MESKI tidak memperoleh hak penyiaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan selama sebulan bermula 11 Jun ini, rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB) tidak 'patah kaki' dalam bersama memeriahkan kaca televisyen dengan pelbagai program menarik.
Bertemakan Return To Africa 2010, TV3, TV9, ntv7 dan 8TV, masing-masing telah pun menyenaraikan kepelbagaian 'bahan' untuk menghangatkan suasana Piala Dunia termasuk kuiz yang bakal menerbangkan pemenang ke Afrika Selatan.
Program bercorak dokumentari, drama, filem, bual bicara serta program kanak-kanak, semuanya dihidangkan MPB dalam membawakan semangat Piala Dunia di kaca televisyen tempatan.
Stesen TV3, sebagai stesen utama, bakal memulakan 'demam' Piala Dunia seawal 1 Mei nanti dengan sebuah rancangan berjudul The Immortals.
The Immortals akan memaparkan wajah-wajah pemain bola sepak handalan dunia yang telah berjaya mencipta sejarah serta menawan hati jutaan peminat bola.
Bual bicara seperti Sorak Borak yang akan bermula 3 Mei pula tampil secara langsung dengan pelbagai topik berkaitan perlawanan bola yang dilontarkan oleh selebriti serta peminat bola sepak.
Dalam mengembalikan nostalgia mengenai Piala Dunia, TV3 tidak lupa membawakan FIFA The Finals yang memaparkan 11 perlawanan akhir paling menarik sepanjang 1966 hingga 2006.
Kanak-kanak juga tidak diketepikan dengan dua program menarik iaitu DreamKix serta Kung Foot selain dua program di luar studio bercorak permainan seperti Kembara Bola serta Kids Soccer Fiesta.
Berlainan di TV9 pula, stesen dengan tagline Dekat Di Hati ini juga tidak lupa memfokus kepada Piala Dunia dengan program seperti Jersi 9, Kad Kuning Kad Merah, K9 : Pencarian Pengulas Sukan Bola Chopp, i-Glam : Football Fashion Segment, Kick Off, Nabil & Co. dan Chopp!! Bola.
Animasi kesukaan ramai, Upin & Ipin juga tidak ketinggalan meraikan Piala Dunia 2010 dengan impian mereka untuk bergelar bintang bola sepak satu hari nanti.
Begitu juga dengan ntv7 dan 8TV. Dua siaran terbabit, masing-masing punyai susunan program antaranya Bola Mania, Galactik Footbal dan The Arena di ntv7 manakala 8TV dengan barisan program iaitu The Rise & Rise Of Beckham, No Limit (sebuah drama Korea), Cristiano Ronaldo - The Portuguese Prodigy serta Zinedine Zidane - 'Zizou' The Great.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, biarpun MPB tidak memperoleh hak penyiaran perlawanan, MPB tetap menyediakan segala program dalam menyemarakkan lagi semangat Piala Dunia.
Menurutnya, Piala Dunia bukan sekadar perlawanan semata-mata tetapi lebih daripada segala-galanya.
''Berdasarkan pengalaman, penonton sebenarnya mahu menjiwai Piala Dunia selain menonton perlawanan.
''Mereka juga mahukan program-program yang berkaitan dengan Piala Dunia, sejarahnya serta program lain.
''Justeru, kami telah menyenaraikan pelbagai program terbaik khusus untuk penonton sepanjang berlangsungnya perlawanan Piala Dunia,'' katanya ketika ditemui semasa pelancaran Return To Africa 2010 di ibu negara, baru-baru ini.
Diaju persoalan tentang kebimbangan MPB terhadap rating dan pengiklan sepanjang Piala Dunia, Farid menjelaskan, perkara tersebut tidak perlu dibimbangkan.
Ini kerana, ujarnya, atas dasar pengalaman Piala Dunia yang lalu, rating MPB tetap berada di tangga terbaik dan pengiklan juga yakin dengan rangkaian televisyen MPB.
''Jika tidak ada permintaan, sudah tentu kami tidak berani mengetengahkan program khas sempena Piala Dunia ini.
''Pengiklan tetap yakin dengan MPB walaupun kami bukanlah penyiar rasmi,'' tegasnya penuh yakin.
Katanya, nisbah penyiaran program sempena Piala Dunia di rangkaian televisyen MPB adalah seimbang antara kandungan program luar dan tempatan.
Ditanya mengenai mengapa MPB tidak bersaing dalam mendapatkan hak penyiaran perlawanan Piala Dunia, Farid memberitahu bahawa ia bergantung kepada bajet dan permintaan pengiklan.
Sementara itu, Farid berkata, sepanjang berlangsungnya Piala Dunia, MPB akan turut membantu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam mempromosikan siaran perlawanan di stesen milik kerajaan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: