Thursday, April 8, 2010

Cuba nasib dalam kekurangan


MESKI serba kekurangan, Peristiwa 8 Minit akan berusaha untuk meletakkan nama sebaris band indie ternama lain.


DIBERI nama Peristiwa 8 Minit, band yang dibarisi lima anak muda ini hadir ke pentas seni dengan seribu satu harapan.

Mahu mengubah hidup di samping memeriahkan lagi lapangan muzik tanah air, biar serba kekurangan, jiwa mereka kental untuk terus maju dan mencapai apa yang diidamkan.

Masih tercari-cari imej dan 'dana' bagi membolehkan mereka melalui liku-liku hidup selaku insan seni dengan sempurna, Peristiwa 8 Minit beriltizam untuk menjadi seperti Bunkface atau pun band indie lain yang telah kukuh di landasan seni.

Namun, keadaan membataskan segalanya. Mereka bukanlah anak seni yang punyai latar belakang keluarga yang berada sehingga tidak mampu untuk membeli alatan muzik sendiri.

Apa yang mampu mereka miliki adalah alatan muzik lama dan 'terbuang' yang dibaiki semula untuk digunakan kala membuat persembahan.

Peristiwa 8 Minit dibarisi Mohd. Fazli Norhan atau Andy, 23, selaku vokalis; Shahraziq Amir Omar (Ajib), 20; Shahrezwan Omar (Iwan), 22; Mohd. Raffie Norhan (Lang), 18; dan Shahrizal Omar (Ijal), 24.

Ajib merupakan pemain gitar utama manakala Iwan (gitaris kedua); Lang (bass) dan Ijal (pemain drum).

Apa yang menarik, kelima-lima mereka adalah datang daripada dua buah keluarga berlainan yang bersatu membentuk Peristiwa 8 Minit.

Andy dan Lang adalah pasangan adik-beradik manakala Ajib, Iwan dan Ijal merupakan anak yatim piatu sejak mereka kecil lagi.

Kelima-lima mereka mula berkawan rapat sejak zaman kanak-kanak lagi dan sering bermain muzik secara bersama.

Mendapat tunjuk ajar daripada komposer dan penulis lirik Fadzlie Ismail, single pertama mereka berjudul Ujian Mu berjaya direkodkan dan sedang menanti peluang untuk disiarkan di stesen radio tempatan.

Peristiwa 8 Minit juga sudah merekodkan single kedua iaitu Terindah yang mana kedua-dua lagu berkenaan dihasilkan Fadzlie sendiri.

Menurut Andy, dalam melayari lautan seni, kumpulan berkenaan meletakkan Bunkface sebagai tanda aras untuk melangkah maju dalam bidang seni.

Bunkface, jelasnya, adalah sebuah band yang punyai kelainan tersendiri dan memiliki sokongan peminat yang bukan sedikit jumlahnya.

''Begitu juga dengan band-band indie lain seperti Hujan. Mereka telah berjaya dengan hasil usaha sendiri.

''Tapi, tidak dinafikan, mereka ada asas kewangan yang kukuh.

''Bukan seperti kami. Apa yang ada, itulah yang kami gunakan untuk beraksi di pentas,'' katanya ketika bertandang ke studio Utusan, baru-baru ini.

Jelas Andy, selain menggunakan alatan muzik terbuang, adakalanya Peristiwa 8 Minit terpaksa meminjam peralatan daripada band lain untuk menjayakan sesebuah persembahan.

Tetapi, ujarnya, mereka tidak boleh selalu berbuat demikian kerana band lain turut mempunyai komitmen tersendiri.

''Kami semua bukannya mempunyai pekerjaan tetap. Masing-masing kerja sambilan.

''Inilah band kami. Walaupun susah, kami akan berusaha untuk memajukan Peristiwa 8 Minit,'' katanya penuh sayu.

Sungguhpun begitu, tutur Andy, pihaknya merasa bersyukur kerana ada beberapa kali diundang oleh Hujan untuk beraksi di segmen pembukaan membabitkan konsert band tersebut.

''Kini, kami sedang mengumpul kekuatan untuk menjayakan Peristiwa 8 Minit.

''Justeru, kami amat memerlukan sokongan semua termasuk memperkenalkan single agar kami dapat memeriahkan lagi seni muzik tempatan.

''Buat masa ini, single tersebut kami popularkan menerusi Facebook dan Myspace,'' ujarnya.

Saingan sengit

Sementara itu, Andy yang diajak berbicara tentang pandangannya terhadap band indie berkata, ia semakin menunjukkan 'taring' dalam medan muzik tanah air.

Band indie, jelasnya, sudah semakin diterima masyarakat dan berjaya mengukuhkan nama di persada muzik.

''Mereka semakin bagus dan sudah tentunya saingan adalah sangat kuat.

''Kami juga mahu mengejar kejayaan yang telah dikecapi mereka,'' akuinya.

Selain Hujan, Bunkface dan Meet Uncle Hussain, beberapa lagi band indie sudah menampakkan taring mereka sehingga berjaya melangkah ke luar negara.

Nama-nama seperti Pesawat, Couple, The Times, The Official, Sinopsis, The Pilgrims, Butterfingers, One Buck Shorts, Bittersweet dan Dead Mushroom merupakan antara yang sudah punyai nama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: