Tuesday, April 27, 2010

Belukar Filem Indie Wajib Tonton

Lari daripada kebiasaan, Belukar cuba membawa penonton mendasari seluruh pengisiannya dalam memahami persoalan serta konflik yang membangkitkan pertanyaan demi pertanyaan. Walaupun tidak membariskan pelakon popular, namun kualiti yang ditonjolkan mampu mengangkat filem ini antara terbaik pernah dihasilkan pengarah muda.

Bagaimanapun Jason Chong (pengarah) berjaya membawa filem Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi. Tak perlu fokus kepada masalah sosial yang merajai masyarakat untuk dipaparkan di dalam filem kerana penonton sudah maklum akan kisahnya. Kisah menarik yang digarap kemas dan unik dengan teknik non-linear, membayangkan tahap kreativiti tinggi yang mampu membuatkan khalayak berfikir. Bukannya hanya menonton dan pulang tanpa sebarang input.

Juga memaparkan keindahan panorama muka bumi serta kebudayaan masyarakat khususnya di Sabah untuk diperkenalkan ke persada antarabangsa. Seakan tidak percaya pengarah muda mampu menghasilkan filem berkualiti dan tidak mustahil filem ini mampu memberi saingan di pasaran luar.

Belukar mengisahkan Eva (Daphne Iking), wanita Sabah yang merupakan seorang penipu insuran profesional. Tuntutan insuran berjumlah RM100 juta menyebabkan Eva diburu banyak pihak termasuklah Nik (Bront Palarae), seorang penyiasat insuran syarikat ABG. Namun segalanya berubah apabila Nik menyedari dirinya jatuh cinta kepada Eva. Segala persoalan mula terurai satu demi satu sehingga menjerat pemikiran biasa yang menontonnya. Saksikan kesudahan filem menarik ini di pawagam 6 Mei 2010.

Mangga Online (MO) sarankan anda semua menonton Belukar untuk menilai sendiri kehebatan dan keunikan filem yang cuba diterjemahkan daripada kotak fikiran pengarah muda kreatif Malaysia. Belukar adalah karya sulung terbitan Preston Zaidan Productions Sdn Bhd (PZP).


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: