Saturday, April 18, 2009

Yovie risaukan plagiat


YOVIE WIDIANTO


SEBAGAI seorang pemuzik yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam dunia muzik Indonesia, Yovie Widianto meluahkan kebimbangannya terhadap sikap segelintir pemuzik generasi baru yang langsung tidak memikirkan kepentingan idea asal dalam karya-karya mereka.

"Sedih dan berasa bimbang sekali. Saya juga tidak tahu kenapa masih ada lagu-lagu yang mirip seperti Burung Kakak Tua dengan Topi Saya Bundar. Apakah bangsa Indonesia gemar dengan peniruan dan mengulang lagu lama?" kata Yovie di Jakarta seperti yang dipetik menerusi laman web KapanLagi.com.

Bagi Yonie, cara sebegitu mungkin jalan pintas untuk mendapatkan populariti, khususnya dalam pertumbuhan band dan pendatang baru yang semakin marak di Indonesia ketika ini.

"Band sekarang juga hampir sama, tidak banyak beza. Mereka harus ada jati diri dan menghormati karya orang lain kerana saya juga begitu. Pengaruh muzik memang sukar dikikis tapi setiap pemuzik harus ada keistimewaan.

"Bagi saya, lebih baik lagu saya mirip dengan lagu saya yang sebelumnya daripada mirip dengan lagu orang lain. Kerana di situ ada nilai istimewa tersendiri. Kalau ada persamaan sedikit sahaja, tidak mengapa. Tapi jangan sampai ketara sangat, itu akan menjadi lebih parah," ujarnya tanpa bermaksud 'menyerang' sesiapa. Sekadar luahan jujur dari seorang yang senior dalam bidangnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: