|
|
Filem Jangan Tegur arahan Pierre Andre, 25, terbitan Metrowealth Movie Production (MMP) menemui penonton di pawagam sejak 9 April lalu.
Filem ketiga arahan Pierre selepas 9 September dan I’M Not Single itu melalui detik-detik panas apabila tujuh adegan akhir diarahkan oleh orang lain. Penerbit MMP, David Teo dalam kenyataannya sebelum ini amat kecewa kerana teknik pencahayaan Pierre pada adegan itu terlalu buruk dan menjejaskan kualiti filem. Akhirnya David mengambil pengarah lain untuk menghabiskan tujuh adegan yang “tidak menjadi” itu.
Krisis tersebut menyebabkan hubungan David dan Pierre menjadi semakin tegang hingga David menganggap Pierre seperti budak-budak.
Pada ketika itu Pierre pula khabarnya menghadapi tekanan perasaan gara-gara kisah cinta halusinasinya dengan seorang wanita menyebabkan prestasinya menurun.
Pierre akhirnya menghilangkan diri dan David juga sudah tidak mahu ambil tahu lagi orang yang pernah diasuhnya itu. Petang Khamis lalu Pierre menjawab panggilan Pancaindera.
Pada waktu itu, dia baru habis menonton filem Jangan Tegur bersama pelakon Julia Ziegler di KLCC. Apabila ditanya mengenai hubungannya dengan David, kata Pierre mereka masih belum berhubung.
“Saya kena jaga maruah saya dan tidak membiarkan orang pijak kepala saya,” kata Pierre kepada wartawan NIEZAM ABDULLAH.
Ikuti luahan hati Pierre.
Pierre ada di mana ni?
Saya baru keluar panggung wayang. Di KLCC. Dengan Julia Ziegler. Kita orang baru habis tengok filem Jangan Tegur.
Puas hati dengan hasil kerja sendiri?
Okey! Saya puas hati. Saya lihat filem ini banyak elemen suspen. Ia memang sebuah filem hantu. Saya nampak ada mood dan pencahayaan yang baik. Cuma saya tak nafikan keseluruhan cerita ini ada sedikit longgar. Tapi saya tak puas hati dengan muzik yang dipaparkan. Elemen itu bukan yang saya mahukan. Saya dah bagi tahu pengarah muzik sebelum ini, tapi muzik dalam Jangan Tegur lebih kurang dengan Jangan Pandang Belakang saja. Sepatutnya ia kena berubah.
Dah tengok tujuh adegan yang dibuat semula itu?
Tujuh adegan itu saya rasa okey. Tak ada masalah. Menarik. Cuma kalau nak bandingkan cerita hantu dalam filem Jangan Pandang Belakang, cerita itu lebih menyerlah berbanding filem ini. Tapi saya mengaku Jangan Tegur ada kekuatan sendiri.
Masa prebiu filem ini kenapa tak datang?
Saya tak tahu pun. Tak ada orang jemput. Sebab itu saya datang tengok hari ini (9 April 2009). Tak apalah, itu semua hak dia oranglah nak jemput atau tidak.
Bagaimana hubungan Pierre dengan David setakat ni?
Masih tak ada apa-apa tindakan. Sebelum ini saya sudah minta keluarga saya tolong selesaikan masalah saya dengan David secara profesional. Ayah saya ada telefon David sebelum Tahun Baru Cina dulu. Dia kata dia sibuk. Saya tak salahkan dia. Orang nak raya. David kata nak telefon balik lepas dia sambut raya. Sampai hari ni tak ada apa-apa pun. Saya anggap dia tak nak kawan dengan saya lagilah.
Kenapa Pierre sendiri tak berurusan dengan dia?
Saya ada keluarga. Ada mak bapak. Lebih baik minta tolong dia orang bantu saya. Itu lebih baik bagi saya.
Jadi macam mana sekarang ini kerana Pierre masih terikat kontrak dengan MMP?
Saya tak berani nak cakap soal kontrak ini. Saya dah berunding dengan peguam saya. Saya tak nak komen bab-bab tu. Kalau saya tak boleh mengarah, saya buka kedai burger cukuplah (ketawa).
Apa perancangan Pierre lepas ni?
Saya ada rancangan nak berhijrah ke Indonesia. Orang sini dah tak suka saya. Wartawan pun sama tak suka saya. Saya pergi tempat lainlah. Bulan 12 nanti saya ada projek lain nak buat filem usaha sama Malaysia dan Jepun pula. Sebuah filem kisah cinta.
Eh, wartawan ada la telefon Pierre. Pierre yang tak layan!
Ala... lepas kes dengan David tu, tak ada pun wartawan telefon saya. Yang ada KOSMO! saja. Masa itu saya terharu sangat ada juga wartawan yang ingat saya. Yalah... sebelum ni saya pernah dengar ada orang kata Pierre jahat. Yang penting saya tak ganggu orang cukuplah.
Nak buat apa ke Indonesia?
Saya ada projek di sana. Saya dah jumpa kawan-kawan di sana. Mungkin saya akan arahkan filem dengan produksi di sana nanti. Tunggulah ya. Saya pun dah cari rumah dah. Bulan Jun saya akan ke sana balik. Saya pun ada berlakon filem usaha sama Malaysia – Indonesia iaitu Crazy yang akan ditayangkan di sana bulan Jun nanti.
Sampai bila Pierre nak merajuk? Kenalah beralah mungkin boleh baik dengan David.
Dia kata saya budak-budak tapi saya budak-budak yang ada maruah. Saya tak sanggup orang pijak kepala saya. Saya rela kerja angkut sampah atau jual burger kerana saya kaya dengan maruah daripada bagi diri dipijak. Kalau dia (David) nak berkawan, saya tak ada masalah. Saya anggap apa yang berlaku selama ini ada hikmahnya.
Bagaimana dengan kehidupan Pierre sekarang?
Saya bahagia. Saya suka dengan keadaan sekarang. Hidup saya pun lebih teratur. Sekarang saya dah boleh lihat diri saya sendiri yang kerdil ini.
Sebelum ini bila di sekeliling kita ada sesuatu yang membuatkan kita popular, kita akan cepat lupa. Sekarang saya dapat lihat manusia sebenarnya kecil sahaja. Perubahan ini membuatkan saya tak suka untuk bercakap dengan orang yang bongkak. Itu saja yang saya boleh cakap.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: