BANGI – “Harga rumah saya pun baru RM102,500 tetapi bil air saya mencecah RM200,000.’’
Demikian aduan seorang suri rumah di sini yang begitu terkejut apabila menerima bil air yang dianggap tidak masuk akal itu tiga hari lalu.
Semuanya berlaku selepas dia meminta pelarasan bil bulan terdahulu yang dianggap agak tinggi berbanding bil biasa setiap bulan.
“Pelik betul, setelah minta pelarasan, bil yang dikenakan makin melampau pula jumlahnya,’’ katanya.
Salina Salleh, 36, yang menetap di Apartmen Intana Ria 2, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi berkata, secara purata penggunaan air di rumahnya sekitar RM40 setiap bulan dan bil terakhir pada 31 Januari hanya berjumlah RM9.69.
Namun selepas menerima bil berjumlah RM204.51 pada bulan Februari lalu, beliau bertindak menghubungi pihak bertanggungjawab untuk membuat pelarasan semula kerana bil tersebut lebih tinggi daripada penggunaan sepatutnya.
“Apabila menerima bil baru berdasarkan bacaan terakhir pada 3 Mac lalu bil tertunggak itu mencecah RM200,054.50,’’ katanya ketika ditemui di sini semalam.
Semalam, Kosmo! melaporkan masalah bil air yang dihadapi oleh 1,000 penduduk sekitar jajahan Pasir Puteh, Kelantan yang bingung kerana terpaksa menanggung bebanan caj bil air yang tinggi sehingga dua kali ganda setiap bulan.
Penduduk terbabit mendakwa masalah tersebut dipercayai berlaku akibat tekanan udara mampat pada saluran paip yang memberi kesan kepada bacaan meter selepas berlaku gangguan bekalan air sejak dua minggu lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: