|
|
RAMAI yang beranggapan artis wanita tempatan mempergunakan wajah mereka untuk memperdayakan lelaki kaya atau mempengaruhi VIP untuk menjadi teman hidup mereka. Dunia hiburan dijadikan platform untuk menangkap lelaki kaya.
Namun dua pelakon jelita tanah air, Sari Yanti, 25, dan Haryati Hamzah atau Yatt, 29, membuktikan bahawa bahagia tidak terletak pada wang ringgit. Biar dihimpit banyak lelaki kaya, hati mereka terikat pada lelaki biasa.
Selalunya orang akan ingat pelakon cantik macam kalian akan berkahwin dengan VIP. Apakah yang boleh kalian katakan?
SARI (S): Balik kepada diri sendiri, ketetapan dan prinsip diri. Kenapa nak masuk industri untuk cari lelaki? Seharusnya kita tahu fokus dan apa yang kita mahukan.
Saya masuk bidang seni untuk jadi pelakon. Tapi berbalik kepada soalan anda, saya suka anda bertanya kenapa bila artis kahwin dengan orang kaya, orang perasan?
Sebenarnya, saya rasa, ramai orang biasa yang kahwin dengan orang kaya dan tak ada siapa cakap pun. Dalam isu kahwin, kita perlu ikhlas. Perkahwinan bukan benda main-main, zahir dan batin terlibat.
Kalau tak suka dia tapi suka duit dia, apa erti perkahwinan. Perkahwinan suci seharusnya tak boleh pandang harta benda. Tapi kita perlu tahu dan sedar untuk hidup bersama.
YATT (Y): Saya percaya pada jodoh. Saya terima ketentuan Tuhan. Mungkin sebab saya seorang yang tidak memilih dan saya tak rasa saya artis, jadi saya tak letak jurang untuk harus berganding dengan orang berpangkat atau orang kaya. Ini jodoh yang Tuhan tentukan.
Yang penting saya menikahi seorang lelaki budiman, lelaki yang boleh membimbing dan hormat keluarga saya. Ini sudah cukup menjadi kriteria kenapa saya berkahwin dengan seseorang lelaki.
Kalau ada artis yang memang nak berkahwin dan memilih untuk berkahwin dengan orang kaya, itu hak mereka. Tapi sama ada dapat kahwin, ia bergantung pada jodoh. Yang penting, saya hanya mahukan seorang lelaki biasa, asalkan kami bahagia.
|
|
Sebelum berkahwin pasti banyak lelaki yang menggoda kamu?
Y: Betul, memang banyak godaan. Lebih-lebih lagi empat tahun lalu masa saya jadi model dan baru sangat dalam bidang itu. Dapat bunga itu normal. Ramai yang telefon ajak keluar makan. Dan ya, memang ada juga ramai VIP yang mengganggu. Tapi saya tolak semuanya dengan cara baik.
Mungkin selepas mereka tahu yang saya ini jenis yang hanya boleh dipandang tapi tak boleh pegang, masing-masing jauhkan diri. Saya juga bersyukur. Sebab didikan keluarga, saya kuat pegangan dan berpijak di bumi nyata. Saya tak lupa diri.
Memang ada yang cakap, saya merugikan diri sebab tak pandai guna pakej diri tangkap orang kaya. Tapi saya bukan begitu. Saya percaya benda yang tak baik banyak risiko.
S: Ada yang menggoda, tak kisahlah VIP atau bukan. Sebelum berkahwin, sesiapa pun boleh mencuba nasib dan tak boleh nak halang benda itu berlaku. Namun saya berpegang pada prinsip. Saya jenis yang serius. Saya rasa lelaki pun takut agaknya nak cakap dengan saya.
Ini soal jodoh. Kalau nak cakap hal ini, tak boleh negatif sangat.
|
|
Apakah yang membuatkan kalian bertahan dengan pilihan masing-masing?
Y: Sejujurnya, saya jenis cepat bosan dengan lelaki. Saya susah nak jatuh cinta. Tapi dengan Talib, saya sayang pada dia. Saya suka dia sebab dia merendah diri dan yang menarik, dia lepaskan saya macam burung dan saya kembali pada dia sendiri. Dia tak ubah saya apa-apa. Itu yang buat saya bertahan.
S: Ini perasaan yang kami rasakan antara satu sama lain. Saya tak ambil peduli tentang orang kaya. Saya tak lihat kekayaan sebagai sesuatu yang amat diperlukan dalam hidup.
Saya suka yang bersederhana. Bila kita sederhana, senang. Tak rugi apa kahwin dengan orang biasa.
Hantaran kahwin artis selalunya mahal-mahal. Apakah nilai hantaran pada kalian?
Y: Hantaran itu wang perbelanjaan. Saya tak ada kepentingan untuk beritahu orang hantaran saya. Siapa nak beritahu, itu hak mereka. Yang penting harus sederhana tapi berjalan lancar.
Wang hantaran saya adalah persetujuan yang dicapai bersama. Kami berbincang tentang wang hantaran, kami bertoleransi. Kami ikut kemampuan. Saya bukan materialistik. Wang mas kahwin kami, RM200 minimum di Negeri Sembilan, sementara RM80.80 sebagai simbolik tahun kelahiran kami.
S: Hantaran bukan nilai pada diri. Tak boleh nak nilai harga diri saya, sebab nilai diri seorang manusia memang tak ternilai. Dan bagi saya, jumlah wang hantaran sangat peribadi. Tak perlu orang tahu berapa, kalau kita beritahu macam kurang manis.
|
|
Apakah transformasi diri anda sekarang?
S: Kami dah tinggal serumah. Ini transformasi terbesar saya. Dari segi mentaliti, saya ada juga terpengaruh bila suami bekerja. Saya kini lebih banyak bersabar dan kutip pengalaman daripada orang tua.
Y: Seronok jadi bini orang. Tak gaduh, tak marah-marah. Mentaliti saya jadi lain selepas berumah tangga.
Bila sudah berumah tangga, apakah yang kalian takutkan?
S: Saya tak boleh cakap takut sebab ini dugaan Allah. Saya tak pasti, kalau saya diduga, saya harap saya ada cukup kesabaran untuk harungi semua rintangan.
Kalau dulu saya fikir diri sendiri, tapi sekarang saya kena fikir dua individu. Saya jaga imej suami dan kalau takut pun, saya takut tak jadi isteri yang baik buat suami saya.
Y: Saya tak takut apa. Cuma takut tak dapat jadi isteri terbaik untuk suami. Saya kasar, suami pendiam. Saya takut tak dapat ubah perangai. Tapi saya akan usaha perbaiki diri. Sekarang saya bangga jadi isteri Talib.
|
|
Bagaimana dengan karier selepas kahwin, adakah berjalan lancar?
Y: Alhamdulillah, rezeki saya murah lepas kahwin. Sehari selepas nikah dan beberapa hari sebelum nikah, masih banyak tawaran. Saya ingat orang tak sudi nak ambil saya berlakon, tapi tak jadi begitu. Itu adalah tanggapan lapuk. Yang penting kalau kita ada bakat, status ditolak tepi. Saya syukur kerana banyak produksi yang bersikap profesional.
S: Sekarang saya sangat sibuk. Alhamdulillah, rezeki memang tak putus. Suami pun tak kisah. Ini kerja yang saya buat dari dulu. Dia bagi banyak galakan, tapi ia terpulang pada saya. Saya kena tahu batasan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: