PETALING JAYA: “Kami bukannya sedih, tetapi seronok ketika disuruh menanggalkan semua barang kemas yang ada. Kami juga disuruh mengeluarkan dompet.
“Dengan senang hatinya kami memasukkan semua barang kami ke dalam sebuah beg milik seorang daripada kami, atas arahan wanita itu,” kata seorang mangsa ‘pukau berdarah’, Norlela Omar, 39.
Menurut Norlela, nyata ketika itu mereka dalam keadaan khayal kerana menurut apa saja perintah wanita itu.
“Wanita itu datang ke tempat tinggal kami (Kota Damansara) dan menawarkan pekerjaan sebagai pembantu kantin serta katering dengan tawaran gaji RM950 sebulan. Dia beritahu mahu 10 pekerja wanita.
|
“Saya membantunya mendapatkan lapan orang. Dia datang jam 4.30 petang dan selepas meyakinkan kami pada jam 6 petang, dia bawa kami ke hospital dengan alasan untuk buat pemeriksaan kesihatan termasuk ujian X-ray,” katanya.
Norlela berkata, jika dalam keadaan sedar mereka tidak akan mengikuti wanita itu kerana apa yang dilakukan ketika itu sangat meragukan.
“Apabila difikirkan kembali, mengapa terlalu mudah wanita itu mahu mengambil kami kerja dan terus dibawa untuk pemeriksaan kesihatan.
“Lagipun, mana ada hospital yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan terutama X-ray selepas jam 5 petang.
“Dia seterusnya memberitahu hendak membawa kami ke Hospital Sungai Buloh, tetapi apa yang kami pelik dia beritahu tidak tahu jalan. Kesudahannya kami yang menunjukkan jalan.
“Dalam perjalanan dia meminta kami menanggalkan semua barang kemas dan mengeluarkan dompet. Apabila tiba di hospital, semua barangan kami dimasukkan ke dalam beg Saniah dan Sazalina dipertanggungjawabkan memegangnya,” katanya.
Menurut Norlela, apabila tiba di hospital, empat daripada mereka dibawa ke tingkat tujuh, manakala selebihnya diminta berada di tingkat lima.
“Wanita itu menghilangkan diri dengan membawa Sazalina ke dalam tandas dan membawa lari beg berisi barangan dan wang kami. Kami temui Sazalina tidak sedarkan diri dan menangis,” katanya.
Dalam pada itu, Sazalina memberitahu, wanita terbabit membisikkan sesuatu ke telinganya dan dia terus tidak sedarkan diri.
Sementara itu, pengamal perubatan tradisional yang memulihkan lapan mangsa ‘pukau berdarah’ itu mendakwa semua wanita terbabit terkena pukau angin yang mempunyai unsur penggunaan perantaraan makhluk halus.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: