LENGGONG: “Sebaik bot dikemudi terbalik, saya tercampak ke belakang manakala enam ahli keluarga tidak kelihatan. Saya terus menyelam ke bawah bot yang terlingkup di tengah tasik untuk mencarinya.
“Selepas lima ahli keluarga saya dikeluarkan dan diletak ke atas belakang bot yang terlingkup, baru saya sedari anak bongsu, Anas Imran, dua tahun, tiada menyebabkan saya terus menyelam biarpun sudah tidak bermaya.
“Kerana kepenatan, saya terminum air tasik dan hampir lemas. Mujur jam tangan saya tersangkut pada kipas bot, jika tidak saya pasti tenggelam ke dasar tasik,” kata Leftenan Komander Azizi Ahmad Sarkawi, 39.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang kelmarin, bot dikemudi Azizi dan dinaiki enam ahli keluarganya terbalik di tengah Tasik Raban, kira-kira tiga kilometer dari Chalet Tasik Raban dan tiga kilometer dari Empangan Chenderoh, dekat sini.
|
Azizi dan lima ahli keluarganya terselamat manakala usaha mencari anak bongsunya masih hilang menemui jalan buntu sehingga jam 7 malam tadi.
Azizi yang bertugas sebagai pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kem Kementah, Kuala Lumpur menaiki bot terbabit bersama dua anaknya, seorang adik serta iparnya serta dua anak saudara ketika menikmati keindahan di sekitar Tasik Raban dan Sungai Perak.
Selain Azizi, mereka yang terbabit dalam tragedi itu ialah Anas Imran (masih hilang), kakak Anas, Anis Humairah, 7; adik Azizi iaitu Azizul, 32, yang bertugas sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya serta isteri Azizul, Syarizan Shamsudin, 31, pegawai Lembaga Arkreditasi Negara, Petaling Jaya dan dua anak mereka, Amir Syarafudin, 6, dan Ahmad Syakir, 4.
Mereka bertujuh menaiki bot gentian kaca berukuran 4 x 1.2 meter 15 kuasa kuda yang hanya boleh menampung empat orang dewasa.
Menurut Azizi, dia membawa bot dari rumahnya di Kuala Lumpur untuk melancong sempena cuti hari minggu bersama 21 ahli keluarga secara konvoi menaiki empat kereta dan tiba di Tasik Raban pada jam 2.30 petang kelmarin dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur petang semalam.
Katanya, selepas 15 minit bertolak dari jeti Chalet Tasik Raban, tiba-tiba bot terlanggar sebatang kayu menyebabkan dia tidak dapat mengawalnya dan terbalik.
“Saya menyelam ke bawah bot yang terlingkup dan memanggil nama mereka, tetapi hanya adik ipar, Syarizan yang menyahut di bawah bot yang masih ada ruang udara menyebabkan saya mencapainya dulu dan membawa keluar sebelum meletak ke atas belakang bot.
“Sambil menjerit meminta tolong, saya menyelam dan masuk ke bawah bot untuk mengambil Anis Humairah diikuti Amir Syarafudin, Ahmad Syakir dan adik saya Azizul yang semuanya tidak tahu berenang,” katanya ketika ditemui di Chalet Tasik Raban, semalam.
Azizul dari Felda Trolak Selatan, Sungkai, berkata isterinya, Anita Mohamad Kassim, 37, dan tiga lagi anak mereka tidak menaiki bot itu.
“Anas Imran bersungguh-sungguh mengajak saya menaiki bot sejak seminggu lalu dan sebaik tiba di Tasik Raban, dia menangis bila diberitahu tidak akan membawanya bersama menaiki bot.
“Saya sering membawa keluarga melancong ke sini sejak beberapa tahun lalu dan tidak memakai jaket keselamatan kerana sentiasa membawa bot perlahan supaya dapat melihat keindahan Tasik Raban dan Sungai Perak,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: