Sunday, April 12, 2009

Rihanna di sebalik kontroversi

DIA dipukul teman lelakinya sendiri. Gambarnya yang cedera disiarkan dan menjadi tontonan ramai namun tak sampai sebulan selepas kejadian, dia kembali menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut. Robyn Rihanna Fenty nyata mencipta polemik sendiri gara-gara insiden malang itu. Sama seperti kemunculan albumnya Good Girl Gone Bad yang benar-benar meledakkan nama Rihanna, kejadian itu juga mencipta satu lagi kontroversi yang tiada kesudahan.

Masakan tidak, Good Girl Gone Bad memperlihatkan gadis kelahiran Barbados yang eksotik ini bukan lagi seorang gadis sunti yang pemalu.

Sebaliknya pelontar lagu Umbrella yang meledak seantero dunia itu semakin bangga mempamerkan susuk tubuh yang seksi lagi menggiurkan.

Saat sedang menikmati kemasyhuran, gadis berusia 21 tahun yang terkenal dengan potongan rambut pendek penuh bergaya ini turut hanyut dengan cintanya kepada Chris Brown, penggubah lagu Disturbia yang juga penyanyi R&B popular.

Awalnya hanya mempamerkan lagak teman tapi mesra namun akhirnya setahun lalu, kedua-duanya mengakui mengakui saling jatuh cinta.

Namun siapa menyangka buah hati pengarang jantungnya itu tegar mencederakan dirinya, kemudian melarikan diri dan Rihanna terpaksa membuat panggilan kecemasan dengan pengenalan Robyn F.

Peristiwa itu yang berlaku sehari sebelum Anugerah Grammy membuatkan Rihanna yang sepatutnya berduet dengan Brown di pentas anugerah tersebut membatalkan kemunculan.

Malah kerana kejadian itu juga, perancangan konsertnya di Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung 13 Februari lalu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang belum dipastikan. Khabarnya penyanyi kelahiran Barbados itu mungkin akan menjayakan konsertnya di negara ini pada akhir April atau Mei depan.

l Di mana silapnya?

Itu lontaran pertanyaan peminat terhadap kejadian tersebut. Brown, 19, pernah berkata, tidak akan sesekali mengasari seorang wanita apalagi yang dicintainya.

Namun perkara sebaliknya berlaku. Dia kini menghadapi pertuduhan mencederakan dan jika sabit kesalahan mungkin akan menyebabkan dia dipenjara sehingga lima tahun.

Bagaimanapun Brown dalam nada perlahan ketika menghadap hakim di mahkamah pada 7 April lalu mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Biarpun pengakuan itu menerima reaksi kurang senang daripada kalangan keluarga Rihanna namun ada juga yang beranggapan sikap cemburu buta penyanyi itu mungkin mengundang petaka kepada dirinya.

Namun bagi mereka yang mengenali pasangan ini, Rihanna dan Brown dianggap sebagai pasangan yang sangat menyayangi dan amat mengambil berat antara satu sama lain.

Malah bapa Rihanna, Fenty dikatakan menyukai Brown dan menganggap anak muda itu sebagai seorang yang penuh santun.

“Mereka kelihatan sangat bahagia bersama. Saya tidak tahu di mana silapnya? Saya melihat mereka ketawa, menonton wayang dan berparti,” kata Fenty kepada majalah People baru-baru ini.

Sememangnya sebelum kejadian itu, Brown meninggalkan tanggapan yang amat baik kepada ahli keluarga Rihanna di Barbados yang menganggap dia seorang yang mengambil berat dan lemah lembut.

Namun biar tidak menyangka Brown sanggup mencederakan anak mereka tetapi tindakan Rihanna yang kembali ke pangkuan Brown selepas tiga minggu dia dipukul dan ditinggalkan di tepi jalan sebenarnya lebih memeranjatkan keluarga Rihanna.

Bagaimanapun Rihanna dikhabarkan amat mencintai Brown dan menganggap lelaki itu selalu membuatkan dirinya ‘hidup’ dan seperti seorang remaja.

Pun begitu, biar saling menyintai namun kedua-duanya suka bergaduh dan semasa di Barbados Ogos lalu, mereka dilihat bertengkar ketika sedang seronok berparti di sebuah kelab.

“Cemburu. Itulah yang selalunya menyebabkan mereka bertengkar,” kata satu sumber. Dan sememangnya Rihanna antara gadis yang suka membuatkan buah hatinya itu panas dengan tindakannya serta penampilannya yang seksi.

l Kontroversi

Menariknya tentang Rihanna dan Brown ialah walaupun keduanya sedang menghadapi masa-masa kelam akibat insiden itu, mereka masih dikhabarkan menjalinkan kerjasama.

Malah dalam kekalutan kontroversi itu, Rihanna dan Brown dikatakan telah berduet bersama biarpun ramai menganggap peristiwa itu pencetus kepada kejatuhan kemuncak kerjaya keduanya.

Malah sejak kejadian malang yang menimpa Rihanna, stesen radio tidak lagi mahu memainkan lagu Brown dan Brown sendiri dengan rela hati turut mengeluarkan namanya daripada senarai calon Anugerah Nickeledeon Kid’s Choice.

Bagaimanapun, tidak berapa lama selepas timbulnya kisah kolaborasi Rihanna dan Brown di studio, satu laporan dikeluarkan menyatakan tiada kerjasama dilakukan selepas insiden itu.

Desas desus mengenai kolaborasi keduanya berlaku memandangkan Rihanna sedang dalam pembikinan album terbarunya dan keduanya pernah berduet untuk lagu berjudul Stronger tahun lepas. Bagaimanapun lagu itu tidak dikeluarkan.

l Berpisah sementara

Pada saat Brown harus menghadapi pertuduhan di mahkamah kerana perbuatan jenayahnya terhadap kekasihnya, Rihanna mengambil keputusan untuk mencari arah hidupnya sendiri.

Berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kehidupannya, biarpun keduanya telah berdamai ketika bercuti bersama di Miami dan Los Angeles, Rihanna lebih senang untuk bersendirian. Kali terakhir keduanya dilihat bersama adalah dua minggu lalu di Los Angeles.

“Mereka tidak bersama buat seketika tetapi bukan berpisah,” kata satu sumber. Model dan jurucakap CoverGirl ini juga kelihatan gembira dengan kehidupannya sekarang dan kini tampil dengan gaya rambut baru.

Biarpun hubungannya dengan Brown seolah-olah tergantung dan buah hatinya itu sendiri kelihatan sedih dengan kes yang sedang dihadapi, lain pula halnya dengan Rihanna.

Gadis eksotik itu kelihatan gembira dengan kehidupan solonya, berulang alik ke New York City dan meluangkan masa bersama mentor Jay-Z dan Beyonce dan Brandy.

“Dia kelihatan tidak sabar untuk kembali bekerja dan fokus dengan kerjayanya semula,” kata satu sumber di New York kepada People sambil menambah bahawa percutian Rihanna juga dibuat bagi memberikan ketenangan kepada dirinya dan membuat sesuatu pada satu-satu masa.

Sepanjang meluangkan masa bersendirian, Rihanna bercuti dan sempat pulang ke kampung halamannya. Ramai yang memuji semangatnya. Biar menjauhkan diri daripada Brown, Rihanna tidak pula mengelak daripada paparazzi yang sentiasa memburu dirinya.

Selepas dilihat meninjau sebuah rumah dan berparti di Los Angeles, dia dilihat pula ke Honolulu dengan penuh bergaya sebelum ke New York untuk bertemu teman-temannya sebelum pulang ke Barbados.

Sepanjang minggu itu dia bukan sahaja sibuk dengan kehidupannya malah sumber menyatakan bahawa dia juga kelihatan gembira dan cantik sekali.

TRIVIA RIHANNA

- INSIDEN dibelasah bukan sahaja menghantui kehidupan Rihanna malah dia juga bimbang dan resah, Brown mendedahkan rakaman aksi ranjang mereka.

- Berpisah sementara dengan Brown menyebabkan Rihanna digosipkan dengan bintang Bromance, Frankie Delgado sedangkan kedua-duanya tidak mempunyai hubungan mesra.

- Rihanna gemarkan tatu dan koleksi terbarunya adalah sepucuk pistol yang dicacah di bahagian rusuk kanan yang dibuat oleh seorang pelukis tatu kesukaannya. Dia juga mempunyai tatu di rusuk kiri dan di bahagian pinggul serta beberapa bahagian lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: