SEPANG - Stesen 8TV akan menyiarkan lapan episod dokumentari Project NS yang menyingkap diari kehidupan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Mei ini.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berharap ia membantu masyarakat terutama ibu bapa melihat bentuk latihan dan keadaan sebenar kehidupan pelatih PLKN.
Menurut Abdul Hadi, 8TV akan menyiarkan program itu pada 8 Mei nanti pada pukul 9.30 malam setiap Jumaat dan akan turut disiarkan di NTV7, TV3 dan TV9.
Dalam siri itu nanti, pengalaman menarik pelakon, Diana Danielle, 18, juara One In A Million (OIAM), Suki atau Low Sook Yee, 20, dan finalis OIAM, Aliff atau Muhammad Aliff Mohd. Satar, 19, turut akan dipertontonkan.
Siri penggambaran itu telah bermula pada 19 Mac lalu.
"Semua empat modul iaitu Modul Kenegaraan, Modul Fizikal, Modul Khidmat Komuniti dan Model Pembinaan Karakter akan diketengahkan dalam memantapkan dokumentari itu,'' katanya.
Abdul Hadi menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pembukaan PLKN Kumpulan 2 Siri 6/2009 dan Penyerahan Naskhah Percuma Utusan Malaysia dan Kosmo! di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang semalam.
Turut hadir Penolong Ketua Pengarang 2 Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid, Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Mohd. Noor dan Penolong Pengarang Kosmo!, Mohd. Nor Ab. Samad.
Program itu juga menyaksikan 400 naskhah Utusan Malaysia dan Kosmo! akan diedarkan kepada pelatih di kem itu pada setiap hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: